`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 18, 2014

Anak OKU hilang tempat bergantung bila bapanya hancur bersama pesawat MH17

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Md Yusof tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2014.Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Md Yusof tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Julai, 2014.
Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) kini hilang tempat bergantung apabila bapanya, salah seorang krew pesawat MH17  mati dalam tragedi di Ukraine itu, kata Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).
Setiausaha Nufam Mohd Akram ‎Osman berkata Mohd Ghafar Abu Bakar, salah seorang krew yang berada di atas kapal itu mempunyai anak kurang upaya.
"Kita semua merasa sedih dengan insiden ini, kita kenal kebanyakan daripada mereka, siapa ahli keluarga mereka dan seperti MH370, MH17 juga terdiri daripada orang lama, orang senior dalam MAS.
Nufam juga, kata Mohd Akram, sedih dengan apa yang berlaku kerana MAS tidak mempunyai musuh di sana.
Beliau menyifatkan pesawat MH17 sebagai mangsa keadaan ekoran ketegangan politik yang tercetus di antara dua negara.
"MAS tidak mempunyai musuh, kita tidak terfikir akan menjadi sasaran musuh, oleh itu susah kita hendak terima.
"Memang kita tidak boleh hendak jangka, rasanya kita masih belum pulih dengan insiden MH370 dan kemudian berlaku lagi, namun inilah takdirnya,"  katanya.
Sepertimana tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH370 Mac lalu, Nufam berkata akan memperjuangkan nasib waris keluarga krew pesawat MH17 yang dilaporkan terhempas di perkampungan Grabovo berdekatan Donetsk, Ukraine akibat ditembak oleh militan pro-Rusia.
Mohd Akram berkata, kesatuan sudah menghubungi kesemua ahli keluarga anak kapal pesawat MH17 semalam dan kini dalam peringkat perbincangan untuk menggariskan tuntutan bagi waris tersebut.
"Kita sudah menghubungi kesemua keluarga anak kapal semalam dan presiden kita juga turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
"‎Apa pun, akan ada perbincangan dalam mesyuarat jawatankuasa selepas ini dan kita lihat apa yang kita boleh bantu dari segi kebajikan atau apa sahaja," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau yang mengakui masih terkejut dengan berita itu berkata presiden Nufam akan mengumumkan bantuan bagi keluarga waris krew MH17 selewat-lewatnya petang ini atau besok.
"Saya tidak boleh memberitahu dengan lebih lanjut segala keputusan akan diumumkan oleh presiden nanti, kita tunggu sahaja," katanya.
Pesawat MH17  yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala ‎Lumpur sepatutnya mendarat di KLIA pada kira-kira jam 6.10 pagi ini.
Namun pesawat malang Boeng 777 itu dilaporkan ditembak pada ketinggian 40,000 kaki di ruang udara Ukraine‎ oleh kumpulan pemberontak negara itu.
Sebanyak 298 penumpang termasuk 15 anak kapal berada dalam pesawat malang itu ketika kejadian berlaku.
‎Daripada 15 anak kapal MH17 yang membabitkan dua juruterbang, dua pegawai pesawat dan 11 krew kabin, dan kesemua mereka merupakan rakyat Malaysia.
Akram berkata lagi, bagi pihak Nufam, beliau melahirkan perasaan hiba dengan insiden itu memandangkan kesemua krew terlibat terdiri daripada "senior" kakitangan MAS.
"Kita akan cuba bantu daripada segi kewangan atau sokongan emosi," katanya.
Insiden tersebut mengejutkan masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia kerana ia berlaku dalam tempoh empat bulan selepas peristiwa MH370.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menggesa satu siasatan telus dan menyeluruh peringkat antarabangsa.
Hari ini PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata dalam sidang media khas kira-kira jam 4 pagi tadi bahawa pusat operasi kecemasan ditubuhkan dan pesawat khas dihantar ke Kiev.
Susulan itu, rakyat seluruh dunia melahirkan rasa terkejut dan simpati melalui media sosial berhubung insiden kedua pesawat MAS dan memjadikan #PrayForMH17 sebagai ruang perbincangan.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.