`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 3, 2018

Pengedar Proton: Mustahil naik taraf jadi pusat 3S tanpa RM1 juta

proton-showroom-malaysia

PETALING JAYA: Arahan Proton untuk pengedar menaik taraf premis menjadi pusat jualan dan servis sehenti sebelum Oktober ini mustahil dilaksanakan kerana ia memerlukan kos kira-kira RM1 juta, kata seorang pengedar kereta nasional itu.
Pengedar Proton yang enggan dinamakan itu berkata, mereka tidak mendapat pulangan setimpal daripada jualan sebelum ini disebabkan saingan sengit yang tidak sihat sesama pengedar jenama itu.
“Model bisnes yang pengurusan Proton laksanakan sebelum ini masih tidak ada pulangan. Kini, minta laksanakan pusat 3S (khidmat jualan, servis dan alat ganti) atau 4S (khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat) pula.
“Kalau nak buka pusat 3S, kos sedia ada sudah tidak mampu ditanggung, untuk mendapatkan keuntungan dengan kos yang tinggi ini memang kita tidak mampu.
“Untuk laksanakan 3S, kos diperlukan adalah 4 kali ganda daripada kos asal, iaitu dalam anggaran kasar RM1 juta atau lebih,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, beberapa syarikat pengedar dilaporkan mungkin terpaksa bergabung dengan syarikat yang hanya menawarkan servis atau ditutup susulan permintaan Proton kepada 280 pengedar dan pusat servis untuk menaik taraf premis menjadi pusat 3S atau 4S.
Ia antara pelbagai perubahan diperkenalkan Ketua Pegawai Eksekutif Proton baharu, Li Chunrong kepada pusat pengedaran dan servisnya dalam usaha mengukuhkan jenama serta menambah baik pengalaman pembelian orang ramai.
Pada 25 Januari lalu, Proton dilaporkan berkata, lebih ramai pengedarnya menaik taraf pusat operasi masing-masing bagi menawarkan jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan, selain perkhidmatan ketuk dan cat di bawah satu bumbung.
Katanya, 5 peniaga sudah menaik taraf pusat mereka kepada 3S dan 4S, manakala kumpulan ke-2 peniaga yang menandatangani perjanjian menaik taraf rangkaian peniaga akan mengikut jejak 4 syarikat lain yang sudah dinaik taraf pada Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut, pengedar di Selangor itu meragui Proton di bawah pengurusan baharu mampu membawa perubahan melalui pelbagai janji diberikan.
Beliau mendakwa ramai pengedar sedang menunggu hasil jualan sepanjang Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri ini sebelum mengambil keputusan untuk menyambung atau menamatkan lesen pengedaran Proton.
“Dulu, Proton bekerjasama dengan Honda, kemudian dengan Suzuki pula yang ketika itu dikatakan akan mengeluarkan segmen kereta kompak, tetapi yang keluar adalah Ertiga.
“Selepas semua kisah demi kisah, pengedar sudah muak dan dikatakan naik taraf ini dilakukan demi membawa masuk SUV pertama Proton yang asalnya dari China,” katanya.
Saingan sengit, keuntungan kecil
Beliau berkata, ketika ini, keuntungan bersih pengedar selepas bayaran komisen jualan dalam lingkungan RM1,000 sehingga RM1,500 untuk sebuah kereta.
Katanya, saingan sengit memburukkan keadaan untuk sesetengah pengedar yang hanya menikmati keuntungan RM300 hingga RM500 bagi sebuah kereta.
“Mereka bukan bersaing untuk pasaran lebih, mereka bersaing sesama sendiri untuk dapatkan pelanggan sama.
“Cara bersaing adalah memberi komisen kepada jurujual pengedar lain yang menjadi broker. Ada sesetengah pengedar memberi komisen jualan kepada broker bersamaan semua margin keuntungan pengedar.
“Ini dilakukan dalam keadaan terdesak kerana takut ‘dealership’ kita ditamatkan apabila tidak mencapai sasaran jualan ditetapkan Proton.”
Katanya, walaupun saingan sedemikian dilarang seperti tertakluk dalam perjanjian pengedar, tetapi budaya tidak sihat itu berleluasan kerana tiada pemantauan atau tindakan diambil Proton.
Lambakan bekalan kereta
Pengedar itu turut mendakwa pengedar terpaksa menyimpan sehingga 50 kereta sebulan, walaupun lebih 80% pengedar menjual kurang daripada 20 kereta sebulan.
“Setiap kereta jika tidak dibayar selepas 14 hari akan dikenakan faedah terkumpul, iaitu 10.35% dalam tempoh setahun.
“Cuba bayangkan keadaan pengedar Proton yang menjual 10 sehingga 15 kereta sebulan, tetapi dilambakkan berkali ganda stok kereta. Sekarang ini ada lebih kurang 200 pengedar di seluruh negara.
“Faedah yang dicaj setiap bulan lebih daripada RM20,000 sedangkan keuntungan bersih menjual 10 hingga 15 kereta sebulan tidak pun mencapai RM10,000.”
Beliau mendakwa pengedar yang gagal membayar faedah itu, dilarang mengambil bekalan kereta mengikut model dan warna ditempah pelanggan.
“Pelanggan bising sebab sudah bayar deposit, datang mengamuk kepada pengedar. Itulah namanya ‘snowball effect’.
“Kita terpaksa guna duit pelanggan sebab duit sudah habis bayar faedah tidak masuk akal kepada Proton. Faedah ini dicaj tanpa sebarang ‘statement’ dan (dipotong) secara automatik dari akaun kami.”
Sementara itu, katanya, pengedar juga perlu bersaing dengan Proton yang menguruskan tawaran diskaun sehingga 10% kepada ahli Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, menyebabkan mereka tidak mendapat manfaat daripada dasar baharu itu.
“Sebagai pengedar Proton, kita tidak boleh menjual kereta kepada (ahli) Persekutuan Persatuan Hokkien dengan diskaun khas ini…ia ‘bypass’ pengedar, sebaliknya terus kepada Proton.
“Bukan sahaja kepada (ahli Persekutuan Persatuan) Hokkien, Proton turut menawarkan diskaun serupa kepada kakitangan Pos Malaysia, DRB Hicom dan semua bank di Malaysia. Kita bukan sahaja kena bersaing sesama sediri, tetapi juga Proton.
“Apabila pengedar tidak dapat mencapai sasaran ‘dealership’ kita kena ‘terminate’,” katanya yang sedang mempertimbangkan untuk menerus atau menamatkan perniagaan itu. FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.