`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 26, 2015

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Najib Tampak Kalut



Kejanggalan demi kejanggalan dan kekalutan demi kekalutan terus berlaku dalam Umno. Selagi Najib Razak yang penuh masalah berada di tempatnya, selagi itulah Umno, bahkan negara terus menjadi bahan ketawa.

Mula-mula mesyuarat MT diadakan di Bangunan Parlimen dan kemudian Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri seperti kelazimannya.

Tahun ini, hanya ketua sayap akan merasmikan perhimpunan masing-masing.

Selepas itu, diumumkan pula bahawa Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini akan diadakan secara tertutup dan petugas media yang membuat liputan turut dihadkan. 

Sebarang ucapan dan perbahasan tidak boleh lagi dilaporkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dan perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan ia bertujuan mengelakkan banyak salah lapor oleh media.

Serentak dengan itu, beliau juga mengumumkan bahawa dua Naib Presiden Umno, Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein akan mengadakan sidang akhbar setiap hari pada sebelah petangnya untuk menjelaskan mengenai perjalanan perhimpunan dan bersoal jawab dengan pihak media.

Kenapa tiba-tiba Najib dan Umno takut dengan media sehingga walaupun PAU diadakan di Dewan Merdeka yang serba moden dan canggih, tetapi dengan menjadikannya tertutup seolah-olah ia sedang bersidang dalam gua saja keadaannya?

Kenapa dalam dunia langit terbuka, Najib mahu membawa Umno semakin tertutup jadinya?

Bukankah semua akhbar arus perdana dan stesen televisyen  memihak kepada Najib dan Umno?

Jika bimbang dengan salah lapor, mana perginya media arus perdana dan segala macam blogger serta pengamal media sosial berbayar pro Najib yang dikhabarkan berlambak-lambak ramainya?

Kenapa dengan sokongan sekian banyak media, Najib dan Umno masih takut dengan kemungkinan salah lapor, lalu menjadikan perhimpunan kali ini sebuah acara tertutup?

Tidak mampukah media pro Najib dan yang berada di bawah kawalannya menghadapi kemungkinan salah lapor itu?

Atau barangkali ada sesuatu yang ingin disembunyikan daripada terdedah kepada umum?

Selain itu, menjadi kelaziman juga pada setiap kali PAU diadakan, biasanya Presiden Umno sendiri  bersama lain-lain pemimpin utamanya yang akan mengadakan sidang akhbar harian untuk menjawab isu-isu yang berbangkit dengan pihak media.

Tetapi, mengapa tahun ini Najib takut berhadapan dengan media, sebaliknya menyerahkan peranan itu kepada Zahid Hamidi dan Hishammuddin?

Mengapa tidak diserahkan saja kepada Muhyiddin berurusan dengan media jika Najib takut melakukannya? Kenapa sekali lagi Muhyiddin selaku Timbalan Presiden Umno diketepikan juga?

Kalau mahu menyerahkan tugas itu kepada Naib Presiden Umno pula, bukankah penyandang jawatan itu ada tiga iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein?

Berdasarkan undi diperolehi dalam pemilihan 2013, Zahid memperolehi undi tertinggi, diikuti Shafie tempat kedua dan Hishammuddin di tempat ketiga yang nyaris-nyaris kecundang dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz Mahathir.

Kenapa hanya Naib Presiden No 1 dan No 3 diberi peranan dalam sidang akhbar harian itu, manakala Naib Presiden No 2 diketepikan?

Apakah ini merupakan satu lagi petanda bahawa dalam mesyuarat MT yang akan diadakan sehari sebelum PAU 2015 bermula nanti, Shafie bersama Muhyiddin akan diambil apa-apa tindakan yang menyekat sama sekali mereka daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan kali ini?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.