`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 24, 2017

Isu Baitulmaqdis: Raja Bahrin saran panggil balik duta di AS

Pengerusi Amanah Terengganu itu menyifatkan ikrar Najib tidak akan tunduk kepada tekanan AS demi membebaskan Baitulmaqdis daripada cengkaman Zionis, hanya wayang semata-mata.
raja-bahrin
PETALING JAYA: Datuk Raja Kamarul Bahrin mencadangkan Datuk Seri Najib Razak memanggil balik duta Malaysia di Amerika Syarikat (AS) untuk menunjukkan kesungguhan perdana menteri memperjuangkan hak umat Islam di Baitulmaqdis dan Palestin.
“Saya rasa sekurang-kurangnya Najib memanggil balik duta Malaysia di AS untuk beberapa minggu sebagai bantahan, itu saya rasa langkah yang tepat, walaupun bukan memutuskan hubungan,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Najib ketika berucap di Himpunan Solidariti Baitulmaqdis di Putrajaya mengakui Donald Trump ialah “kenalan baik”, namun tidak akan menggadaikan kesucian Islam meskipun pernah mendapat sambutan baik di Rumah Putih.
Katanya, orang Islam atas dasar prinsip wajib membebaskan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Zionis.
Raja Bahrin menyifatkan ucapan Najib itu hanya wayang semata-mata kerana beliau takut dan ingin menjaga hati Presiden AS, Donald Trump.
“Sebenarnya kita dah termakan budi dengan AS dan Arab Saudi, jadi Malaysia ini bukan lagi negara bebas, kita tidak ada satu polisi asing yang boleh dibanggakan kerana kita bawah kekangan AS dan Arab Saudi.”
Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu turut mempersoalkan kenapa Malaysia bersama sekutu Saudi menyerang Yaman, jika Najib benar-benar hendak memperjuangkan kepentingan Islam.
“Ia jelas bertentangan dengan pendirian kita, kalau kita nak memberi keutamaan kepada orang Islam, kenapa kita dengan sekutu AS menyerang Yaman.”
Kenapa Hadi tidak hadir himpunan
Pengerusi Amanah Terengganu itu turut mendakwa ketidakhadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Himpunan Solidariti Baitulmaqdis jelas menunjukkan presiden PAS itu sedar Najib tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Palestin dan terlalu tunduk kepada AS dan sekutunya, Arab Saudi.
“Saya rasa Najib sama dengan pendirian Arab Saudi, yang mana Arab Saudi dikecam negara-negara Islam lain kerana tidak memainkan peranan tegas tentang apa yang berlaku antara Israel, AS tentang isu Baitulmaqdis.
“Saya rasa satu daripada petandanya, Hadi pun tidak tergamak nak pergi (himpunan) sebab dia tahu, itu hanya sandiwara, menerusi kenyataan Hadi sebelum ini beliau pernah mengatakan tidak percaya kepimpinan Arab Saudi lagi dalam menjaga kepentingan orang Islam,” katanya merujuk Hadi mendakwa Riyadh bersekongkol dengan AS berhubung pergolakan di Timur Tengah.
Hadi yang sepatutnya berkongsi pentas bersama Najib, menghantar anaknya yang juga ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi mewakilinya.
Tindakan hantar tentera tidak masuk akal
Raja Bahrin berkata, Malaysia tiada pendirian jelas dalam isu Baitulmaqdis kerana Malaysia bercadang menghantar tentera ke Palestin seperti yang dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Hishammuddin dari awal mengeluarkan kenyataan nak hantar askar ke sana. Buat apa nak hantar askar kita, kalau hantar askar kita ke sana, kita akan duduk di bawah Israel. Malah, PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) juga tidak setuju hantar misi keamanan ke sana.
“Kalau kita hantar askar seperti cadangan Hishammuddin, kalau Israel tembak rakyat Palestin, kita nak tembak juga? Ini tidak masuk akal dan kita tidak ada polisi yang jelas dan kukuh, pemikiran tidak matang.” -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.