`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, March 15, 2017

TERCAPAIKAH MISI FOOD FLOTILLA?

DARI SUDUT LAIN
Setelah kapal Nautical Aliya yang membawa misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM) berlabuh di Chittagong dan para sukarelawan berjaya masuk ke kem pelarian di negara Bangladesh, timbul pula persoalan apakah misi FFFM berjaya mencapai objektif yang disasarkan? Sebagaimana yang dinyatakan oleh Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Food Flotilla menyasarkan dua objektif utama; pertama bagi menarik perhatian dunia terhadap apa yang berlaku di Rohingya dan kedua adalah bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan terus ke tangan etnik Rohingya yang dilanda krisis.
Dari sudut objektif yang pertama, MAPIM melalui wakilnya Ustaz Tarmizi Sulaiman yang juga Timbalan Pengarah 2 Operasi Lapangan FFFM, mereka mendapat respon yang amat positif. Sukarelawan FFFM diwakili dari 11 buah negara selain Malaysia, antaranya Indonesia, Thailand, Kemboja, Perancis, Sweden, Saudi, United Kingdom dan China. Secara tidak langsung mereka turut menjadi wakil media kepada agensi di negara masing-masing. FFFM telah mendapat liputan meluas serata dunia melalui media-media antarabangsa seperti Reuters dan al-Jazeera, selain agensi-agensi media negara-negara ASEAN sendiri.
Selain itu, FFFM telah diperkatakan oleh badan-badan besar antarabangsa, seperti OIC dalam sidang tergempar yang diadakan di Ibu Kota tidak lama dahulu. Malaysia dianggap sebagai hero yang berjaya membuka mata dunia tentang konflik yang wajar mendapat perhatian semua pihak ini. Rentetan dari inisiatif berterusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bersama badan-badan lain dalam negara, Myanmar telah menerima tekanan yang amat hebat dari negara-negara lain sehingga memaksa pemimpin Myanmar, Aun San Suu Kyi berjanji akan menangani isu ini. Sehari dua sahaja selepas FFFM berlabuh di pelabuhan Chittagong, kerajaan Myanmar telah mengumumkan menghentikan operasi ketenteraan di wilayah Rakhine.
Dari sudut objektif yang kedua pula, penganjur sekali lagi menyatakan bahawa bantuan tersebut telah sampai ke sasaran. Walaupun menghadapi sedikit kesukaran lantaran perubahan keputusan yang dibuat oleh Myanmar dan Bangladesh, tetapi akhirnya bantuan yang dibawa telah berjaya diagihkan. Di pelabuhan Yangon, FFFM telah menurunkan kira-kira 300 tan bantuan dan diserahkan kepada kerajaan Myanmar untuk dibawa ke kem pelarian di Sittwe, ibu negeri Rakhine. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu dan juga kedutaan Malaysia disana telah memantau proses penghantaran bantuan tersebut dan memaklumkan bahawa bantuan telah sampai di tangan mereka yang memerlukan sehingga ke perkampungan yang terjejas. Di pelabuhan Chittagong pula, FFFM menurunkan kira-kira 1700 tan bantuan dan diagihkan beberapa kem pelarian di Bangladesh oleh sukarelawan FFFM sendiri, dengan kerjasama Persatuan Palang Merah Bangladesh dan International Organization for Migration in Bangladesh. Sehingga kini, masih terdapat wakil sukarelawan FFFM di sana menyelesaikan saki-baki bantuan yang tinggal.
Di sebalik kejayaan mencapai objektif yang digariskan, FFFM turut berjaya melakar kejayaan sampingan yang signifikan. Yang terbesar adalah berjaya menyatukan pelbagai pihak yang ada di Malaysia tanpa mengira ideologi, parti, kumpulan atau keturunan atas nama kemanusiaan dan persaudaraan Islam. FFFM juga telah tercatat dalam Malaysia Guinness Book of Record sebagai misi bantuan antarabangsa terbesar dalam sejarah. Selain itu ia turut memberi ransangan kepada gerakan kesukarelawanan di peringkat Asia Tenggara untuk lebih bergiat aktif dalam misi-misi seumpama ini.
Namun semua kejayaan manis yang berjaya dicapai ini bukanlah bererti perjuangan membantu bangsa Rohingya terhenti setakat ini sahaja. Masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan etnik tersebut mendapat hak yang sepatutnya sebagai seorang manusia. Program seterusnya yang diatur adalah International Conference on Rohingya (ICR). Ia dijadualkan diadakan di Putrajaya dalam masa terdekat ini. Tujuan utama penganjuran adalah membincangkan solusi berkaitan masalah kerakyatan dan keselamatan Rohingya.
Sebagai maklumat tambahan, sehingga kini hampir 90% bangsa Rohingya yang berasal dari Rakhine telah menjadi pelarian di serata dunia. Suatu angka migrasi yang paling besar dalam sejarah mana-mana konflik penindasan kaum yang pernah berlaku di dunia. PBB turut melaporkan lebih 1000 orang etnik Rohingya terbunuh sepanjang misi ketenteraan Myanmar yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.