Perpecahan dalam kalangan Melayu atau rakyat Malaysia bukan perpecahan sebenar, tetapi ia adalah perpecahan politik yang jika dibiarkan, boleh menyumbang kepada kecundangan survival negara Malaysia.
COMMENT
Oleh Yunus Tasim
Betulkah Melayu berpecah?
Itulah yang sering dikatakan oleh orang politik terutama dari kalangan UMNO. Teriakan sama dilaungkan oleh Perkasa dan Pekida. Tidak kurang dari kalangan orang agama termasuk mufti, juga pertubuhan Islam seperti Isma. Cuma sejak kebelakangan ini Isma nampak senyap. Tak tahu kenapa. Apakah mungkin kerana Pas bukan lagi ahli PR dan tidak lagi bekerjasama dengan DAP? Atau mungkin kerana Pas akan bergabung dengan UMNO seperti yang dinyatakan oleh Presiden Pas.
Tapi betulkah Melayu berpecah? Apa sebab dan puncanya? Parahkah perpecahan ini hingga boleh menyebabkan serangan fizikal?
Melayu dikatakan berpecah kerana terbahagi kepada ahli UMNO, ahli Pas, ahli PKR dan ahli Amanah. Kalau betul dakwaan ini, maka Melayu berpecah dari sudut politik sahaja. Dan perpecahan ini memang telah lama berlaku, tapi kenapa sekarang baru terpekik, terlolong?
Sebenarnya umat Melayu sudah berpecah dari sudut politik dari dulu lagi. Orang-orang agama dalam UMNO tak setuju dengan orang-orang liberal, maka mereka keluar UMNO dan tubuhkan Pas dalam tahun 50an. Pas itu sendiri, sebenarnya serpihan UMNO. Jadi tak mustahillah, Pas bergabung semula dengan UMNO ibarat sirih pulang ke gagang. Tahun 1970 pun Pas pimpinan Tan Sri Dr Asri Muda bergabung dengan UMNO dan membentuk Barisan Nasional (BN). Malah diberitakan Asri Muda Pas-lah yang mencadangkan BN menggunakan lambang dacing.
Malangnya ia tidak kekal lama. Pas ditendang keluar dari BN. Melayu di Kelantan berpecah lagi. Bukan hanya Pas dan UMNO. Tetapi ada Berjasa dan Hamim, walaupun umum tahu Berjasa di bawah Datuk Mohamad Nasir adalah kuda tunggangan UMNO untuk menghancurkan Pas dan merampas Kelantan dari Pas. Dan Hamim adalah parti serpihan Pas buatan Asri Muda setelah pimpinannya dikalahkan oleh kumpulan Datuk Nik Abdul Nik Aziz Mat.
Jadi Melayu berpecah kepada UMNO, Pas, Berjasa dan Hamim. Tidak pula UMNO bertempik Melayu berpecah? Tidak ada orang agama dan tidak ada mufti yang mahu menjadi orang tengah menyatu-padukan orang Melayu yang berpecah dari segi politik ketika itu.
UMNO berpecah lagi
Kemudian UMNO berpecah lagi ketika Team A, Mahathir (Tun Mahathir Muhamad) dan Team B, Musa-Ku Li (Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah) bergaduh sehingga UMNO lama diharamkan. Mahathir buat UMNO Baru. Ku Li menubuhkan Semangat 46. Tapi semangat Semangat 46 tidak kekal lama dan menemui ‘natural death’ setelah Gagasan Pas-Semangat 46 berjaya menawan Kelantan dari UMNO pada tahun 90an.
Jadi sebenarnya umat Melayu tidak berpecah. Yang berpecah ialah orang Melayu yang fanatik dan taksub kepada parti politik. Parti politik seharusnya menjadi platform untuk memperjuangkan idealisme perjuangan, tetapi sebaliknya menjadi anasir ketaksuban yang melampau.
