`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, April 18, 2013

Keadaan 'tidak berubah' dalam BN


MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA KE-13
MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA KE-13
JUMLAH 'muka baru' dalam barisan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bulan depan "satu rekod rendah" dan menunjukkan keadaan tidak berubah.
Calon muka baru BN hanya 33 peratus, berbanding 55 peratus dalam PRU 2008, dan menimbulkan persoalan terhadap apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon "boleh menang".
Demikian pandangan seorang saintis politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Bridget Welsh, semasa diminta mengulas barisan calon BN yang diumumkan kelmarin.
Namun, ada juga pengamat yang menyatakan langkah itu tetap mencerminkan hasrat Datuk Seri Najib cuba memenuhi jangkaan awam terhadap rancangan transformasinya.
Kelmarin, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, mengisytiharkan bahawa pakatan parti yang memerintah itu akan membariskan 33 peratus calon baru bagi peringkat parlimen dan 49 peratus untuk peringkat DUN bagi pilihan raya pada 5 Mei itu.

BN memperkenalkan calon-calonnya kelmarin.
Menyatakan peratusan itu rendah, Dr Welsh berkata: "Pada 2004, contohnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi (perdana menteri ketika itu) memperkenalkan 71 peratus muka baru di peringkat parlimen bagi partinya. Malah, pada 2008, pilihan raya umum kedua Tun Abdullah, 55 peratus muka baru.
"Tahun ini, Najib mengumumkan hanya 33 peratus muka baru bagi BN untuk peringkat parlimen... Ini adalah satu rekod rendah bagi sebarang pemimpin Umno pada peringkat parlimen dan menunjukkan status quo masih menguasai."
Menimbulkan persoalan terhadap kenyataan Datuk Seri Najib bahawa BN meletak calon "boleh menang", Dr Welsh berkata: "Apakah mengekalkan dua pertiga penjawat kini parlimen dan lebih setengah calon peringkat negeri satu laluan ke arah mencapai kuasa?
"Apakah tidak ada calon lebih baik yang boleh membantu menjenamakan semula parti dan perikatannya?"
Namun, seorang saintis politik daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (Risis) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Farish Ahmad-Noor, berkata langkah BN itu "satu strategi bijak" dan mengambil kira "perubahan landskap sosial" di Malaysia.
"Pada dasarnya, saya fikir kita sedang menyaksikan sesuatu yang agak baru di Malaysia - iaitu kempen pilihan raya umum dijalankan dengan gaya pilihan raya presiden di Singapura.
"Oleh itu, adalah penting keduadua pihak memperkenalkan calon- calon baru bagi mendukung imej bahawa mereka sedang membuat respons kepada jangkaan awam terhadap transformasi," kata Profesor Farish, semasa dihubungi semalam.
Langkah memperkenal barisan calon baru itu, menurutnya, kelihatan sejajar dengan kempen Datuk Seri Najib yang berasaskan janji-janjinya menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, serta perubahan demografi sosial negara itu, yang kini mempunyai hampir tiga juta pengundi baru - sebahagian besarnya pengundi kali pertama.
"Saya fikir ia satu strategi bijak, dan saya ia fikir strategi yang mengambil kira perubahan landskap sosial Malaysia," ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa apa jua isyarat yang Datuk Seri Najib cuba tunjukkan, ia harus konsisten dengan semangat transformasinya.
Profesor Farish menambah: "Bagi melaksanakan itu, beliau (Datuk Seri Najib) harus menunjukkan bahawa beliau bukan sahaja memperkenal transformasi ekonomi, bahkan transformasi di kalangan orang yang beliau harapkan akan menerajui pemerintah,"
Bagaimanapun, Profesor Farish berkata langkah transformasi itu harus konsisten.
"Ini agar calon-calon baru itu harus boleh diterima oleh pengundi Malaysia secara meluas.
"Namun, pilihan BN memperkenalkan beberapa calon berhaluan kanan, seperti yang kita lihat di Selangor, mungkin tidak dapat membantu mereka, kerana individu-individu ini dilihat sudah tercemar setelah membuat ulasan-ulasan yang dianggap bersifat menyerang dan menyakiti beberapa golongan minoriti," kata beliau.
Pakatan Rakyat (PR) - pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) - juga telah memperkenalkan senarai calonnya, yang turut membariskan sejumlah muka baru. ~ Oleh: Darwis Said. - Kerajaan Rakyat

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.