`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, January 25, 2018

Gadang jangan malendo, panjang jangan malindih

orang-minang-malaysia-hak-asasi

Minggu ini, tatkala berada di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), seraya mendengar bermacam cerita lara, di tangan saya buku yang menghimpunkan sejumlah peribahasa Minang, berjudul 1000 Pepatah Petitih Mamang Bidal Pantun Gurindam.
Penyusun buku ini ialah H. Idrus Hakimy Dt. Rajo Penghulu. Beliau adalah Ketua Pembina Adat-Syarak Lembaga Kerapatan Adat Alam Minangkabau Sumatera Barat.
Kepakaran beliau turut dirujuk dalam Seminar Adat Perpatih Negeri Sembilan Darul Khusus yang berlangsung antara 26 hingga 28 Disember 1994 anjuran kerajaan Negeri Sembilan. Ini menjadi satu petunjuk bahawa pandangan dan kearifan beliau tidak semata-mata dirujuk di Indonesia tetapi juga di Malaysia, khusus untuk masyarakat yang mengamalkan adat pepatih.
Terdapat beberapa buah peribahasa terkandung dalam himpunan itu yang wajar diturunkan di sini untuk dijadikan teladan.
Sebagai satu contoh, peribahasa Minang berbunyi: “nan buto pahambuie lasuang, nan pakak pamasang badie, nan lumpuah paunyi rumah, nan patah pangajuik ayam, nan bingung kadisuruah-suruah, nan cadiak bao baiyo, nan kayo bakeh batinggang”.
Ia bermaksud, “semua orang dapat dimanfaatkan, mulia, hina, kaya, miskin, sempurna, cacat, pandai dan bodoh”.
Pepatah ini merakam dan menekankan satu sistem asas yang terdapat dalam adat Minangkabau yang memperakukan bahawa semua manusia diiktiraf sebagai manusia dan mendapat hak yang sama tanpa sebarang diskriminasi di dalam hukum.
Hari ini, fahaman dan tafsiran agamawan, serta pihak berkuasa yang percaya hak asasi manusia khusus dalam kepercayaan dan keimanan ada hadnya sangat mendominasi.
Mereka menggunakan ruang yang ada untuk menafikan hak kumpulan tertentu dengan melabel mereka sewenang-wenangnya “sesat”, atau “membahayakan keselamatan negara”.
Dalam kerangka hak asasi manusia barat, UDHR 1948 atau Piagam Hak Asasi Manusia menegaskan dan percaya bahawa hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang diperjuangkan, ditagih, dibeli atau diwarisi. Hak asasi manusia sememangnya wujud dan ada pada setiap insan kerana mereka adalah “manusia”:
“By definition, human rights are not earned, bought, or inherited. Nor do they go with the job. Human rights are possessed by everybody in the world because they are human.”
Perkara 5 UDHR 1948 menetapkan “tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan”.
Semangat hak asasi Minang
Saya menemukan semangat yang sama pada peribahasa ini: “gadang jangan malendo, panjang jangan malindih”. Secara ringkasnya ia membawa ingatan “kalau menjadi orang yang memegang kuasa, jangan berbuat sesuka hati”.
Ini bermakna peribahasa Minang telah menuntut supaya negara (pihak berkuasa) menjalankan pemerintahan yang adil.
Peribahasa “nan landai batitih, nan candoang baraieh, nan lamah baindiek” pula bermaksud “dilarang di dalam adat orang memperlakukan si lemah semahu-mahunya”.
Ini merupakan satu hak untuk mendapat pengiktirafan sebagai manusia dan tidak ditindas. Malah dalam negara demokrasi, kumpulan yang lebih besar sepatutnya berbangga melindungi hak mereka yang lemah dan lebih sedikit.
Minggu ini tatkala saya mendengar cerita-cerita sepihak bahawa terdapatnya kehidupan peribadi minoriti agama yang terkacau, peribahasa Minang yang rasi dengan Perkara 12 UDHR 1948 kembali menjengah.
Artikel 12 itu menetapkan, “Tiada sesiapa pun yang boleh dikenakan kepada sebarang gangguan sewenang-wenangnya terhadap keadaan peribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau pencerobohan ke atas maruah dan nama baiknya. Setiap orang berhak kepada perlindungan undang-undang terhadap gangguan atau pencerobohan sedemikian.”
