`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 30, 2016

BELUM TERLAMBAT UNTUK MASTURA TARIK DIRI BAGI ELAKKAN BN KALAH DAN NAJIB TERUS DILEMAHKAN

Image result for Mastura Mohd Yazid calon BN

Berbanding pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon BN di Sungai Besar yang tidak menimbulkan banyak isu, kecuali kedudukannya yang sudah menjadi Adun sedikit dipertikaikan, tetapi keputusan mencalonkan Mastura Mohd Yazid untuk bertanding di Kuala Kangsar dilihat sebagai pemilihan terburuk sepanjang sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan.

Bukan saja kedudukannya sebagai balu Wan Khairil Wan Ahmad yang baru meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sarawak menjadi pertikaian kerana seolah-olah kerusi Ahli Parlimen merupakan harta warisan keluarga yang boleh difaraidkan, malah pemilihannya juga menggambarkan tiada yang layak di kalangan pimpinan UMNO bahagian Kuala Kangsar yang selama ini merekalah bersengkang mata dan banyak berkorban membawa obor perjuangan.

Lebih memburukkan lagi ialah kerana Mastura juga didapati ahli dan Ajk UMNO cawangan Chembong, dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Sudahlah pimpinan UMNO bahagian diketepikan, anak tempatan Kuala Kangsar dan anak kelahiran Perak juga nampaknya turut tidak dijadikan pertimbangan.

Semua ini memungkinkan berlakunya rasa tidak puas hati, sabotaj, memulaukan kempen, tidak turun mengundi dan sebagainya daripada kelompok UMNO sendiri.

Ditambah lagi kedudukan Mastura yang masih dalam edah dan tidak boleh keluar rumah untuk berkempen serta bertemu pengundi, pemilihan beliau sebagai calon benar-benar kelihatan cacat serta menjejaskan peluang untuk meraih kemenangan.

Sedikit sabotaj atau tidak turun mengundi daripada kelompok yang rapat dengan UMNO Bahagian Kuala Kangsar saja sudah memadai untuk memungkinkan BN kecundang kepada pihak lawan pada 18 Jun nanti, lebih-lebih lagi kemenangan pada 2013 lalu hanyalah 1,082 undi sahaja.

Kekalahan BN di Kuala Kangsar tidak dapat dielakkan akan memberi kesan buruk kepada imej Najib yang sudah sedia dibelit dengan pelbagai isu kebelakangan ini.

Najib sendiri diketahui amat mengharapkan kemenangan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, tidak saja untuk menjadi sedikit penawar bagi memulihkan imejnya, tetapi juga sebagai persediaan memacu persaingan dalam PRU 14 akan datang.

Malangnya, semua harapan Najib itu akan musnah jika BN kalah sama ada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar atau di kedua-duanya.

Lebih mengaibkan jika kekalahan itu hanyalah disebabkan pemilihan calon yang tidak cermat dan tidak tepat sehingga timbul terlalu banyak isu yang akhirnya pengundi membuat keputusan tidak memberikan undi mereka.

Berdasarkan respon awal daripada beberapa pihak di Kuala Kangsar, isu utama di kalangan UMNO ialah berkaitan pemilihan calon. Isu-isu lain hampir tidak berbangkit sama sekali.

Ramai yang menolak dan tidak bersetuju dengan pencalonan Mastura atas kedudukannya sebagai balu wakil rakyat terdahulu dan mereka mahukan anak tempatan atau sekurang-kurangnya orang Perak juga sebagai calon.

Pemilihannya sebagai calon yang pada awalnya dijangka mampu meningkatkan rasa simpati pengundi, kini beransur-ansur membesar dengan bayangan perasaan tidak puas hati, marah, kecewa dan luka sehingga harapan untuk menang semakin jauh daripada gapaian.

Kekalahan BN tentu saja akan menjadikan kedudukan Najib terus dilemahkan menjelang pilihanraya akan datang, sama ada melalui serangan pembangkang yang bergabung bersama Tun Mahathir atau dengan kemungkinan munculnya gerakan daripada dalam UMNO sendiri.

Dalam soal ini, Mastura harus ada pertimbangan yang rasional dan tidak membiarkan dirinya menjadi penyebab untuk menjadikan kedudukan seorang Perdana Menteri terus dilemahkan.

Jika dahulu beliau selalu menemani Wan Khairil untuk berkempen dan bertemu pengundi dengan tujuan bahawa kemenangan suaminya akan menambah-kukuhkan UMNO, Mastura kini sebaliknya mampu mengukuhkan UMNO dan kedudukan Najib serta  memberi lebih cahaya kepada kemenangan BN di Kuala Kangsar dengan segera menarik diri daripada bertanding sebelum penamaan calon pada 5 Jun depan.

Kembalikanlah segera watikah pencalonan yang sudah diterima dan biarlah UMNO Perak memutuskan semula calon baru yang lebih sesuai yang tidak lagi menyebabkan timbulnya isu edah, kesukaran berkempen sehingga terpaksa menggunakan kaedah multimedia, isu calon luar, jawatan wakil rakyat difaraidkan, rasa tidak puas hati pengundi, kemungkinan sabotaj di kalangan UMNO sendiri dan sebagainya.

Tanpa semua isu dan elemen negatif itu, calon BN yang baru nanti pasti lebih berpeluang untuk mengekalkan kerusi Kuala Kangsar, malah tidak mustahil dengan majoriti yang lebih baik lagi dan seterusnya mengelakkan nama Najib dipertaruhkan untuk lebih diaib serta dijatuhkan.

Berbeza dengan Budiman yang boleh meneruskan perjuangannya di Sungai Besar kerana tidak banyak isu yang timbul berkaitan dirinya yang boleh menjejaskan harapan mencapai kemenangan, Mastura sebaik-baiknya harus melakukan sedikit pengorbanan demi masa depan UMNO dan Najib.

Inilah masanya untuk membuktikan "Love PM" bukan sekadar kata-kata di depan Najib semata-mata. (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.