`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 16, 2017

AKTA 355 – SUDAH ADA UMNO, BUAT APA LAGI PAS HARAPKAN SOKONGAN PH DAN BERSATU?

Sidang Parlimen penggal pertama tahun 2017 ini sudah masuk minggu yang kedua, tetapi sehingga ini belum ternampak lagi tanda-tanda bahawa pindaan rang undang-undang Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 atau lebih dikenali dengan Akta 355 akan diberi ruang atau tidak untuk dibentang dan dibahaskan.
Segala-galanya masih terawang-awangan dengan pihak kerajaan selalu saja memberi alasan tidak cukup masa atau ada usul lain yang perlu diutamakan terlebih dahulu.
Dalam masa yang sama, Pas melalui Hadi Awang yang diberi ruang mengemukakan cadangan pindaan itu melalui usul persendirian, lebih sibuk ke sana dan ke mari mencari sokongan, manakala beberapa pihak yang membantah dengan lancang akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan serta cercaan.
Sejak awal lagi pindaan kepada Akta 355 ini terlihat sangat pelik. Sebagai kerajaan, tanggungjawab meminda sebarang rang undang-undang adalah terletak di tangan mereka, bukan di pihak parti pembangkang.
Tetapi dalam Akta 355 ini, ia diserahkan kepada Hadi untuk membentangkannya sebelum ia akan diambil alih oleh kerajaan. Sudah tentu penyerahan kepada Pas itu dengan janji bahaw Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN akan memberi sokongan kepadanya.
Menyerahkan kepada Pas mengemukakan usul meminda Akta 355 hakikatnya tidak lari daripada motif politik Najjb Razak untuk mengikat Pas agar lebih dekat dengannya. Najib yang sebelum ini secara terbuka menolak hudud, kini menawarkan Akta 355 sebagai kompromi untuk bersahabat dengan Pas berikutan kedudukannya kian terancam, selain diri dan keluarganya diselimuti skandal kewangan, kemewahan dan pembaziran yang berterusan.
Dengan ditawarkan Akta 355, Pas bukan saja semakin intim dengan Najib dan UMNO, malah tidak banyak lagi bercakap mengenai hudud. Jika dulu, ketika bersama Pakatan Rakyat, Pas menggantikan hudud dengan konsep negara kebajikan, kini setelah berdakap mesra dengan Najib dan UMNO, hudud sekali lagi ditukar dengan perjuangan Akta 355.
Banyak pihak enggan menyokong Akta 355, bukan saja kerana ia lebih bermotif politik, tetapi juga kerana dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Motif politik itu lebih jelas apabila Akta 355 ini merupakan satu-satunya rang undang-undang yang dibentangkan di padang awam terlebih dahulu sebelum ia di bawa ke Parlimen. Sebelum ini, sudah dua kali Akta 355 dipinda oleh kerajaan dan oleh kerana ia dibawa oleh wakil kerajaan, tidaklah ia menjadi kecoh hingga ke seluruh alam.
Akta-akta lain yang memerlukan pindaan biasanya akan terus dibawa ke Parlimen untuk dibentang, dibahas dan diundi. Kalau pun kecoh dan panas, ia hanya dalam Parlimen saja dan oleh kerajaan menguasai majoriti, selalunya tidak banyak masalah timbul untuk meluluskannya.
Motif politik juga terserlah apabila DAP yang membantah lebih banyak diperbesar-besarkan, selain sokongan Ahli-Ahli Parlimen Islam daripada Pakatan Harapan dan Bersatu sentiasa didambakan.
Sebarang bantahan atau nada yang berlainan daripada blok pembangkang sentiasa saja membangkitkan kemarahan Pas dengan melabelkan mereka sebagai menolak Islam dan menidakkan hukum-hukum Tuhan.
Tetapi, MCA, MIC dan Gerakan yang membantah Akta 355 dan mengancam mahu meletakkan jawatan tidak pernah sama-sekali menjadi isu besar bagi Pas. Begitu juga dengan pendirian Ahli-Ahli Parlimen Sarawak yang menolak keras pindaan itu, Pas sebaliknya hanya mendiamkan diri saja.
Jika dilihat daripada awal, oleh kerana pindaan Akta 355 ini difahami merupakan kompromi antara Pas dengan kerajaan, sepatutnya sama ada blok pembangkang menyokong atau tidak bukanlah masalah besar.
Setelah ditolak 6 Ahli Parlimennya yang menyertai Amanah dan seorang menyertai PKR, Pas kini mempunyai jumlah Ahli Parlimen seramai 14 orang.
BN pula, berdasarkan keputusan PRU 2013, mempunyai jumlah wakil di Parlimen seramai 133 orang. Bermakna, sokongan Ahli Parlimen BN campur dengan wakil rakyat Pas, sudah pun memadai untuk membolehkan pindaan Akta 355 itu diluluskan.
Dalam hal ini, Pas seharusnya tidak memperdulikan sama ada Pakatan Harapan atau Bersatu mahu memberi sokongan atau pun tidak. Yang wajib ditekankan oleh Pas, lebih-lebih lagi disebabkan pindaan itu merupakan kompromi antara Pas dengan UMNO dan kerajaan, ialah memastikan Najib dapat membuktikan semua wakil rakyat BN memberi sokongan yang mutlak.
Kiranya sebelum ini Akta 355 telah dipinda sebanyak dua kali dengan tiada kekecohan dan semua Ahli Parlimen BN menyokongnya, apakah sekarang ini Najib begitu lekeh sehingga tidak mampu mendapatkan sokongan yang serupa?
Yang perlu Pas cabar dan tagih untuk menyokong atau tidak bukannya PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, tetapi wakil-wakil BN di Parlimen melalui pengaruh, kedudukan dan kewangan maha hebat daripada sang Perdana Menteri yang bernama Najib.
Itu pun jika Pas benar-benar ikhlas mahu memperkasakan Mahkamah Syariah dan bukan berpolitik bersama Najib dan UMNO dengan berselindung di sebalik nama agama dan Akta 355.
– http://shahbudindotcom.blogspot.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.