`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 12, 2014

Gamuda, IJM akan dapat terbanyak dalam RM400 juta dari wang rakyat untuk pampasan tol

Konglomerat pembinaan Gamuda dan IJM Corp akan mendapat bahagian terbanyak dalam pampasan RM400 juta dibayar daripada wang pembayar cukai selepas Putrajaya bersetuju untuk menangguhkan kenaikan tol untuk 2014, kata penganalisis.
Pada ketika pengguna 14 lebuh raya di sekitar Lembah Klang berseronok selepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu, secara realitinya pembayar cukai yang akan menanggung pampasan tersebut.
CIMB Research mengatakan pampasan RM400 juta kerana penangguhan kenaikan tol 2014 merupakan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dan akan menyebabkan jumlah pampasan terkumpul Putrajaya sebanyak RM1.5 bilion semenjak 2008.

"Dalam dunia pembinaan kita, kontraktor/pemegang konsesi lebuh raya adalah Gamuda dan IJM Corp.
"Mereka memiliki kebanyakan lebuh raya dan akan mendapat pampasan terbesar kerana penangguhan itu," kata CIMB Research.
Muhyiddin mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Kabinet minggu lepas untuk menenangkan kritikan terhadap penyelarasan subsidi dan kenaikan harga bagi petrol, gula, tarif elektrik dan cukai pintu.
CIMB menjangkakan purata kenaikan tol pada 2014 mungkin 43% bagi 14 lebuh raya utama di Lembah Klang.
"Senario tiada kenaikan tol merupakan untung bersih bagi pemegang konsesi pada pandangan kami, kerana pampasan dibayar tanpa penurunan jumlah trafik.

"Keputusan untuk tidak menaikkan kadar tol dilihat kerana kebimbangan orang ramai selepas kenaikan minyak dan tarif elektrik tahun lepas," kata badan penyelidik itu.
Katanya tiada kenaikan juga menghapuskan risiko kurangnya jumlah trafik yang biasanya berlaku sehingga enam bulan selepas kenaikan kadar.
Keputusan menangguhkan kenaikan tol menyebabkan agensi kewangan dunia, Credit Suisse membidas keputusan Putrajayakerana ia bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi pada masa depan.
Agensi berpengkalan di Switzerland itu berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku pada ketika penarafan kredit Malaysia masih berada pada kedudukan membimbangkan.
"Keputusan berpatah balik menaikkan tol tidak sepatutnya berlaku.

"Keputusan berpatah balik yang besar akan memberi kesan kepada penurunan penarafan kredit," kata Credit Suisse dalam laporan Malaysia Market Strategy beberapa hari lepas.
Pada Julai lalu, agensi penarafan kredit dunia Fitch Ratings melaporkan unjuran kredit Malaysia dilihat sebagai lemah.
Fitch Rating menurunkan ramalan unjuran kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif.
Walaupun melihat langkah pengukuhan defisit fiskal bukan suatu yang popular, Credit Suisse berkata, ia adalah langkah yang kritikal.
"Tapi ia adalah polisi yang kritikal untuk mengurangkan defisit fiskal," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2014 lalu mengumumkan beberapa polisi pengukuhan fiskal, antaranya pengurangan beberapa subsidi yang dinikmati oleh rakyat.
Bagaimanapun, pemotongan subsidi seperti petrol, elektrik dan gula menyumbang kepada kesan domino khususnya kepada rakyat.
Malah kadar inflasi meningkat 3.2% pada hujung Disember 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.