Ia di sebalik beberapa kenyataan yang dilihat cuba mempertahankan pendakwah dari India itu.

PETALING JAYA: Seorang penganjur seminar bercorak dakwah yang sering melibatkan penceramah luar negara mempersoalkan kelayakan Dr Zakir Naik, penceramah kontroversi yang mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pihak di Malaysia ekoran ceramah perbandingan agamanya yang dianggap mengganggu keharmonian agama negara ini.
Beliau mempersoalkan status “ulama” yang diberikan terhadap Zakir, dan berkata ia hanya menunjukkan sikap masyarakat tempatan yang mudah menerimanya, lebih-lebih lagi selepas dikurniakan pengiktirafan tertinggi negara dalam bentuk Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 4 tahun lalu.
“Begitulah masyarakat kita menilai ‘ilmu’ seseorang, sekadar petah berkata-kata, anugerah yang bernilai RM100,000.00 dan beberapa orang muallaf memeluk Islam secara terbuka – cukup untuk mengabui mata orang ramai,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Najwa, kepada FMT
Zakir, 51, dilaporkan dikehendaki pihak berkuasa India atas kesalahan mengubah wang. Beliau bagaimanapun dipercayai enggan menyerahkan diri kerana bimbang ditangkap.
Minggu lalu, 19 individu mewakili pelbagai latar belakang memfailkan saman ke atas kerajaan Malaysia, kerana mendakwa Zakir diberikan perlindungan.
Ekoran itu, pelbagai badan dan NGO Islam tampil mempertahankan hak bersuara Zakir, dan mencabar kumpulan yang menentangnya untuk menjawab hujahnya. Antara penyokong kuat Zakir termasuk Mufti Perlis, Datuk Asri Zainul Abidin, yang turut mengundangnya memberi ceramah di negeri itu.
Semalam, sebuah kumpulan bernama Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (Gasma) menggesa kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang “memfitnah” Zakir.
Presidennya, Dr Fadlan Mohd Othman berkata mereka yang menghina Zakir boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong kerana Zakir pernah dianugerahi Tokoh Maal Hijrah oleh baginda.
“Hakikatnya, beliau pendakwah bersikap wassatiyah, menyampaikan Islam dan menegakkan tauhid berlandaskan prinsip kesederhanaan. Bahkan, apa yang diajarkan adalah intipati ajaran Islam yang sebenar berlandaskan Rukun Islam dan Rukun Iman,” kata Fadlan dipetik Sinar Harian.
Kenyataan itu bagaimanapun dipersoalkan Najwa, yang berkata pendekatan Zakir “mirip dengan akidah golongan Wahabi yang menyamakan Allah dengan makhluk”.
Wahabi merujuk kepada aliran yang biasa diamalkan di Arab Saudi. Antara sifat yang membezakan aliran ini dengan mazhab lain dalam Islam ialah dasarnya yang mengutuk beberapa amalan umat Islam seperti sambutan Maulidur Rasul, kerana dianggap bid’ah (diada-adakan).
“Dari sudut syariat pula, beliau menghentam para imam mazhab sebagai ‘jahil’ Sunnah, bahkan mendabik dada lebih memahami Sunnah daripada imam mazhab 4. Kenyataan ini amat memeranjatkan memandangkan ianya datang dari seorang yang tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang Pengajian Islam dan tidak boleh berbahasa Arab,” kata Najwa.
“Dr Zakir Naik hanyalah seorang doktor perubatan biasa yang tidak mengamalkan profesi tersebut.”
Beliau berkata Zakir juga tidak boleh disamakan dengan Ahmad Deedat, pendakwah Islam Afrika Selatan yang terkenal pada era 1980-an kerana kepakarannya memetik Bible ketika berdialog dengan paderi kanan.
Beliau menyelar sikap beberapa pihak di negara ini yang mengangkat Zakir “seolah-olah beliau ini bersifat maksum yang tidak mempunyai kesalahan dan berdosa jika ditegur”.
Menurutnya, masyarakat Islam negara ini juga “taksub dan taqlid” menganggap Zakir “ulama tersohor”, walaupun tanpa usaha mengkaji hujah yang dibawanya menurut neraca syarak.
“Saya berharap satu penulisan ilmiah dapat dihasilkan berkenaan Dr Zakir Naik agar masyarakat dapat dididik dengan budaya ilmu yang benar,” tambahnya. -FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.