`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 16, 2017

CAMPURTANGAN FATWA PENANG (SIRI 1): SIAPA PALING BERAUTORITI KE ATAS FATWA?


DARI SUDUT LAIN
Isu campur tangan urusan fatwa oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah isu terbaru yang menggegarkan negeri itu ketika ini. Ramai yang keliru dan tidak faham tentang isu yang berlaku, di manakah kepincangannya dan apakah prosedur yang sepatutnya. Sebelum diulas lebih lanjut mengenai perkara ini, lebih baik kita memahami dahulu tentang prosedur pemfatwaan yang sepatutnya.
Malaysia merupakan negara yang mengamalkan konsep federalisme, iaitu gabungan antara negeri-negeri berdaulat membentuk sebuah kerajaan persekutuan. Semasa penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, kuasa undang-undang dibahagikan kepada dua pihak mengikut bidang-bidang tertentu. Seperti yang tercatat dalam Senarai Dua Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, urusan agama adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan setiap negeri. Maka urusan agama adalah berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain.
Khusus bagi Pulau Pinang, negeri ini asalnya adalah kepunyaan Kesultanan Kedah, tetapi dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal. Selepas Malaysia ditubuhkan tahun 1963, Pulau Pinang diiktiraf sebagai salah satu diantara 13 negeri di Malaysia. Pulau Pinang merupakan satu daripada empat negeri yang tidak beraja selain Melaka, Sabah dan Sarawak. Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja ini ialah Yang di-Pertuan Agong, justeru baginda berkuasa penuh pada urusan fatwa.
Urusan agama Pulau Pinang ditadbir mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004. Dalam Tatacara pembuatan fatwa Seksyen 48 memperuntukkan bahawa:
(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.
(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.
(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.
(4) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan selepas itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.
(5) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.
Dari peruntukan undang-undang di atas, dapatlah difahami bahawa pihak paling berautoriti dalam urusan fatwa Pulau Pinang adalah Yang Di Pertuan Agong Malaysia. Baginda berkuasa untuk memperkenan fatwa diwartakan. Kerajaan Negeri hanyalah menerima makluman daripada Jawatankuasa Fatwa setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak berhak sama sekali untuk menyekat fatwa yang telah diperkenankan daripada difatwakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.