`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 5, 2016

SELEPAS INI APA JADI KEPADA 1MDB? APAKAH NAJIB SEDANG BERUSAHA "CUCI TANGAN"?

Kementerian Kewangan Diperbadankan yang memiliki 100 peratus saham 1MDB membuat beberapa keputusan semalam:-

- memindahkan semua asetnya iaitu  Bandar Malaysia, TRX City, tanah di Air Hitam, Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor daripada 1MDB kepada Menteri Kewangan Diperbadankan.

- menukar rujukan Artikel 117 M & A 1MDB daripada memerlukan kelulusan "Perdana Menteri"  kepada "Menteri Kewangan".

- membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan bersetuju dengan tawaran perletakan jawatan Ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 31 Mei, kecuali kedudukan Arul Kanda Kandasamy selaku Presiden akan dikekalkan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Dimaklumkan juga bahawa keputusan itu diambil sebagai persetujuan terhadap cadangan-cadangan yang terkandung dalam Laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen, baru-baru ini.

Betulkah tindakan yang diambil Menteri Kewangan Diperbadankan itu kerana bersetuju dan akur dengan syor PAC atau disebabkan faktor-faktor lain?

Aset 1MDB sebelum ini ialah janakuasa bebas dan empat keping tanah seperti disebut di atas. Dengan aset janakuasa bebas sudah dijual keseluruhannya kepada syarikat China dan empat harta itu pula akan diserahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan, bermakna selepas ini 1MDB akan menjadi syarikat kosong atau domain sahaja.

Jadi, bagaimana ia mahu membayar hutang-hutangnya?

Apakah pemindahan aset itu merupakan langkah pertama yang akan disusuli dengan pemindahan keseluruhan hutang juga kepada Menteri Kewangan Diperbadankan selepas ini?

Jika itu berlaku, apa jadi kepada 1MDB nanti? Adakah ia bakal ditutup dan hutangnya akan ditanggung oleh kita semua?

Menukar rujukan dalam artikel 117 M & A daripada "Perdana Menteri" kepada "Menteri Kewangan", sekali imbas tidak menampakkan apa-apa perbezaan kerana kedua-dua jawatan itu dipegang oleh orang yang sama iaitu Najib.

Maknanya, jika Najib masih memegang kedua-dua jawatan itu, tiada apa-apa yang berbeza dari segi praktikalnya.

Tetapi, apakah pertukaran itu merupakan tanda-tanda Najib mahu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan beliau mahu "cuci tangan" daripada segala beban 1MDB?

Siapa yang dipercayainya untuk dilantik ke jawatan tersebut?

Adakah Tengku Razaleigh bakal dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk membersihkan segala "kekotoran" yang ditinggalkannya berikutan Najib sebelum ini lima atau enam kali mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu sebelum Deklarasi Kelantan ditandatangani?

Dengan rujukan nama "Perdana Menteri"  sudah dimansuhkan dalam artikel 117, sudah tentu kaitan yang paling dekat ialah pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan semalam.

Tiada nama "Perdana Menteri"  sebagai rujukan, bermakna keperluan Lembaga Penasihat yang selama ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga tidak wujud lagi.

Sekali lagi, ia memperlihatkan Najib benar-benar ingin "cuci tangan"  dan bebas sepenuhnya daripada badi 1MDB.

Selepas ini, Lembaga Pengarah yang baru akan dibebankan sepenuhnya untuk menangani semua perkara berkaitan 1MDB, dengan seolah-olah Najib tidak lagi terlibat dengan syarikat pelaburan tersebut.

Lihatlah nanti siapa bakal dilantik dalam susunan Lembaga Pengarah 1MDB itu?

Secara keseluruhannya, tidak mustahil apa yang diputuskan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan ini adalah langkah pertama yang akan disusuli langkah-langkah seterusnya untuk membebaskan Najib daripada segala kekangan 1MDB dan orang lain pula akan memikul beban seterusnya.

Tetapi, bagaimana Najib mahu membebaskan dirinya dari segi moral berkaitan hutang, kaitan dengan Jho Low, dakwaan melibatkan anak tiri, wang dalam akaun peribadi, kemewahan berbelanja dan lain-lainnya, di tambah negara-negara luar yang menyiasat 1MDB berkaitan salah laku kewangan dan penggubahan wang haram juga ternampak semakin menunjukkan kemajuannya? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.