`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, January 31, 2018

1 lagi kes dimasukkan hospital selepas minum kopi perisa durian

subramaniam-kopi-durian

PETALING JAYA: Seorang lagi individu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi campuran berperisa durian, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam.
Menteri kesihatan itu dipetik Bernama berkata, setakat ini, 5 orang dimasukkan ke HPP selepas minum kopi campuran “durian white coffee” itu.
Katanya, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang menganalisis sampel kopi itu jika mengandungi bahan kimia terlarang, selepas ia didakwa menjadi punca beberapa lelaki dimasukkan ke HPP dengan sindrom letih dan lemah teruk, semalam.
“Kami jangka keputusan analisis ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan jika keputusan itu mendapati ia mengandungi bahan terlarang, jenama kopi campuran itu akan dihebahkan kepada orang ramai dan pengeluarnya akan diarahkan menarik balik produk itu dari pasaran,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Thaipusam bersama perdana menteri di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Kuala Selangor, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah dilaporkan berkata, 2 lelaki mengalami simptom letih dan lemah teruk sehingga terpaksa dirawat di HPP, dipercayai selepas meminum sejenis kopi segera.
Kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, China Press melaporkan 2 daripada lelaki itu ialah pengawal keselamatan warga Nepal di sebuah pangsapuri di Pulau Tikus, George Town.
Difahamkan, ada orang yang dipercayai dari pihak pengurusan atau penduduk pangsapuri itu memberi sebungkus besar kopi segera kepada 2 pengawal keselamatan terbabit.
Akhbar itu melaporkan 2 lelaki itu mengalami simptom pening selepas minum kopi berkenaan.
Seorang daripadanya segera berlari ke pangsapuri di seberang jalan dan menasihatkan pengawal keselamatan wanita di sana tidak minum kopi itu.
Selepas kembali ke bilik pengawal keselamatannya, beliau mengalami simptom histeria sebelum mereka berdua pengsan dalam bilik berkenaan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.