`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 18, 2018

Mengapa Shali tidak mahu mengundi

undi-pilihanaraya

Shali tidak mahu daftar mengundi. Saya bertanya kenapa.
Dia diam, merokok, memandang ke arah luar. Kami berdua di balkoni medan selera IOI selepas mencari barangan untuk penyelidikan.
Saya hanya menebak, “Kau tak suka pilihan yang ada? Najib atau Mahathir?”
Dia hanya menyeringai. “Atau kau mahu tambah Najib, atau Mahathir, atau Haji Hadi.”
Shali terbelahak ketawa. Kenyataan Shali dia masih belum daftar mengundi membuatkan aku sedikit marah.
“Kalian orang muda, banyak sekali merungut. Najib itu ini. Mahathir itu ini. Negara begini begitu. Seharusnya begini dan begini… tetapi bila ada peluang meneyrtai proses demokrasi empat lima tahun sekali, tidak mahu terlibat. Mahu undi protes… tidak mahu mendaftar…”
Baru beberapa hari lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih. Setakat suku ketiga 2017, pengundi yang ada adalah seramai 14.8 juta orang.
Saya berasa amat perlu mengajak Shali dan semua yang sepertinya untuk ikut daftar mengundi.
Kehendak rakyat merupakan asas atau fondasi sesebuah kerajaan, dan ini hendaklah dilaksanakan menerusi pilihan raya yang benar dan sistematik, berkala, adil dan terjamin kerahsiaannya. Hubungan antara demokrasi dan hak asasi manusia telah disebut dalam artikel 21 (3) Universal Declaration of Human Rights (UDHR 1948):
“The will of the people shall be the basis of the authority of government; this will shall be expressed in periodic and genuine elections which shall be by universal and equal suffrage and shall be held by secret vote or by equivalent free voting procedures.”
Shali menyedut Milo Ais dan merenung saya semula. “Dr percaya dengan pilihan raya?”
Giliran saya terdiam.
Pilihan raya yang sihat seharusnya mengungsi sebarang bentuk diskriminasi.
Muna Ndulo, penasihat politik bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antara tahun 1992 sehingga 1994 di Afrika Selatan, telah menggariskan 6 kriteria untuk dipenuhi oleh setiap negara yang menganjurkan pilihan raya.
Dalam artikel beliau “Free and Fair Elections Violence and Conflict”, dinyatakan sesebuah pilihan raya di sebuah negara itu dapat ditanggapi sebagai bersih dan adil apabila memenuhi 6 kriteria berikut; (i) hak untuk semua pengundi terlibat dan melibatkan diri dalam setiap proses pilihan raya tanpa sebarang halangan; ii) kebebasan berkempen untuk setiap parti politik yang bertanding; iii) kerahsiaan bagi setiap undi; iv) kelancaran atau kepantasan yang munasabah untuk proses pengiraan undi; v) akauntabiliti dan keterbukaan bagi setiap proses pilihan raya yang melibatkan setiap pihak bertanding; dan vi) undang-undang pilihan raya yang diterima dan dipersetujui semua pihak terlibat.
Apakah pilihan raya di Malaysia mencakupi 6 kriteria di atas?
Prasangka Shali, anak muda 29 tahun itu, ada asasnya. Harus dinyatakan di sini laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati tindakan, perhatian dan usaha institusi pilihan raya di Malaysia untuk membersihkan daftar pemilih pengundi, khusus melibatkan apa yang dinamakan sebagai pengundi hantu “masih belum mencukupi”.
Laporan itu diterbitkan pada 2011, setelah 6-7 tahun, apakah ada perubahan?
Ada asas
Rasa curiga Shali yang mendalam itu tidaklah hadir tanpa asas. Shali masih membiarkan angin menerpa janggut dan rambutnya. Kemejanya terselak dibuai angin menampakkan bulu dada yang nipis.
Saya melemparkan ingatan kepada kajian ahli akademik, Tsun Hang Tey dari National University of Singapore.
Beliau berpandangan SPR tidak serius dalam menerima aduan dan bantahan terhadap kewujudan pengundi haram, selain kelihatan gagal mengendalikan teknologi untuk mendokong sebuah sistem pilihan raya yang sihat.
Menurut Tey dalam makalahnya “Malaysia’s Electoral System: Government of the People?” (1990), terdapat kecacatan pada daftar pemilih di Malaysia yang melibatkan 300 ribu pengundi, dan pada 1999, kecacatan itu menjadi 680 ribu.
Apakah kecacatan itu sudah dibaiki pada 2018?
Kajian Lim Hong Hai mendapati keseluruhan sistem pilihan raya di Malaysia berada dalam keadaan tempang kerana peranan SPR itu sendiri dalam keadaan pincang ekoran manipulasi undang-undang.
Dalam makalah akademik berjudul “Electoral Politics in Malaysia: ‘Managing’ Elections in a Plural Society”, Hai berpendapat penglibatan kerajaan dalam menentukan fungsi, dan tindak-tanduk SPR terlalu besar.
Gerrymandering
Selain daripada kritikan terhadap perjalanan pilihan raya yang melibatkan pengundi haram, serta ketidakcekapan dan kesendengan institusi pilihan raya seperti SPR; konsep “gerrymandering” yang berlaku dalam persempadanan kawasan pilihan raya di Malaysia juga sering mendapat kritikan dan perhatian ahli akademik.
Gerrymandering ialah satu konsep yang menerangkan tindakan memanipulasi atau tindakan secara sengaja pihak yang mempunyai kuasa politik dalam sesuatu wilayah negeri atau tempat dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbirannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang.
Tindakan ini adalah bertujuan untuk mengurangkan undi parti pembangkang sama ada dalam satu kawasan kecil ataupun kawasan yang berhampiran.
Kajian akademik terhadap amalan gerrymandering di negara ini memperoleh dapatan yang sangat menggelisahkan, serta menjolok mata.
Sebagai misalan, penyelidikan bersama Junaidi Awang Besar, Mohd Fuad Mat Jali, Rosmadi Fauzi, dan Amer Saifude Ghazali untuk penyempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 dan impaknya kepada pilihan raya umum 2008 di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang dan Bangi Selangor mendapati penyempadanan bahagian pilihan raya acap kali “menguntungkan pemerintah”.
Judul kajian mereka adalah “Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya 2003 dan Impaknya Kepada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 Di Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang dan Bangi Selangor”.
Dapatan mereka membawa kepada satu soalan, apakah satu pilihan raya yang bebas dan adil dapat berlaku di Malaysia pada tahun 2013?
Dan tahun ini, kita akan berhadapan dengan pilihan raya 2018.
“Shali, kenapa kau tidak daftar mengundi?” Saya bertanya soalan itu lagi. Ia soalan yang sia-sia.
Shali hanya menggentel bulu dada seraya bertanya kembali, “Dr percaya dengan pilihan raya?”
Angin dari Putrajaya menggesa rambut dan wajah kami. Di balkoni medan selera IOI itu, kami diam membatu untuk satu tempoh sebelum beredar.
Saya menahan hawa dingin, dan dalam sedu terfikir, jika anak muda sepertinya Shali sudah tiada percaya kepada negara maka apakah masa depan anak-anak saya kelak?
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.