`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, June 23, 2013

LAHAD DATU MENGGAPAI STATUS PERBANDARAN

Oleh : NUR NATASHA AIDA ISMAIL
LAHAD DATU (Sabah : Imej Lahad Datu sebagai pekan koboi akan tinggal sebagai kenangan apabila usaha sedang giat dijalankan ke arah mencapai status perbandaran menjelang 2015 seperti mana jirannya, Sandakan dan Tawau.

Pekan ini, yang wujud sejak abad ke-15, menyaksikan pembangunan yang pesat sejak kebelakangan ini berikutan kedudukannya di daerah yang pesat membangun, yang mempunyai nama yang sama, Lahad Datu, dan merangkumi keluasan 6,500 km persegi.
Lagipun, daerah ini menarik perhatian semua rakyat Malaysia walaupun tidak seluruh dunia, susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, yang terletak kira-kira 130 km dari pekan Lahad Datu.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir berkata pekan dan daerah ini telah pulih daripada konflik hitam itu dan keadaan telah kembali normal.

"Semasa kemuncak konflik itu, jalan raya kelihatan lengang, kedai hanya beroperasi sehingga pukul 3 petang dan penduduk dilihat tidak ramai yang keluar ke bandar", katanya mengimbas kembali kesan pencerobohan dan operasi "Ops Daulat" untuk mengusir semua penceroboh berkenaan yang datang dari selatan Filipina.




Jaminan Keselamatan Di Lahad Datu

Kejadian pencerobohan itu juga mempunyai hikmah di sebaliknya kerana susulan kejadian berkenaan kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), yang beribu pejabat di Lahat Datu, bagi memastikan keselamatan terus terjamin di Lahat Datu.

Menyifatkan penubuhan ESSCOM sebagai nafas baru di sebalik insiden pencerobohan itu, Zulkifli berkata ia juga sebenarnya menjadi satu daripada pemacu dalam usaha merancakkan lagi ekonomi Lahad Datu sekaligus memastikan daerah itu meraih status Majlis Perbandaran.

"ESSCOM dilihat memberi keyakinan kepada penduduk setempat termasuk pelabur asing dari segi keselamatan di kawasan berkenaan," katanya dan menambah bahawa sektor pelancongan, industri dan pertanian adalah nadi ekonomi daerah ini.

Pertumbuhan ekonomi yang rancak di daerah ini telah menarik ramai orang ke sini dan pekan Lahat Datu sahaja mempunyai penduduk kira-kira 300,000 orang sekarang ini berbanding 200,000 orang dalam tempoh lapan tahun lepas.

Lahad Datu Ibarat Ampang Di Selangor

Hari ini, jika berada di pekan Lahad Datu, seakan berada di Bandar Ampang, Selangor dengan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu kemuncak pagi dan petang, keadaan ini sekaligus menjadi petunjuk bahawa ekonomi Lahad Datu sedang berjalan rancak.

Penduduk pekan ini terdiri daripada suku kaum Bajau, Idahan, Iranun, Bugis, Suluk, Tidung dan Dusun Begahak.

Menurut Zulkifli, Lahad Datu adalah daerah paling cepat membangun jika dibandingkan daerah lain di Sabah.

Memandangkan daerah ini pesat membangun, usaha juga dilaksanakan untuk menaik taraf sistem pengangkutan, infrastruktur dan bekalan air bersih.

Untuk memenuhi keperluan belia, sebuah kompleks sukan bernilai RM15 sedang dibina. Pembinaan sebuah lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu juga dirancang sebagai projek pembangunan infrastruktur.


Potensi Pelancongan

Episod pencerobohan pengganas itu juga secara tidak langsung mendedahkan kepada dunia bahawa Lahat Datu mempunyai khazanah semulajadi yang menarik dan berpotensi sebagai destinasi pelancongan.

Zulkifli menyenaraikan Lembah Danum, Tabin Wildlife Resort dan terbaru pembukaan Menara Kayangan, Gunung Silam sebagai antara kawasan di daerah ini yang boleh menarik pelancong.

"Lahad Datu mempunyai banyak tempat menarik dengan pantai yang putih bersih dan pulau-pulau termasuk Felda Gugusan Sahabat, di mana terletaknya Kampung Tanduo. Sektor swasta pula digalakkan membangunkan sektor pelancongan di sini," katanya.

Kampung Tanduo antara saksi pertempuran kumpulan pengganas sebelum ini, juga akan menyaksikan pembinaan sebuah monumen sebagai memperingati perwira negara yang terkorban dalam pertempuran itu.

Ops Daulat menyaksikan dua anggota tentera terkorban dan 68 pengganas ditembak mati.

"Namun dengan mendirikan monumen sahaja tidak cukup kuat untuk menarik pelancong, mungkin perlu ada pakej atau produk pelancongan lain berasaskan akuakultur atau berkaitan dengan marin atau mungkin pembinaan pusat peranginan oleh pihak-pihak swasta untuk jalankan aktiviti menyelam dan seumpama.

Sektor Kelapa Sawit

Dari sektor perindustrian, Projek Kelompok Perindustrian Sawit (POIC) bagi mengukuhkan status global industri minyak sawit Malaysia yang mempunyai tiga fasa dengan keluasan 2,200 hektar itu kini merekodkan nilai pelaburan mencecah berbilion ringgit selepas tujuh tahun dibangunkan hasil pelaburan syarikat asing seperti Jepun dan syarikat tempatan.

"Pada asalnya industri ini berasaskan kelapa sawit tetapi pada ketika ini syarikat yang menguruskan industri ini telah mengubah strateginya dengan mempelbagaikan aktiviti industrinya. Masih terdapat banyak peluang bagi syarikat industri berkaitan membuat pelaburan.

Kewujudan POIC yang bertujuan menggiatkan ekonomi daerah itu ternyata memberi kesan dalam pelbagai sektor lain termasuk industri logistik, perkapalan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Gugusan Sahabat di Lahad Datu adalah pengeluar terbesar minyak sawit Malaysia dengan keluasan tanah yang ditanam dengan kelapa sawit ialah 105,685 hektar, dan di sinilah terletaknya Felda Sahabat, di mana berlakunya pencerobohan oleh pihak pengganas Sulu.

Jamin Peluang Kerja Belia Tempatan

Perkembangan positif hasil daripada tiga sektor utama iaitu pelancongan, perindustrian dan pertanian, yang menjana ekonomi Lahad Datu serta pelbagai usaha untuk merancakkan ketiga-tiga sektor ini diyakini bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia di daerah ini.

"Dengan perkembangan pesat ketiga-tiga sektor ini, kita yakin belia Lahad Datu akan mendapat peluang kerja dan terus menetap di daerah ini dan tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan. Perubahan ini sebenarnya dilihat sejak 2008 apabila kerancakan ekonomi Lahad Datu mula berhasil.

"Seperti POIC, mereka mewujudkan kursus kepada golongan pekerja terutamanya belia sebelum kembali berkhidmat dengan syarikat di bawah POIC," kata Zulkifli.

Melihat kepada senario pembangunan pesat yang dilalui di pekan Lahad Datu sekarang ini ternyata ia bukan sahaja mampu mencapai status perbandaran malah bersedia untuk transformasi sebagai sebuah bandaraya pada masa akan datang. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.