`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, January 16, 2018

Dr M tidak akan dengar ‘kamu dimaafkan’ di Sabah

Seruan Shafie menyeru rakyat Sabah memaafkan bekas perdana menteri itu tidak diterima baik oleh ahli politik BN dan pembangkang.
dr-m-sabah-malaysiaKOTA KINABALU: Ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang Sabah berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, watak yang paling diingati kerana Projek IC, serta pelbagai masalah lain secara lazimnya dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.
Ini berikutan seruan Datuk Seri Shafie Apdal, teraju Parti Warisan Sabah, menggesa rakyat Sabah memaafkan Dr Mahathir demi kebaikan negara.
Shafie berkata hanya Dr Mahathir yang boleh keluarkan Malaysia daripada masalah yang melanda negara ketika ini.
Namun Datuk Jeffrey Kitingan, yang menerajui Parti Solidariti Tanah Airku, tidak bersetuju.
Beliau berkata melupakan 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir bukan perkara yang mudah buat Sabah, dan perasaan benci pada bekas orang kuat Umno itu kekal hingga ke hari ini.
“Beliau hanya berjuang untuk menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Saya tak percaya kata-katanya.
“Bagi Dr Mahathir, hak Sabah cuma sementara dan tanah negeri ini patut dimiliki kerajaan persekutuan. Hanya Tuhan yang boleh memaafkan, kerana kami rakyat Sabah tidak boleh melupakan apa yang telah berlaku,” katanya.
Pendirian Jeffrey tidak mengejutkan.
Dr Mahathir dipersalahkan untuk Projek IC, suatu projek rahsia di mana ribuan orang asing diberi kerakyatan Malaysia dan menukar demograsi Sabah untuk memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno.
Sentimen Jeffrey itu dikongsi Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Seri Teo Chee Kang, salah satu parti komponen BN. Beliau merupakan menteri tugas-tugas khas dalam kerajaan negeri.
“Bolehkah rakyat Sabah percayakan seorang pemimpin yang mengorbankan kepentingan negeri untuk kepentingan politik peribadi, melihat kepada kerosakan kekal yang sudah beliau lakukan pada Sabah iaitu mengubah demografi Sabah melalui Projek IC?” soalnya.
Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Datuk Seri Lajim Ukin, 2 parti komponen Gabungan Sabah, berkata kenyataan Shafie itu membuktikan beliau sendiri percaya Dr Mahathir ada melakukan sesuatu yang tidak betul.
“Kalau tidak, Shafie tidak akan bercakap begitu. Saya ingin tahu apakah yang Shafie rasakan kesilapan dan kesalahan yang perlu rakyat Sabah maafkan itu,” kata Yong.
Pemimpin masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dan Cina dari parti-parti BN lebih keras terhadap cadangan Shafie itu.
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun dan pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyalahkan Dr Mahathir sepenuhnya dalam kes Projek IC, terutama apabila ahli politik berusia 93 tahun itu membuat pengakuan secara terbuka sebelum ini.
Mereka berkata alasan Dr Mahathir bahawa apa yang beliau lakukan itu tidak berbeza dengan apa yang dilakukan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, tidak bersangkut paut kerana sewenang-wenangnya memberikan kerakyatan pada pendatang dari negara lain ialah tindakan khianat yang menjejaskan Malaysia.
“Saya baru sahaja bertemu seorang wanita tua di Tamparuli yang memegang kad pengenalan merah. Dia sedih selepas mendapati namanya digunakan oleh orang lain. Jadi bagaimana boleh kami maafkan Dr Mahathir?” kata Tangau, Ahli Parlimen Tuaran di mana terletaknya DUN Tamparuli.
Hilang sokongan kalau sokong Dr M
Timbalan Pengerusi MCA Sabah Datuk Francis Goh berkata Shafie sedia menerima Dr Mahathir kerana Warisan “sub-kontraktor” PPBM yang diterajui Dr Mahathir.
Menurut Goh, kemaafan rakyat Sabah tidak akan dapat mengubah sejarah.
“Rakyat Sabah tahu Warisan mendapat manfaat daripada Projek IC, jadi mereka tidak akan boleh raih sokongan daripada masyarakat KDM dan Cina di Sabah dan sebab itu mereka akan gagal pada pilihan raya nanti,” katanya.
Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Ramlee Marahaban dan Pengerusi Gerakan Sabah Gordon Leong meragui seruan Shafie meminta rakyat Sabah mengikut langkah Lim Kit Siang dari DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR memaafkan Dr Mahathir.
Ramlee berkata Anwar dan Lim ada kepentingan tersendiri untuk menumbangkan kerajaan dan menggunakan Dr Mahathir untuk mencapai matlamat itu.
Leong berkata mereka berdua itu bukan pun rakyat Sabah maka pendirian mereka tiada kaitan dengan Sabah.
Aktivis politik dan Pengerusi Sabah Firstborn Society Zainnal Ajamain berkata seruan Shafie itu boleh menjejaskan sokongan rakyat Sabah terhadap Warisan.
“Tambahan pula, kalau PH bertegas memilih Dr Mahathir, jangan salahkan rakyat Sabah dan Sarawak kalau mereka tewas di Sabah dan Sarawak pada PRU14,” katanya.
Aktivis Anne Lasimbang dari Pacos Trust berkata peranan Dr Mahathir dalam Projek IC di Sabah menanam rasa geram dalam kalangan penduduk desa Sabah, kerana ramai yang masih belum ada kerakyatan kerana kekurangan dokumen.
Beliau berkata orang tempatan perlukan masa untuk memaafkan Dr Mahathir.
“Dr Mahathir mungkin sedang dibalas kerana perbuatannya. Beliau pernah melakukan perkara buruk terhadap Tunku Abdul Rahman. Sekarang dia sedang merasai pengalaman Tunku. Kalau Anwar mahu maafkan dia, itu terpulang pada dia, itu keputusan peribadi,” katanya.
Bergerak ke depan
Tetapi Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Wilred Bumburing dan Pengerusi PH Sabah Christina Liew berkata kemaafan dan bergerak ke depan adalah lebih baik untuk negara.
“Kalau kita terus bertelagah, negara tidak akan berfungsi dengan baik. Dr Mahathir tidak akan menjadi perdana menteri untuk tempoh yang lama. Dia komited kepada reformasi polis, Pejabat Peguam Negara, SPRM…sesuatu yang tidak akan berlaku kalau Najib terus memerintah,” kata Bumburing.
Bekas setiausaha kerajaan Sabah Tan Sri Simon Sipaun percaya sekarang adalah masa terbaik untuk memaafkan Dr Mahathir dan perhatikan peranan negarawan itu sekarang ini.
Beliau berkata Dr Mahathir tidak ada peranan dalam kerajaan sejak 14 tahun lepas, dan dalam tempoh itu, kerajaan sekarang boleh membetulkan masalah Projek IC kalau mereka benar-benar mahu membetulkannya.
“Rakyat Malaysia di Sabah patut menghakimi Dr Mahathir dalam konteks peranannya sekarang ini. Kita harus realistik dan objektif dan didorong oleh akal, bukannya perasaan,” katanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.