`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, May 16, 2015

Najib, Janganlah Bagi Malu Orang Bugis!!

Perdana Menteri, Najib Razak sudah dua kali berikrar tidak akan menyerah kalah dan akan terus melawan terhadap kritikan dan serangan daripada Tun Mahathir Mohamad.

Selain bercakap mengenainya di Kuala Lumpur lebih seminggu yang lalu,  ketika di Tawau baru-baru ini dengan disaksikan oleh kira-kira 40 ribu hadirin yang kebanyakannya orang Bugis, Najib sekali lagi mengulangi pendirian itu.

Dengan lagak seperti pahlawan Bugis, Najib lalu memetik madah suku kaum itu yang berbunyi:-

Kendali tergantung awan di langit
Telah terlanjur ku bentang layar
Walau badai datang menggunung
Walau berdentum guruh di langit
Walau bumi berkeping dua
Takkan mungkin ku berbalik haluan

Madah ini tidak lain membayangkan Najib bukan saja tidak akan menyerah kalah, bahkan sanggup menghadapi apa saja rintangan untuk mempertahankan jawatannya, sesuai dengan keberanian orang Bugis yang memang diketahui umum sejak sekian lama dahulu.

Tentu saja berdiri bulu roma orang Bugis mendengar kata-kata berani daripada Najib itu. Di sebalik berwajah lembut dan mempunyai bibir kemerah-merahan, barangkali orang Bugis di Tawau amat bangga dengan keberanian Najib itu kerana rupa-rupanya darah Bugis dalam tubuhnya masih belum tercemar jika berdasarkan pada madah yang dilafazkannya itu.

Tetapi hari ini dalam program jelajahnya di Ipoh, apabila Tun Mahathir menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Najib mengenai 1MDB, ini adalah peluang terbaik untuk Perdana Menteri membuktikan beliau benar-benar seorang Bugis sejati.

Sebelum berlawan dalam episod-episod yang seterusnya dengan Tun Mahathir, kesanggupannya menyahut cabaran debat ini adalah amat penting untuk menentukan keaslian darah Bugis yang mengalir dalam urat nadinya itu.

Program di Ipoh ini adalah jelajah kedua yang dilakukan oleh Tun Mahathir sejak memulakan serangan dan kritikan terhadap Najib. Program jelajah pertamanya telah diadakan di Taman Melawati kira-kira tiga minggu lalu.

Lebih 3,000 menghadiri program ini dengan kira-kira 60 peratus daripadanya ialah ahli UMNO. Kaum Cina dan India juga turut hadir sama. Antara tokoh Perak yahg hadir ialah Radzi Manan, Ketua UMNO Bahagian Kampar, Hamidah Osman, Ketua Wanita UMNO Gopeng, Yahaya Shafie, bekas Ahli Parlimen Pasir Pinji dan Razman Zakaria, Pesuruhjaya Pas negeri Perak.

Menjawab soalan yang ditanyakan oleh Tamrin Tun Ghafar, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam yang mahukan kepastian sama ada beliau bersedia berdebat secara terbuka dengan Najib supaya rakyat dapat lebih memahami persoalan mengenai 1MDB yang sedang hangat diperkatakan ramai, Tun Mahathir berkata, "Ada sedikit kebolehan, kalau nak debat pun, oklah," katanya.

Dengan kesediaan yang ditunjukkan Mahathir ini, ia adalah langkah permulaan yahg terbaik untuk Najib membuktikan darah Bugisnya masih asli, belum tercemar dan beliau benar-benar tidak takut dengan segala cabaran sebagaimana madah yang telah dilafazkannya itu.

Ini kerana, jika berdebat atau berforum dengan Tun Mahathir pun tidak berani, bagaimanakah mahu Najib menghadi cabaran, serangan dan kritikan seterusnya daripada bekas Perdana Menteri itu?

Sekurang-kurangnya dengan berani menyahut cabaran debat Tun Mahathir ini, orang boleh saja memaafkan keengganannya berdebat dengan Anwar Ibrahim sebelum ini atas alasan debat bukannya budaya kita. Mungkin ketika menolak cabaran Anwar itu, Najib belum cukup keberanian kerana tidak terjumpa lagi madah Bugis yang boleh membakar semangatnya itu.

Ayuh Najib, kali ini janganlah bagi malu orang Bugis lagi!! (SH )

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.