Sebagaimana dilaporkan media, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diambil keterangannnya selama 2 jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung wang RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Dalam pendedahan The Wall Street Journal sebelum ini, daripada sejumlah kira-kira RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, RM42 juta ialah daripada SRC International yang ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB, tetapi kini dipindahkan di bawah Kementerian Kewangan.
Hasil siasatan mengenai kedudukan sebenar wang SRC International itu amat dinanti-nantikan semua orang memandangkan sejumlah besar keseluruhan RM2.6 bilion itu yang dikatakan diterima dari Timur Tengah dan sudah pun ditakrifkan SPRM sebagai derma dan "halal" dari segi undang-undang.
Hanya isu berkaitan RM42 juta ini saja lagi yang tersangkut dan menyebabkan Najib terus dalam siasatan
Apakah RM42 juta ini akan dikategorikan derma juga akhirnya, atau ia akan berpanjangan hingga ke mahkamah?
Mungkinkah pula wang itu akan dianggap sebagai sumbangan sosial korporat oleh SRC International?
Tetapi, bolehkah sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang?
Dalam hal ini, tidak dinafikan SPRM sedang berhadapan tugas berat, apatah lagi beberapa tangkapan sudah dibuat sebelum ini berkaitan perkara itu.
Jika kita masih ingat, antara yang pernah ditahan reman oleh SPRM dalam siasatannya ialah Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, CEO Ihsan Perdana, sebuah syarikat yang bertanggungjawab terhadap khidmat sosial 1MDB, serta seorang "despatch boy".
Selain itu, satu kertas pertuduhan yang masih diperdebatkan kesahihannya berkaitan pendakwaan perkara yang sama juga turut didedahkan Sarawak Report selepas penyingkiran Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara.
Namun, selepas pertukaran peguam negara dan beberapa rombakan yang dilakukan kerajaan, semuanya bagaikan terhenti begitu saja, dan pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini turut tidak kedengaran lagi khabar beritanya.
Baru-baru ini, SPRM mendedahkan ia juga sudah menemui dan mengambil keterangan bekas pengarah SRC International, Datuk Suboh Mohd Yasin, serta Jho Low di luar negara.
Dengan semua perkembangan ini, rakyat hakikatnya tidak sabar lagi menanti hasil siasatan SPRM tentang perkara ini serta justifikasi mengenainya.
Tidak dinafikan, di sebalik kenyataan SPRM keterangan Najib sudah diambil selama dua jam setengah, masih kedengaran mereka yang pesimis dan ragu-ragu.
Bagaimanapun, sesuatu yang harus disedari ialah inilah pertama kami seorang perdana menteri negara kita disiasat dan diambil keterangannya oleh sebuah agensi penguatkuasaan berkaitan pertuduhan mengenai dirinya sendiri.
Selain SPRM yang menjalankan siasatan dan mengambil keterangan, peranan peguam negara yang menentukan pendakwaan turut menjadi sorotan ramai.
Jika didakwa, ia tentunya merupakan sejarah baharu bagi negara kita. Kiranya tiada apa-apa yang berlaku pula, ia turut merupakan sejarah baharu kerana sekurang-kurangnya seorang perdana menteri ada failnya sendiri di SPRM.
Tidak pernah sebelum ini, mana-mana perdana menteri mempunyai rekod dan sejarah seperti itu. Ini adalah sejarah yang hanya dicatat oleh Najib sahaja. Sama-sama kita menunggu kebenarannya. – shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.