Oleh : JINNI JUANIS
KOTA KINABALU: Ada penyelesaian terhadap masalah kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (Pati) di Sabah tetapi jika kerajaan tidak peduli, maka ibu kepada segala masalah ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila, kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, masalah pendatang di negeri ini boleh selesai jika kerajaan mengguna pakai ‘Memorandum 14 Perkara’ yang diserahkan oleh SAPP kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum pada 1999.
“Sehingga kini, kerajaan tidak pernah menghiraukan memorandum itu,” katanya.
Yong akan memberi keterangan di depan jemaah sidang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pati esok, 20 Jun dan dengan peluang itu, Yong akan memberitahu yang isu itu boleh diselesaikan jika kerajaan benar-benar mahu.
Menggelar Projek IC atau Projek M (singkatan untuk Mahathir) itu sebagai kucar-kacir Yong berkata, keberkesanan RCI bergantung kepada fokus dan kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikannya, tanpa dicemari dengan sentimen agama dan bangsa.
Antara kandungan memorandum itu ialah cadangan cara mengurus pemantauan marin dan mensyaratkan rakyat asing yang tiba di Sabah menggunakan feri dari negara jiran meletakkan bon RM500 yang tidak akan dikembalikan jika mereka gagal kembali menggunakan feri itu untuk balik ke negara asal.
Memorandum itu juga mencadangkan supaya dilakukan operasi khas seperti yang pernah dibuat pada tahun 1995-96 untuk menangkap pemimpin dan anggota sindiket termasuk ‘agen haram yang mencari” dan membawa dokumen meragukan kepada pendatang.
Untuk memupuk kerjasama dan bertukar maklumat di kalangan negara jiran, patut juga ada mesyuarat di antara agensi Malaysia, Filipina dan Indonesia seperti polis, tentera, kastam dan imigresen yang sejak akhir-akhir ini semakin berkurangan.
Mesyuarat pihak pasukan keselamatan di antara tiga negara ini akan dapat melihat dengan jelas masalah yang dihadapi dan sepakat mencari penyelesaian jangka panjang.
“Sesetengah penyelesaian sudah dinyatakan dalam ‘Memorandum 14 Perkara’ selain ada beberapa idea terkini yang akan saya utarakan seperti mengkaji masalah pendatang di Texas, Hong Kong/Shenzhen, Vietnam dan sebagainya.
Lambakan pendatang
“Pengalaman negara lain yang menghadapi masalah kedatangan pendatang boleh memberi idea kepada kita untuk mengurus lambakan pendatang di negeri ini,” katanya.
Menurut Yong, penguatkuasaan terhadap penduduk tempatan yang melindungi pendatang juga perlu dilakukan di mana ramai pendatang ini menyewa tanah dan rumah daripada penduduk tempatan.
Malah, ada ketua kampung juga terbabit menyewakan hartanah mereka kepada pendatang ini. Dan paling menyedihkan, tidak ada penguatkuasaan dijalankan sehingga sekarang walaupun rakyat melaung-laung supaya sesuatu dilakukan.
“Saya mahu RCI menyedari satu perkara. Ada sesetengah penduduk tempatan (bukan Islam) membantah kehadiran pendatang ini sebab alasan agama dan bangsa.
“Kami mahu penduduk Islam tempatan berkongsi visi bersama penduduk berlainan agama di Sabah ini dan melihat jauh ke depan kesan jangka panjang pendatang walaupun mereka seagama,” kata Yong.
Inisiatif BIMP-EAGA
Dari aspek lebih luas kata Yong, perlu ada keyakinan pada inisiatif BIMP-EAGA, di mana kerajaan serantau seolah-olah tidak serius untuk menjayakan perkongsian ini.
Ramai pemimpin hanya menghabiskan masa berpolitik dan mengaut keuntungan. Ini memalukan kerana inisiatif ini sebenarnya boleh membantu mendorong rakyat dari negara jiran untuk kekal di tempat sendiri jika BIMP-EAGA berjaya dilaksanakan dan menjana pendapatan negara masing-masing.
BIMP-Eaga sepatutnya membawa kemakmuran dan kedamaian di Mindanao dan Sulawesi. Kalimantan yang semakin kaya kerana penanaman kelapa sawit mengurangkan faktor penolak yang mendorong mereka kekal bekerja di tempat sendiri.
Perubahan ekonomi semakin baik yang melanda Indonesia mempengaruhi tenaga kerjanya apabila ramai kembali ke Kalimantan, di mana kira-kira 1 juta hektar tanah dibuka untuk penanaman kelapa sawit.
Mereka menerima kerja dan gaji lebih baik di sana. Sebelum ini, sebilangan besar daripada mereka bekerja di ladang kelapa sawit di Sabah. Ini adalah perkembangan baik bagi rakyat Indonesia dan juga Sabah.
“Cuma masalah kita sekarang ialah pendatang dari Filipina. Saya bertemu dengan ramai bekas rakyat Malaysia yang balik ke Nunukan dan Balikpapan, malah ada yang balik ke Zamboanga. Ini boleh disamakan seperti kaum Cina Malaysia mahu balik ke China atau Hong Kong dan tidak akan kembali lagi ke Malaysia.
“Atau seperti rakyat Vietnam meninggalkan Amerika Syarikat untuk balik ke Vietnam yang kini semakin makmur. Sama juga dengan rakyat Mexico meninggalkan Amerika kerana keadaan semakin baik di negara sendiri. Indonesia semakin makmur dan kita nampak tidak ramai pendatang dari negara itu.
“Hanya Filipina yang masih kucar-kacir. Paling teruk jika jiran kita ini dalam kesusahan, mereka juga mengeksport masalah mereka kepada kita,” kata Yong.
Sebenarnya bukannya rahsia lagi bahawa ramai pendatang yang ada dokumen berhijrah ke Semenanjung, di mana mereka menjadi penduduk ‘Malaysian Sabahan’.
Enggan pulang
Sesetengah mereka enggan pulang dan ada yang ditangkap di lapangan terbang Kota Kinabalu/Tawau kerana memiliki Mykad yang meragukan. Malah ada yang langsung tidak mahu balik ke negara asal.
Mengenai keberkesanan RCI, kata Yong: “Orang ramai ada pandangan berbeza mengenai prosiding RCI. Sebenarnya ada banyak bukti bernilai yang didedahkan.
“Semua ini kini menjadi rekod awam yang kita boleh guna sekarang dan pada masa depan.”
Namun menurut Yong, sejak prosiding bermula pada Januari lalu, belum ada sesiapa yang berkata mengenai apakah penyelesaian dan apa yang boleh dan akan dilakukan oleh kerajaan, seolah-olah ia tidak penting.
“Tiada sesiapa yang bercakap mengenai penyelesaiannya. Apa yang kita boleh lakukan untuk menyelesaikan keadaan kucar-kacir ini?
“Saya tidak akan katakan yang kita mampu menyelesaikannya 100% tetapi kita boleh menghadkan masalah ini,” kata Yong.
Prosiding RCI bermula pada awal Januari tahun ini dengan dipengerusikan oleh bekas Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Steve Shim Lip Kiong dengan dibantu oleh empat pesuruhjaya.
Jabatan Statistik pada awal tahun ini mendedahkan seramai 889,000 penduduk di Sabah adalah rakyat asing. Mereka merangkumi 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah keseluruhannya, berdasarkan bancian tahun 2010. (FMT)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.