`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 20, 2013

Kuburkan BN....Akhirnya tarikh sampai..!!


Oleh Hishamuddin Rais

Bila parlimen dibubar? Bila rakyat Malaysia akan mengundi? Berbulan-bulan soalan dan labun ini kedengaran. Ia telah menjadi labun klasik setiap empat tahun. Bukan satu yang menakjubkan: apabila dua sahabat bertemu mereka bersalaman dan bertanya khabar. Kemudian akan timbul soalan kedua: Bila pilihan raya? Fenomena sebegini hanya berlaku dan terjadi di Malaysia.

Para pembaca yang budiman pasti telah pernah mendengar kisah Rosmah Mansor berjumpa Guru Ji - bomoh dari India. Atau mendengar kisah Najib Razak suka angka terpacak - nombor 11. Kita juga ada mendengar bagaimana United Malays National Organisation cuba merancang untuk memilih 11 atau 12 Mei sebagai hari mengundi. Tarikh 11 atau 12 Mei ini dipilih untuk mengingatkan mereka yang hilang ingatan kepada tarikh di mana United Malays National Organisation telah kalah teruk pada tahun 1969 - lalu meroyan, meraung dan mengamuk.

Konon kisahnya Rosmah bukan menengok anak bulan dengan Guru Ji tetapi mencari nujum ini untuk menilik tarikh yang terbaik untuk suaminya membuat pilihan raya. Najib pula dikatakan amat suka dengan angka 11 - angka dua kaki tegak berdiri. Maka mungkin kerana suka dua kaki terpacak maka Najib akan memilih hari ke-11 akan menjadi hari PRU-13.

Semua labun-labun ini betul. Semua labun ini ada asas. Malah bertanyakan bila PRU13 akan diadakan telah menjadi tajuk perbualan dari hari Rosmah Mansor dan suaminya Najib Razak berjaya menempeleng Dolah Badawi. Sebenarnya Rosmah dan Najib hanya tumpang tempeleng. Yang menerajang Dolah Badawi hingga sesak nafas dikatakan Muhyiddin Yassin. Najib dengan perangai takutnya hanya menunggu peluang untuk memijak Dolah yang telah jatuh tersungkur. Ini sejarah. Ini bukan fitnah.

Sebenarnya sistem pemilihan wakil rakyat di Malaysia penuh dengan tipu helah. Suruhanjaya Pilihan Raya yang diwujudkan oleh Parlimen untuk mengendalikan pilihan raya kini telah menjadi budak suruhan kepada United Malays National Organistaion. Tugas utama yang dilakukan oleh SPR ini ialah untuk memastikan United Malays National Organisation dengan Ketuanan Melayunya akan terus berkuasa. Ini juga fakta. Ini juga bukan fitnah. Ini rahsia umum. Malah orang ramai telah diberitahu pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah ahli parti United Malays National Organisation.

Dalam negara Malaysia hanya orang kurang siuman sahaja yang percaya bahawa SPR ini satu lembaga yang bebas. Tetapi, masih ada suara-suara yang mengakui bahawa SPR ini adalah lembaga yang adil dan telus. Untuk saya, mereka yang memiliki pendapat sedemikian cukup senang untuk difahami.

Orang yang mengakui bahawa SPR ini satu badan bebas dan adil kerana mereka memiliki kepentingan dan pertalian ekonomi dengan United Malays National Organisation. Dalam hati kecil ‘orang-orang' ini, mereka sedar tentang wujudnya penipuan yang dirancang oleh SPR. Mereka ini pura-pura buat kurang arif. Mereka cuba buat tidak sedar. Ini kerana jika United Malays National Organsisation tergelincir dari kuasa maka mereka akan hilang peluang perniagaan.

Mereka yang buat-buat tak sedar bahawa penipuan berlaku dalam pilihan raya ini pasti ada kepentingan ekonomi dan politik untuk berbuat demikian. Mustahil selama empat lima tahun ini - dari Bersih 1 hingga ke 12 Januari 2013 - Himpunan Kebangkitan Rakyat - minda mereka tersimen ketat. Saya amat yakin ahli United Malays National Organisation yang berkarat pun tahu penipuan berlaku. Tetapi, mereka semua ini menerima penipuan kerana undi tipu ini membolehkan mereka cari makan.

Justeru, saya merasa amat marah apabila dituduh menabur fitnah kerana menuduh SPR dan United Malays National Organisation menipu dalam pilihan raya. Mati-matian saya diminta untuk menunjukkan bukti. Saya diasak. Saya ditekan untuk memaparkan bukti.

Ada sosok yang meminta saya buktikan di mana penipuan SPR? Atau meminta tunjukkan bukti di mana United Malaya National Organisation menipu? Awalnya saya marah mendengar permintaan ini. Kemudian saya beralih menjadi sedih.

Dengan rendah hati - dengan sedih lagi pilu - saya sedang melihat bagaimana anak semua bangsa dalam negara tempat kelahiran saya ini telah menjadi bodoh. Mereka yang bertanya, mereka yang meminta bukti penipuan - adalah contoh terbaik bukti kejayaan United Malays National Organisation membodohkan orang ramai. Inilah yang saya istilahkan penbonsaian warga Malaysia.

Bertanya dan meminta bukti di mana pilihan raya tipu hanya keluar dari otak orang bangang yang telah bonsai akal fikrahnya. Akal dan fikiran mereka tidak dapat lagi melintasi pagar RTM, Utusanatau TV3. Mereka telah diperangkap. Otak mereka telah disimen.

