`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, February 10, 2013

GELOMBANG PRU-13 SINGKIR SAMSUDDIN?


SOKONGAN ... Faisal (berdiri barisan belakang tiga dari kanan) bersama-sama sebahagian masyarakat Sekong yang memberikan sokongan padu kepadanya untuk diketengahkan sebagai calon pada PRU-13 nanti. Gambar sisipan, Abdul Sakur (kiri) dan Abu Bakar (kanan).

Oleh : SAIMON S JUMADI

SANDAKAN : Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong dalam Parlimen P.185 Batu Sapi dijangka sengit apabila calon-calon yang bakal bertanding terpaksa melalui penilaian rakyat sebelum mendapat mandat sepenuhnya.

Ini kerana, rakyat tidak lagi bersandarkan daripada mana seseorang calon itu datang, sama ada mewakili Barisan Nasional (BN) mahu pun kumpulan pembangkang; tetapi menurut rakyat di Sekong, rata-ratanya mahukan calon yang benar-benar layak, sekali gus menepati citarasa mereka.
Tidak dinafikan, senario politik Sekong ketika ini bertiup kencang apabila penduduk di situ berpendapat bahawa sudah tiba masanya pimpinan parti menampilkan calon yang merupakan anak jati Sekong sendiri.

"Sepatutnya penduduk kawasan ini berfikiran matang kerana sudah tiba masanya untuk memilih calon yang benar-benar layak. Tidak kiralah sama ada dari BN atau pun pembangkang. Asalkan memiliki kriteria yang menepati citarasa rakyat, tidak salah untuk pengundi-pengundi Sekong memilihnya sebagai wakil rakyat pada PRU-13 nanti," kata seorang penduduk Batu Sapi, Salman Razak.

Berdasarkan ciri-ciri khusus, Salman mencadangkan agar Datu Mohd Faisal Datu Bachtiyal diketengahkan sebagai calon untuk bertanding pada PRU-13.

Faisal, 38, adalah seorang usahawan muda merupakan Penasihat 1 kepada Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang baru sahaja menubuhkan Jawatankuasa Penaja bagi Cawangan Sandakan.

Jawatankuasa penaja kepada badan NGO itu dikatakan mendapat sambutan baik orang ramai, memandangkan bukan sahaja mengambil kira prinsip perjuangannya yang memperjuangkan nasib rakyat negeri ini, tetapi menunjukkan sokongan moral kepada Faisal.

Faisal sepatutnya layak untuk diketengahkan sebagai calon memandangkan beliau daripada suku kaum Bajau dan Suluk; tambahan lagi persepsi penduduk Sekong selama ini inginkan calon sebegini, lebih-lebih anak muda.

Pada minggu lepas, bertempat di sebuah hotel terkemuka di bandar Sandakan, PPPS Cawangan di sini yang diketuai oleh Shamsuddin Chino telah mengadakan satu perjumpaan dengan penduduk-penduduk Sekong.

Perjumpaan tersebut dihadiri pemimpin masyarakat setempat termasuk beberapa orang ketua cawangan mewakili Umno dan SAPP.

Ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan dan reaksi selain bertukar-tukar fikiran mengenai halatuju kepimpinan Sekong pada masa hadapan.

Nampaknya, Faisal sudah pun mendapat bayangan awal akan sokongan masyarakat kepadanya untuk diketengahkan sebagai calon yang akan bertanding di Sekong dalam PRU-13 nanti.

Ini kerana, rata-rata yang hadir menyatakan sokongan padu sekiranya Faisal dapat diketengahkan memandangkan dia benar-benar layak untuk dipilih sebagai calon.

Mereka berpendapat meski pun Sekong adalah kuat BN, tetapi tidak bermakna Faisal tidak boleh mendapat peluang memandangkan dia amat berkelayakan selain seorang usahawan yang berjaya tetapi memiliki karisma kepimpinan tersendiri.

Tidak mustahil sekiranya beliau diberikan peluang untuk bertanding memungkinkan menang besar berikutan persepsi pengundi-pengundi di kawasan ini mulai meneliti latarbelakang calon di mana kononnya ternanti-nanti anak muda berpotensi.

Bagi Ketua SAPP Cawangan Simunul 1 di Sekong, Haji Abdul Sakur Jaafar berpendapat bahawa selayaknya Faisal diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon menjelang PRU-13 nanti.

Beliau berkata, Faisal mempunyai latarbelakang yang menepati citarasa masyarakat Sekong dan sudah pasti sokongan tidak berbelah bahagi rakyat kepadanya apabila dipilih sebagai calon.

"Saya yakin dia akan mendapat sokongan penuh sekiranya ada peluang untuk menjadi calon ... walaupun saya berada di dalam Parti SAPP tetapi saya menyokongnya untuk bertanding sebagai calon nanti," katanya.

Manakala Ketua Umno Cawangan Kampung Tronglit iaitu Abu Bakar Zakariah pula menegaskan sepatutnya Faisal diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon memandangkan dia adalah calon paling layak sekali.

Katanya, jika dipantau atau diteliti memang Faisal memiliki kriteria tersendiri yang melayakkan beliau untuk di tempatkan di Sekong sebagai pewaris kepimpinan masyarakat suku kaum Bajau dan Suluk.

"Dia memang layak kerana karisma kepimpinannya terserlah selain seorang usahawan, tetapi dia juga sentiasa membantu masyarakat susah. Saya mengajak anak-anak muda di kawasan Sekong agar tidak berkira-kira lagi, berilah sokongan anda kepada Faisal ... dia adalah pemimpin yang layak kita ketengahkan," jelas Abu Bakar.

Sementara itu, jawatankuasa penaja PPPS di sini telah mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat apabila saban hari terus mendapat sambutan menggalakkan.

Maklumbalas positif daripada masyarakat Sandakan amat baik kerana mereka tertarik untuk menyertai PPPS yang memperjuangkan nasib rakyat di negeri Sabah.

Berikutan itu, pejabat sementara PPPS terpaksa menyediakan lebih banyak borang permohonan memandangkan akan lebih ramai masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda bakal menyertai badan NGO tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.