`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 8, 2015

CEO Tabung Haji Pertahan Beli Tanah 1MDB Dengan Harga Yang Mahal

Beli tanah di TRX bukan untuk selamatkan 1MDB – Tabung Haji
JOHAN ABDULLAH menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap sebuah blog yang didakwa membocorkan dokumen sulit Tabung Haji di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 7 Mei – Lembaga Tabung Haji menegaskan keputusan membeli tanah seluas 0.63 hektar (1.56 ekar) bernilai RM188.5 juta dalam pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) bukan tindakan menyelamat atau ‘bail out’ 1MDB tetapi telah melalui proses penilaian wajar di semua peringkat.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, dakwaan kononnya pembelian itu bagi menyelamatkan 1MDB adalah tidak benar.

“Kami tidak ‘bail out’ sesiapa. Saya tidak ditekan atau menerima panggilan telefon daripada sesiapa (dalam membuat keputusan),’’ katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tabung Haji di sini hari ini.

Menurutnya, para pendeposit Tabung Haji tidak perlu gusar kerana pelaburan itu merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko (risk appetite) dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.

Beliau mengulas penyiaran dokumen kertas cadangan sebuah blog yang mendakwa syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB telah menggunakan dana Tabung Haji untuk membantunya menyelamatkan agensi itu daripada beban hutang yang besar.

Johan berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana keputusan pembelian tersebut adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah Tabung Haji yang memberi tumpuan kepada sektor domestik.

“Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa iaitu sebanyak RM194 juta, bersamaan dengan RM2,700 bagi satu kaki per segi dan ia telah dinilai secara terperinci oleh sebuah badan penilai bebas profesional.
“Harga asal yang ditawarkan ialah jauh lebih mahal, melebihi RM200 juta tetapi berjaya menurunkannya ke paras tersebut dengan Perjanjian Jual Beli (SPA) dimeterai pada 23 April lalu.

“Kami merancang membangunkan bangunan kediaman setinggi 40 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM828 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan unjuran pulangan hasil 27 peratus atau sembilan peratus setahun,’’ kata Johan.

Mengikut anggaran TH Properties, ujarnya, nilai pembangunan kasar (GDC) ialah kira-kira RM462 juta bagi mendirikan projek kediaman itu, menjadikan keseluruhan kos yang ditanggung termasuk pembelian tanah berjumlah RM650 juta.

“Kenapa ini menjadi isu? Ini kerana pihak yang menjual kepada kami menjadi perhatian. Tetapi apakah ia adil bagi Tabung Haji?,’’ soal beliau.

Ditanya apakah Tabung Haji bersedia menerima sebarang tawaran lagi daripada 1MDB di masa hadapan, beliau berkata: “Ia tidak menjadi masalah, sama ada syarikat itu 1MDB atau 3MDB sekali pun.

‘‘Kita akan kaji dan nilai mengikut prosedur yang sedia ada. Jika ia menawarkan pulangan yang bagus, kita akan ambil,’’ katanya.

Dalam pada itu, Johan berkata, Tabung Haji hanya membeli satu lot tanah di TRX dan bukannya dua lot seperti yang didakwa dalam blog berkenaan.

“Pembelian Signature Tower (Fasa 2) seperti yang didakwa di dalam blog itu adalah tidak betul dan kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut,” ujarnya.

Beliau telah membuat laporan polis tentang kebocoran kertas cadangan itu di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara.

- utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.