Terdapat peribahasa yang relevan di sini iaitu, “dibilang kato nan ampek, partamo kato pusako. Sanong hati santoso tampek, di sinan ado raso mardeko”. Peribahasa ini ternyata menegaskan perlindungan kepada setiap warga dan tidak lari dari matlamat yang ingin dicapai dalam Perkara 12.
Ia membawa maksud “kemerdekaan itu baru dapat dirasakan hasilnya apabila pembangunan di bidang kesejahteraan hidup dan di tempat kediaman telah cukup dan selesai”.
Ia menjamin hak mendapat perlindungan kepada setiap warga dan ia tidak bertentangan pula dengan Perkara 3 UDHR 1948 yang menyatakan, “Setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri.”
Puritan dan peribahasa
Saya percaya terdapat banyak lagi peribahasa Melayu, sebagai satu produk peradaban yang amat hampir dengan gagasan hak asasi manusia Barat, iaitu UDHR 1948. Apa yang lebih menarik adalah, dalam masyarakat Melayu yang terkenal tepu dengan pengaruh feudalisme, peribahasa yang menuntut keugaharian dan keadilan telah mendapat tempat yang kukuh.
Hari ini, elemen budaya yang penting sebegini sedang dihakis oleh kumpulan agamawan puritan yang menggunakan topeng wajah progresif. Mereka kembali menamakan diri Kaum Muda, meminjam episod sejarah guna mendapat sokongan massa. Perlahan-lahan peribahasa sebagai contoh tidak lagi dikenali dan dihampakan.
Peribahasa berpotensi untuk diperkenalkan kembali sebagai sebuah parameter hak asasi manusia.
Seorang sarjana dari Afrika yang banyak melakukan usaha menggali sastera lisan bangsa dan membacanya dengan kerangka hak asasi manusia Barat, Micere Githae Mugo, menyatakan peribahasa adalah warisan bangsa yang lahir dari kematangan pengalaman dan tahan uji zaman.
Lontaran peribahasa sebegini sendiri adalah merupakan satu bentuk “kebebasan menyatakan” (freedom of expression) dan merupakan kearifan tempatan yang indah dan berestetika tinggi.
Tunjang moral hak asasi manusia moden iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia terdapat dalam pepatah Minang yang terpilih. Kebebasan, kesetaraan dan juga pemeliharaan maruah dan harga diri manusia merupakan nilai-nilai unggul yang turut ditemui dalam pepatah Minang.
Apa yang lebih mustahak difahami di sini adalah, budaya ternyata sebuah bahagian yang penting dalam hak asasi manusia. Sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Unesco, sebagai contoh mengiktiraf budaya sebagai alat yang baik untuk diketengahkan demi mempromosi hak asasi manusia.
Kedudukan peribahasa dan pepatah Minang yang saya kemukakan sebenarnya tidak dapat dipandang enteng. Ini kerana satu lagi faktor yang membentuk keperibadian Melayu, selain Islam, adalah aspek budaya Melayu ini.
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman menekankan bahawa adat merupakan sesuatu yang sangat berharga dalam diri orang Melayu. Kata beliau, “To a Malay, the religion is his second nature, the other is adat or custom and these two mean everything to him. The saying goes – ‘Biar mati anak jangan mati adat’.”
Satu dua pepatah Minang yang saya sebutkan itu mempunyai nilai yang sama dengan kandungan UDHR 1948, menunjukkan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang sama sekali asing di alam Melayu.
Pengamatan terhadap kebijaksanaan dan kearifan lokal membuktikan orang Melayu, dalam hal ini etnik Minang, mementingkan nilai-nilai keadilan dalam sebarang susun atur dan tindak tanduk yang melibatkan seluruh masyarakat.
Oleh itu, pandangan ekstrim yang menolak wacana hak asasi manusia semata-mata kerana ia berasal dari Barat tidak sepenuhnya dapat diterima memandangkan wacana hak asasi manusia juga dapat ditemui dalam pepatah Minang.
Nilai-nilai yang ada pada wacana hak asasi manusia tersebut juga tidak bertentangan dengan Islam secara umumnya. Penemuan wacana hak asasi manusia dalam pepatah Minang ini juga menjadi petunjuk bahawa alasan “cultural relativism” yang sering digunakan oleh kumpulan yang ingin menafikan hak asasi manusia atas agenda dan kepentingan tertentu tidak berasas sama sekali.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.