`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 11, 2013

Polarisasi kaum makin ketara menjelang PRU13


SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan polarisasi kaum yang paling ketara sejak negara merdeka, berikutan beberapa isu seperti hudud, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, dan terbaru isu sensitif seperti kalimah ALLAH.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sentimen menyokong kaum sendiri sentiasa wujud dalam pilihan raya umum sebelum ini, namun ia tidak begitu menyerlah.


Bagaimanapun katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu sensitif terutamanya isu kalimah ALLAH benar-benar memberi kesan kepada pengundi khususnya kepada pengundi Melayu.

“Senario ini sebenarnya amat tidak sihat, kerana ia akan menyebabkan ketegangan kaum yang semakin ketara. Namun beberapa pemimpin politik berterusan mainkan isu sensitif dan tidak hormati kaum lain.

“Oleh itu pada PRU13 ini, pengundi atas pagar dilihat akan menilai semula berdasarkan isu-isu ini, jadi kita akan melihat polarisasi kaum yang ketara kali ini. Kepada penyokong tegar, ianya tiada masalah,” katanya.

Katanya lagi, pada PRU13, parti yang paling terkesan adalah Pas kerana isu kalimah ALLAH, di mana pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) bercanggah pendapat.

“Adakah ahli-ahli Pas ikut pemimpin mereka atau tidak? Adakah ahli Pas akan menyokong DAP dan PKR? Persoalan ini akan dijawab pada PRU13. Di dalam Pas sudah berpecah dua kerana isu ini,” katanya.

Selain itu, Mustafa turut menegaskan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA, MIC dan Gerakan masih belum cukup kuat untuk mengembalikan semula sokongan kaum bukan Melayu.

“Kaum Cina majoritinya akan pergi kepada PR kerana DAP. Mereka tidak melihat BN boleh menjaga kepentingan mereka lagi. Ia menambahkan lagi polarisasi undi.

“Kita akan lihat sekali lagi undi kaum Cina pergi ke DAP, seperti PRU12 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu calon BN disokong pada PRU13 tidak kira calon itu bukan Melayu.

Sementara itu, Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali turut berpandangan PRU13 nanti sebagai ‘unik’.

Katanya, pengundi terutamanya majoriti kaum Cina secara jelas menyokong parti DAP dan tidak menyokong parti lain walaupun dari MCA dan Gerakan.

“Sama juga halnya kepada orang Melayu. Orang Melayu sudah tidak percayakan DAP lagi kerana isu kalimah ALLAH dan beberapa isu lain yang menyakiti hati dan perasaan orang Melayu.

“Namun undi kaum Melayu berpecah tiga, Umno, Pas dan PKR. Jadi terpulang kepada orang Melayu. Apa yang saya lihat, majoriti orang Melayu akan pergi kepada Umno,”katanya.

Ditanya pihak mana yang paling untung kerana polarisasi undi ini, Fuad menegaskan ianya mengikut kawasan dan berbeza antara satu sama lain. -SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.