Pencorakan dan penghalaan hala tuju sesebuah keluarga terletak di tangan seorang ibu dan isteri.
KOMEN
Oleh Mohd Fadhli Othman
Acapkali wanita menjadi sasaran utama di masalah sosial. Turut tidak ketinggalan dalam isu pornografi, wanita menjadi sasaran atau punca mengapa “dadah” pornografi ini merebak bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Seringkali kita di hidangkan dengan pelbagai masalah pembuangan bayi. Fakta kes dan rekod menunjukkan peningkatan kes buang bayi berlaku setiap hari. Akhirnya wanita menjadi sasaran utama punca berlaku masalah ini. Seolah-olah wanita tiada harga diri dan rendah maruah.
Sedangkan di dalam Al-Quran, Allah menaikkan darjat wanita sehingga wujudnya surah tentang wanita iaitu An Nisa’. Ini mengambarkan, wanita mempunyai daya keupayaan dan status yang tinggi setanding lelaki.
Isu pornografi, sejak akhir-akhir ini menjadi buah mulut masyarakat. Walaupun ada golongan yang memandang ringan isu ini, tidak kurang juga ada menganggap ia tidak penting dan tidak perlu diperkatakan di khalayak ramai yang kian maju dengan teknologi di depan mata.
Kebanyakan virus pornografi menjadikan wanita sebagai modal utama. Wanita di eksploitasikan dalam pelbagai bentuk. Di jaja dan di tularkan setiap media sosial yang kian luas tanpa batasan. Akhirnya wanita dicop sebagai simbol seks.
Mengejutkan, sejak dari sekolah rendah lagi, ada anak anak yang cenderung kepada unsur-unsur pornografi. Mereka terdedah dengan filem Barat dan K-Pop, video-video lagu, dan bahan bacaan yang merangsangkan syahwat mereka.
Siapa yang sepatutnya berperanan menangani isu ini? Di sekolah guru hanya sebagai pembimbing bersifat sementara yang mampu mengajar dan mempunyai batas dengan anak-anak murid. Anak anak ini sepatutnya hendaklah mendapat pendidikan yang berterusan dari ibu dan ayah.
Benar! Keluarga sepatutnya memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah virus pornografi ini.
Selari dengan ciri negara rahmah yang di gariskan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia, wanita berperanan menangani isu pornografi ini. Antaranya:
Institusi Keluarga yang Utuh
Institusi awal masyarakat dibina melalui 2 jantina yang di satukan atas ikatan perkahwinan. Isteri atau ibu, merupakan orang kedua dalam institusi keluarga. Penglibatan wanita dalam institusi kekeluargaan mendatangkan impak yang sangat mendalam. Pencorakan dan penghalaan hala tuju sesebuah keluarga terletak di tangan seorang ibu dan isteri.
Peranan wanita dalam membentuk keluarga sangat penting. Pendidikan awal anak-anak adalah prioriti utama selepas kebajikan kepada suami. Anak-anak di rumah memerlukan sentuhan seorang ibu bagi menjana pembentukkan diri secara holistik.
Pendidikan secara tidak langsung dapat dipraktikkan dengan aktiviti bersama anak-anak dengan membawa kaitan kepada kehidupan yang penuh onak duri ini. Sebagai contoh aktiviti di dapur atau mengemas rumah mampu mewujudkan hubungan baik yang akhirnya ibu dan anak akan menjadi teman rapat. Selain itu meluangkan masa bersama anak dengan membantu melaksanakan tugasan sekolah juga mampu menyuntik semangat cintakan ilmu. Ini semua adalah contoh yang mudah dilaksanakan dan mudah difahami
Pada pengamatan penulis sebagai seorang guru, ramai ibu membiarkan anak-anak mereka melakukan kerja sekolah secara bersendirian. Kelihatan seperti kurang penting, namun ketika inilah sebenarnya anak-anak memerlukan peneman di kala sedang menyelesaikan masalah sekolah.
Kesannya, apabila anak-anak ini mempunyai masalah dalam kehidupan, mereka pasti akan mencari ibu mereka yang sudah dianggap sebagai teman suka dan duka. Namun hal ini tidak banyak disedari dalam masyarakat kita.
Dari sinilah maka, akan timbul perasaan sayang dan penanaman nilai akhlak dapat dibentuk dalam diri anak-anak. Jika hal seperti ini dipraktikkan dalam setiap keluarga , saya yakin dan percaya masalah pornografi yang besar ini mampu di bendung dari masa ke semasa.
Kuncinya di sini ialah, kebersamaan wanita yang digelar ibu itu mampu menyuntik elemen berilmu, berakhlak dan penyayang kepada ahli keluarganya. Seterusnya akan menyemarakkan masyarakat yang berkeperibadian tinggi. Mudah kan?
Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang.
