`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, May 18, 2013

Bilakah 'divine intervention' akan sampai?



Untungnya tak seberapa, ruginya yang lebih. Itulah dialami oleh kedua-dua belah pihak, Pakatan Rakyat dan BN. Masing-masing mendapat keuntungan, tetapi lebih pula kerugian yang dialami. UMNO mendapat untung 11 kerusi lebih dari PRU 2008 yang lalu iaitu 88 kerusi kesemuanya, tetapi kerugian sebanyak 7 kerusi keseluruhan yang diperolehi BN. Hendak bergembira tidak cukup keuntungan dan sebaliknya untuk bermenung tidak juga boleh kerana tidak pula banyak kekalahannya.

Tetapi jika dikaji dengan rapi, BN mendapat kerugian yang besar kerana begitu banyak usaha yang dilakukan oleh BN keuntungan tidak juga diperolehi. Entah berapa biollion wang kerajaan di belanjakan oleh pihak BN secara ‘direct’ atau ‘indirect’, kerusinya tetap berkurangan sebanyak tujuh jumlahnya dari pilihanraya sebelumnya. Itu kalau dikaji dari kos yang melibatkan wang ringgit.

Tetapi harga yang paling mahal ialah perpecahan diantara kaum yang sangat ketara hasil permainan media masa dan kata-kata pihak yang berkuasa semata-mata untuk pengekalan kuasa itu. Orang Melayu dipecahkan dengan orang Cina dan India dan perpecahan diantara yang beragama juga tidak kurang parahnya. Dilagakan kita diantara kaum dan agama untuk tujuan politik tetapi tidak juga untungnya.

BN tetap kekurangan kerusi yang di perolehi jika dibandingkan jumlah yang mereka perolehi dari PRU yang sebelumnya. Ia ibarat berniaga buluh kasap, hujungnya hilang pangkalnya lesap. Sudah selesai pilihanraya sikap pimpinan yang berkuasa masih tidak semenggah. Ada pula pemimpin yang meminta kita semua untuk berhijrah ke negara lain jika tidak bersetuju dengan keputusan pilihanraya.

Sudah jelas parti pemerintah semakin lemah, yang bernasib baik diberikan kemenangan masih bercakap seperti orang yang terencat akal. Tidak termasuk akal bagi semua yang pernah ke sekolah atau yang tidak pernah masuk sekolah mendengar pemimpin kita menghalau rakyat kerana tidak berpuas hati dengan sesuatu isu besar. Itu belum lagi menang dua per tiga kerusi di Dewan Parlimen lagi tu. Bagaimana lah agaknya jika BN memenangai dua per tiga kerusi dalam pilihanraya yang lalu?

Sesungguhnya sangat mahal untuk mengekalkan BN khususnya UMNO untuk berkuasa. Semuanya tergadai. Perpaduan kaum yang terjalin telah tergadai, maruah parti UMNO pun jelas tergadai. Seterusnya maruah Perdana Menteri yang melaungkan usaha transformasi dalam ke semua bidang pun tergadai. Malahan semuanya tergadai.

Bagaimana pula usaha untuk menebus gadaian yang terlalu besar semasa kempen pilihanraya yang lalu itu? Kalau bengkok boleh diluruskan. Bagaimana pula yang patah? Bagaimana hendak menyambung yang patah itu. Perpaduan kaum sudah tergadai, bagaimana hendak menebusnya? PM Najib telah melahirkan hasrat untuk melakukan ‘national reconciliation’ sejurus selepas mengumumkan BN membentuk kerajaan. Tetapi keesokan harinya pimpinan UMNO dan akhbar media perdana bertanya, “apa lagi orang Cina hendak?’

Ali Rustam sehingga hari ini marah kepada kaum Cina dan menuduh Cina tidak berterima kasih kepadanya. Apa ini semua? Kenapa Ali tidak bertanya kenapa semua kaum khususnya orang Cina tidak menyokong beliau. Ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku. Dr Mahathir pernah kalah kepada Yusuf Rawa, mursyidul am PAS pada tahun 1969 dahulu di kawasan Kota Setar kerana Mahathir berkata dia tidak perlu undi Cina untuk menang.

Kali ini berulang lagi sejarah lama. UMNO dan penyokongnya menganggap Cina kaum pendatang dan tidak boleh di beri muka. Tetapi kaum Cina sekarang sudah sampai ke generasi keempat, bagaimana kita katakan mereka kaum pendatang. Kalau begitu adanya kenapa kita tidak bercakap tentang Dr Mahathir sebagai generasi pendatang. Mahathir baru generasi kedua sahaja, tetapi telah menjadi Perdana Menteri yang paling lama di sini.

Kadang-kadang mahu juga menyebut Mahathir sebagai seorang yang mempunyai mentaliti pendatang atau di sebut dalam bahasa Inggeris sebagai ‘migrant mentality’ kerana sikapnya yang tamak dan haloba yang keterlaluan. Hendak memerintah mesti berdekad-dekad lamanya. Hendak mendapat laba sampai tidak tentu sempadannya. Kalau berkuasa hendak lama-lama, wang ringgit hendak berkoyan-koyan dan kalau boleh semuanya hendak ditinggalkan kepada keturunannya semua harta dan kuasa yang setinggi gunung. Itu semua adalah sikap orang yang mempunyai mentaliti ‘migrant’ tadi.

Budaya dan sikap itu telah tertanam begitu dalam  pemikiran dan kepercayaan pimpinan hari ini dan ia tidak dapat diatasi lagi. Ia hanya boleh diatasi dengan memulakan negara baru dengan kumpulan pimpinan yang baru keseluruhan dalam parti itu.

Keadaan politik sekarang amat meruncing pada hakikatnya, seolah-olah kita sudah hilang keyakinan untuk mencari penyelesaian yang betul itu tidak mungkin tercapai lagi selain dari kita mendapat ‘divine intervention’.

Kita wajar memahani yang pencarian kepada penyelesaian ini memerlukan kesabaran dari setiap pihak. Semua pihak sepatutnya memulakan politik baru dari sekarang. Mungkin ia memakan masa yang panjang, tetapi kata orang tua-tua, kerja beransur itu tidak bertahan. Ia akan tetap sampai kepada penyelesaiannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.