Mari kita lupakan kaji selidik yang dilakukan oleh Dr Ong Kian Meng dari Malaysian Electoral Roll Analysis Projek (MERAP). Lupakan juga penemuan 134,000 nama pengundi di Selangor yang tidak diketahui jantan betinanya. Penemuan 134,00 nama ini adalah hasil kajian setengah tahun yang ditaja oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Lupakan juga fakta bagaimana MB Selangor sendiri telah dialih kawasan mengundi dari Seksyen 16 Petaling Jaya untuk menjadi pengundi Lembah Pantai.

Lupakan juga bagaimana beberapa orang ibu dan ayah yang telah membuat sidang akhbar kerana hairan nama anak mereka yang sedang belajar di luar negara tetiba menjadi pengundi, walhal anak mereka TIDAK pernah mendaftar sebagai pengundi. Lupakan juga puluhan ribu bakal pengundi yang nama mereka hilang lesap entah ke mana.

Lupakan juga 4,000 nama pengundi hilang dari kawasan Perlabuhan Klang. Lupakan juga 4,000 nama pengundi Taman Medan yang telah hilang. Kes-kes dan kajian di atas boleh dihujah untuk ditolak kerana yang menjalankan kajian ialah mereka yang pro kepada Pakatan Rakyat. Kaji selidik didanai oleh kerajaan Selangor. YB Charles Santiago dari Pelabhuan Klang dan YB Haniza dari Taman Medan adalah YB dari Pakatan Rakyat.

Tetapi bagaimana pula dengan RCI Sabah? Bagaimana dengan Suruhanjaya Diraja Siasatan Kad Pengenalan Palsu di Sabah?

Mereka yang menuntut suruhanjaya ini bukan orang Pakatan Rakyat atau yang bersimpati dengan Pakatan Rakyat. Antara yang menuntut penubuhan suruhajaya ini ialah Bernard Giluk Dompok - bekas menteri kabinet Barisan Nasional. Antara yang meminta kes kad pengenalan palsu ini disiasat ialah Yong Teck Lee, Maximus Ongkili dan Joseph Pairin Kitingan. Benggolan-benggolan ini bukan 'kecik' anak - mereka adalah gedebe-gedebe dari parti kaum kerabat United Malays National Organisation.

Untuk saya, RCI atau Suruhanjaya Diraja Siasatan Kad Pengenalan Palsu ini adalah bukti penipuan undi yang terpampang jelas untuk dilihat oleh orang ramai. Saksi-saksi awal tanpa segan dan silu telah menyatakan kepada ahli Suruhanjaya bagaimana kad pengenalan segera telah diberikan kepada pendatang haram untuk membolehkan pendatang haram ini mengundi parti yang menyokong United Malays National Organisation.

Ini bukti sahih. Bukti ini bukan datang dari mulut penyokong Pakatan Rakyat. Bukti dan cara kad pengenalan segera ini diagih-agihkan kepada pendatang haram telah didengar dari mulut pegawai-pegawai tinggi Jabatan Imigresen, dari mulut pegawai tinggi Jabatan Pendaftaran Negara atau dari mulut Tuan Pegawai Daerah Sandakan yang terlibat pada ketika itu.

Sayangnya - selama lebih dari 50 tahun - ramai warga negara Malaysia telah dibonsaikan. Atau lebih tepat lagi telah menjadi bodoh sehinggakan tidak dapat menggaris dan menyusun berita laporan Suruhajaya Diraja ini ini sebagai satu bukti penipuan undi di Sabah. Bukti penipuan terpampang luas di hadapan mata tetapi tidak dapat dilihat.

Kegagalan warga menyusun berita yang keluar dari laporan siasatan Suruhanjaya Diraja untuk dijadikan satu naratif penipuan membuktikan bahawa proses pembodohan telah sampai ke kemuncak. Penipuaan undi telah terang-terang dilaporkan tetapi masih ada lagi yang bertanya : mana bukti penipuan berlaku?

Kadang-kadang saya teringin menempeleng orang yang meminta bukti penipuan undi dalam pilihan raya. Kadang-kadang saya marah bercampur sedih. Marah kerana berhadapan dengan soalan bodoh. Sedih kerana mereka juga adalah kaum keluarga kita, sahabat handai kita dan warga negara Malaysia yang telah berjaya dibodohkan.

Pada 5 Mei 2013 rakyat Malaysia akan keluar mengundi. Tarikh telah ditetapkan. Sama ada tarikh ini dengan persetujuan Guru Ji atau dengan restu Pak Bomoh Najib saya tidak tahu. Malah semua ini tidak penting.

Ada satu perkara yang saya sedar dengan jelas. Beberapa minggu setelah Najib menempeleng Dolah Badawi ada seorang kawan saya yang amat rapat dengan Abdullah Badawi telah memberitahu saya bahawa PRU-13 akan diadakan setelah semua sistem penipuan disusun rapi.

Awalnya saya kurang yakin akan ‘borak kosong' ini. Kawan saya ini ada juga memberi saya tahu tentang strategi untuk memunculkan banyak NGO Melayu Islam untuk ke hadapan mendindingi United Malaya National Organisation. Saya juga diberitahu bahawa ‘pembayaran' dan duit akan ditabur untuk membeli sokongan.

Saya perhatikan satu demi satu perkara yang saya difahamkan empat tahun dahulu kini telah terjadi. NGO Melayu Islam 'mengulat taik', pemandu teksi diberi tayar, komputer dan buku diagih untuk pelajar, gaji pelbagai bidang telah dinaikkan, mak cik dan pak cik Felda dapat RM15,000- duit sedang ditabur di sana-sini.

Maka apabila tarikh 5 Mei 2013 itu diumumkan, maka saya yakin semua sistem untuk menipu telah dipasang dan telah bersedia untuk memastikan United Malays National Organistion terus berkuasa. Atau apakah strategi jahat yang dirancang oleh SPR ini akan dapat mengalahkan kebangkitan rakyat? Tunggu minggu hadapan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.