Itulah yang berlaku dalam tahun 80an. Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Amanat Hadi sehingga ada yang mendakwa Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya menjadi korban kerana pegangan terhadap Amanat Hadi. Berlaku kafir mengkafir, solat dua imam dan kenduri kendara diboikot sesama saudara akibat perbezaan fahaman politik. Itu semua kerana Pas zaman Amanat Hadi tidak setuju dengan perjuangan UMNO yang kononnya mempertahankan ‘Perlembagaan Penjajah’. Anehnya sekarang Ustaz Hadi jugalah yang mencadangkan supaya PAS bergabung dengan UMNO, sedangkan UMNO masih lagi berjuang atas dasar ‘Perlembagaan Penjajah’ yang sama. Malah salah guna kuasa UMNO sekarang ini didakwa lebih teruk dari tahun 80an.
Sebenarnya politik memang memecahbelahkan. Bukan sahaja kepada kaum Melayu. Lihat sahaja Cina dengan MCA, Gerakan, DAP, Cinta, SUPP dan banyak lagi. Begitu juga India dengan MIC, IPF, PPP dan Hindraf. Dayak dan Kadazan juga tidak terkecuali. Jadi banyaknya parti politik bukan ukuran sesuatu kaum itu berpecah.
Begitu juga di peringkat negara. Indonesia yang mempunyai 160 parti politik, bukan semuanya berasaskan kaum tetapi ada juga yang berasaskan agama. German, Australia, Britain juga mempunyai banyak parti politik. Rakyat Amerika juga berpecah dengan sistem dua parti; Demokrat dan Republikan.
Apakah itu tanda perpecahan? Pastinya tidak. Rakyat Amerika selepas pilihanraya akan menumpukan kepada pembangunan negara, tidak kira parti. Jawatankuasa kebangsaan dan kerajaan tempatan dianggotai oleh kedua-dua wakil republikan dan demokrat yang berkelayakan dan mampu membangunkan Amerika.
Jangan tanam tebu di pinggir bibir
Yang parah sebenarnya Malaysia. Perpecahan politik berterusan selepas pilihanraya. UMNO dengan taksubnya, begitu juga dengan parti-parti lain. Di mana perpaduan nasional? Slogan 1Malaysia yang didakwa diciplak hanyalah slogan kosong, ibarat menanam tebu di pinggir bibir. Tidak ada usaha bersungguh-sungguh untuk membina satu Bangsa Malaysia yang bermaruah dan dihormati.
Malaysia berpecah mengikut kaum. Melayu dengan Melayunya. Melayu sentiasa takut dengan bayang-bayangnya sendiri; takut Malaysia dirampas oleh Cina. Ditambah pula dengan sebilangan hantu-hantu UMNO, Perkasa, Pekida dan Isma yang akan menggunakan momokan ras dan perkauman untuk menjadikan perjuangan mereka relevan.
Cina pula dengan rasa prasangka yang menebal terhadap Melayu. Mereka sentiasa membayangkan seolah-olah mereka ditindas sedangkan ekonomi dikuasai mereka. Lihat sahaja di dunia korporat di mana Cina menguasai kedudukan tertinggi. Bila Cina menjawat jawatan tertinggi di bahagian sumber manusia, maka keutamaan diberi kepada Cina. Melayu yang jadi CEO pun kadang-kadang tidak bermaya. Ini belum lagi syarikat milik Cina sepenuhnya.
Sudah tiba masanya Malaysia membangunkan satu Bangsa Malaysia yang bermaruah. Bangsa Malaysia yang terdiri dari orang Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan tanpa rasa curiga, prasangka, dengki dan khianat. Sudah masanya kita tolak politik perkauman dan politik pecah belah. Binalah Malaysia atas dasar Perlembagaan Malaysia yang luhur yang memberikan ruang kepada semua warga negaranya dan memberikan keutamaan dan pertolongan kepada rakyat marhaen yang perlukan bantuan untuk keluar dari garis kemiskinan, tidak kira Melayu, India, Cina atau Dayak.
Malaysia hari ini adalah hasil dari ikut nafsu dan telunjuk orang politik dan pemimpin yang rosak. Jika ia terus dibiarkan, bukan hanya Melayu merempat, malah Malaysia keseluruhannya akan musnah.
Yunus Tasim adalah pembaca FMT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.