Keberhasilan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang datangnya dari institusi keluarga yang utuh. Satu masyarakat yang harmoni terbentuk dari keluarga-keluarga yang mementingkan keharmonian dan kasih sayang. Semangat kecintaan dan berakhlak dipupuk melalui ilmu dan hubungan yang baik sesama individu di dalam sesebuah rumah tangga.
Wanita merupakan susuk yang amat penting dalam mewujudkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang. Hari ini ramai wanita menceburi banyak bidang. Bidang-bidang ini menjadi tiang utama dalam mengukuhkan institusi masyarakat.
Banyak peluang diberikan kepada kaum wanita dalam mengubah dan memberi kesedaran terutama isu pornografi. Mothers Against Pornography, merupakan suatu gerakan sukarelawan mendidik, memberi kesedaran dan mencegah hal-hal berkenaan virus pornografi.
Seharusnya, wanita diluar sana menggunakan peluang pentas ini membantu agar masalah yang kian lama kian merebak dapat dicantas. Gunakan apa sahaja kepakaran yang anda ada. Sekiranya anda seorang guru, maka gunakanlah peluang ini bagi menerangkan bahayanya pornografi kepada ibu ayah dan pelajar di sekolah.
Sekiranya anda seorang penjawat kerajaan awam di pelbagai sektor, maka gerakkanlah isu ini di dalam mana-mana slot atau program kesedaran walaupun ianya kecil namun biar masyarakat tahu keburukkan dan kesannya kepada institusi keluarga dan masyarakat.
Sekiranya anda seorang suri rumah, anda masih lagi berupaya mendidik masyarakat agar terus berilmu, berakhlak dan penyayang dengan menggerakkan kumpulan pengajian Al-Quran mingguan dengan menyelitkan isu pornografi ini.
Banyak ruang golongan wanita boleh membantu banteras virus pornografi ini. Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Jika tidak mampu untuk menggerakkan dalam masyarakat, maka cukuplah dengan hanya menggerakkannya di dalam keluarga bersama anak-anak. Dengan harapan, mereka akan tularkan kesedaran kepada masyarakat dan menjadi individu di dalam masyarakat yang mampu memberi kesedaran dan pencegahan.
Penulis yakin, jika wanita memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan mesej “goodbye pornografi” dalam membanteras virus pornografi dalami kalangan masyarakat maka masyarakat akan menjadi lebih berilmu, berakhlak dan penyayang. Seterusnya akan menghasilkan sebuah negara yang rahmah.
Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
Isu masalah pornografi, bukan isu individu, bangsa atau agama tertentu. Namun ianya isu yang merentasi bangsa dan agama. Isu ini merupakan isu global, yang perlu disambut oleh semua lapisan masyarakat, agama dan bangsa.
Di hadapan kita banyak isu yang memporak-perandakan masyarakat. Dari isu agama yang melibatkan akidah dan fikrah maka timbullah label seperti wahabi, kafir harbi, dan banyak lagi. Kesannya memberi kepincangan kepada masyarakat dan akhirnya hubungan sesama etnik dan penganut agama yang lain akan terjejas. Lagi memualkan jika perpecahan ini dilakukan hasil adu domba oleh golongan agamawan yang mempunyai masalah hati.
Namun isu virus pornografi, merupakan isu yang dapat menghubungkan keharmonian antara etnik dan penganut agama lain. Tiada mana-mana bangsa atau etnik mengiktiraf aktiviti pornografi. Tiada juga mana-mana agama yang menghalalkan pornografi menjadi amalan atau sistem hidup mereka.
Maka, isu pornografi ini wajar di sambut oleh wanita tidak kira warna kulit, bangsa dan agama. Penulis percaya, sekiranya kesedaran muncul dalam diri setiap insan yang bernama wanita maka kejadian seperti rogol, jenayah seksual, sumbang mahram dan segala masalah sosial yang kian parah ini akan merosot. Syaratnya semua lapisan masyarakat, bangsa dan agama berganding bahu dalam menangani isu pornografi.
Virus pornografi merupakan masalah yang hadir, tidak lain tidak bukan sebagai tanda agar hubungan etnik dan penganut agama dapat disatukan. Strategi dan pelan tindakan di fikirkan bersama. Terjun ke semua institusi kerajaan mahupun swasta, menyampaikan mesej kesedaran dan menerima “penagih” pornografi sebagai individu yang perlu di rawat.
Penulis yakin dan percaya, isu membendung masalah pornogarafi dapat dibendung sekiranya peranan wanita di gembleng seterusnya mewujudkan keharmonian negara seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara rahmah.
Penutup
Ayuh, wanita Malaysia bersama Mothers Against Pornography. Kita berperanan bersama demi menjayakan misi kesedaran agar virus pornografi tidak merebak dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat. Seterusnya kita berganding bahu tanpa mengenal perbezaan bangsa dan agama demi Malaysia tercinta
Mohd Fadhli Othman adalah aktivis Mothers Against Pornography -FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.