`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, May 30, 2013

‘Jangan heret istana kemelut lantikan Exco Selangor’

Ia bagi mengelak salah faham rakyat terhadap institusi diraja negeri ini, kata Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani.
KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi amaran supaya tidak mengheret dirinya dan pihak Istana dalam kemelut kelewatan pelantikan Exco Selangor sehingga tempoh tiga minggu.
Baginda melalui Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, ia bagi mengelak salah faham rakyat terhadap institusi diraja negeri ini.
“Saya ingin mendapat kerjasama dari penulis-penulis laman sesawang dan blog supaya tidak mengheret pihak Istana terutama Sultan Selangor dalam apa jua perkara tanpa siasatan terlebih dahulu bagi mengelakkan salah tanggapan rakyat terhadap Sultan Selangor khasnya dan pihak Istana amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelaskan perkara sebenar, Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin pada 14 Mei lalu telah menitahkan Menteri Besar Selangor Tan  Sri Abdul Khalid Ibrahim mengemukakan senarai Exco untuk diperkenan.
Selaras dengan peruntukan undang-undang, Abdul Khalid telah berjanji untuk mengemukakan nama-nama Exco setelah berbincang dan mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga parti komponen dalam tempoh satu minggu.
Mohamad Munir berkata, Baginda pada 20 Mei lalu telah menerima surat mengandungi senarai nama Exco semasa Abdul Khalid bercuti membuat rawatan di luar negara.
“Menteri Besar Selangor hanya menghadap bagi mendapat perkenan Sultan Selangor pada Isnin 27 Mei lalu selepas beliau kembali ke tanah air.
“Oleh itu tidak benar tohmahan oleh seorang Ahli Parlimen Selangor yang menyatakan kelewatan pelantikan Exco disebabkan memenuhi kehendak Sultan Selangor,” katanya.
Kenyataannya itu dipercayai ditujukan kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mendakwa kelewatan itu kerana Sultan Selangor mahu melihat nisbah Exco yang berlainan pada kali ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS III itu dalam blognya 20 Mei lalu berkata pihaknya difahamkan Sultan mahu formula 6 (Melayu):4 (bukan Melayu) berbanding penggal lalu 5:5.
“Maka dipersetujui bersama bahawa Menteri Besar akan berusaha untuk mendapat persetujuan DYMM Sultan supaya dikekalkan jumlah exco bukan Melayu sebagai 5 dan exco Melayu juga 5 supaya DAP boleh mendapat 4 kerusi Exco.
“Walaubagaimanapun, sekiranya DYMM Sultan tetap dengan pendiriannya, maka MB wajar menerimanya dan akur dengan kehendak DYMM Sultan.
“Sekiranya ini berlaku, maka DAP akan diminta menerima tawaran Speaker dan 3 exco sambil tawaran 4 exco akan diserah kepada PAS,” ujar Khalid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.