`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, December 12, 2014

Malaysia Bertemu Thailand Di Final Pada 17 Disember 2014

MALAYSIA bakal berentap dengan Thailand pada aksi final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas menang agregat 5-4 ke atas Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Vietnam, malam ini. 

Skuad Harimau Malaya, yang kalah 2-1 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, bangkit dengan kemenangan bergaya 4-2 pada aksi timbal balik untuk mara ke final buat kali kedua selepas 2010. 

Thailand pula menang agregat 3-0 ke atas Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, semalam. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina, Sabtu lepas. 

Pada aksi malam ini, Vietnam dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong mereka terus mengasak kubu skuad Harimau Malaya sebaik sahaja pengadil dari Jepun, Toma Masaaki meniupkan wisel. 

Nasib bagaimanapun lebih menyebelahi Malaysia yang membuka tirai jaringan seawal minit ketiga oleh perancang tengah, Safiq Rahim menerusi sepakan penalti. 

Masaaki menghadiahkan penalti tersebut selepas pemain tengah negara, Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan oleh pertahanan Vietnam, Que Ngoc Hai di dalam kotak penalti. 

Penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha menamatkan kemarau jaringan pada kejohanan kali ini dengan meledak gol kedua untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-15 hasil kesilapan pemain tuan rumah. 

Tersentak dengan gol tersebut, Vietnam kembali menyusun permainan dan berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten pasukan, Le Cong Vinh pada minit ke-22. 

Selang enam minit kemudian, skuad Harimau Malaya kembali menambah duka untuk skuad kendalian Toshiya Miura itu selepas pertahanan mereka, Dinh Tien Thanh tertampan bola ke dalam gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hantaran silang Indra Putra. 

Kegembiraan skuad negara berterusan selepas kapten pasukan, Muhammad Shukor Adan berjaya menambah gol keempat pada minit ke-42 selepas menyudahkan tandukan pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas. 

Bersambung babak kedua, Vietnam mengubah rentak perlawanan dengan menggandakan asakan bagi merapatkan jurang dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Le Cong Vinh menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-78 hasil kelalaian benteng pertahanan skuad negara. 

Pasukan tuan rumah berusaha untuk menambah jaringan namun gagal sehingga tiupan wisel daripada Masaaki, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia untuk mengulangi kejayaan juara pada 2010 yang dihoskan bersama oleh Indonesia dan Vietnam. 

Malaysia mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia pada aksi final 2010 untuk muncul juara buat pertama kali. 

Sebagai rekod, Malaysia kalah 1-0 kepada Thailand pada aksi final 1996 di Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger. 

Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Bangkok pada 17 Disember ini disusuli aksi timbal balik pada 20 Disember di sini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.