`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 1, 2019

Kurr… kurr… perihal intelektual ayam kita



Prof Syed Hussein Alatas pernah menulis karangan ilmiah berjudul “Intellectual Imperialism: Definition, Traits, and Problems”.
Beliau menyatakan imperialisme mempunyai beberapa sifat utama iaitu pengeksploitasian dan kawalan daripada kuasa penakluk terhadap yang ditakluk; sementara yang kedua, pihak yang ditakluk atau tertawan itu dikawal, dipandu dan dikerah ke satu arah yang sama iaitu memenuhi hasrat dan tujuan penakluk.
Ketiga, fenomena penaklukan mengakibatkan kuasa yang lebih dominan dapat memaksakan subjek yang dijajah itu akur kepada aspek hidup tertentu. Di mana, keempat, orang atau pihak yang tertawan itu hanya memainkan peranan sekunder. Kelima, oleh dahsyatnya penawanan ini, terdapat satu rasionalisasi intelektualisme bahawa imperialisme merupakan satu kemajuan dan satu keperluan.
Realiti penawanan adalah apabila mereka yang menjajah pihak yang lemah ini membawa pulang hasil negeri ke negeri mereka, mempakej, memproses dan memproduksikannya kembali lantas mengutus semula ia ke negeri asal sebagai satu bentuk eksplotasi yang berpanjangan.
Alatas membawa contoh bagaimana getah diperolehi di bumi kita, dihantar ke England untuk diproses menjadi tayar, dan dijual kembali kepada kita.
Dalam hal dunia akademik, data segar dituai daripada sarjana kita di sini. Kemudian diproses di England dalam bentuk buku atau karangan dan dijual semula ke sini dengan harga tinggi.
Kita menulis tentang kita, membayar yuran penerbitan untuk diterbitkan di Barat, dan lagi kita perlu membayar untuk memuat turun atau membaca hasil penerbitan tersebut.
Kadang, sarjana kita turun taraf menjadi pemberi maklumat tetapi berbangga jika nama mereka menjadi pengarang kedua dalam artikel yang diterbitkan oleh jurnal terindeks.
Proses ini berterusan sehinggakan terdapat tanggapan penerbitan dari Barat, atau yang diterbitkan di Barat berkualiti; tulis Alatas, “there is attitude that good books are only written in the West”.
Terbitan tempatan ditertawakan kerana bukan Routledge atau Cambridge Press.
Perhambaan sarjana kita dengan menyembah Barat menjadi semakin ketara apabila terdapat piawaian atau parameter yang dicipta Barat bahawa sebuah universiti yang bagus kedudukannya harus begitu begini.
Misalnya, untuk mencapai ranking universiti, kita bertungkus lumus menerbitkan dalam bahasa Inggeris di rumah penerbitan Barat yang bergaya, dan diindeks dengan nilaian tertentu langsung diberi nama; katakan Scopus. Lebih banyak perhambaan dalam bentuk penerbitan, lebih mudah naik pangkat.
Kata Alatas, fenomena gila imperialisme intelektual ini memang melemaskan.
Kita tidak menemukan misalnya sarjana Jepun atau India mengutip data di Amerika Syarikat, membawa pulang data itu; memproses, menganalisis dan kemudian menerbitkannya di negara masing-masing. Di hujung, pelajar di Amerika Syarikat menggunakan buku yang dikonsepsikan di Jepun atau India.
Kita tidak menemukan seperti ini. Pun, kita menemukan gejala terbalik tersebut di sebelah Timur atau Selatan.
Apa yang mendukacitakan menurut Alatas, apabila sarjana kita mulai mengukur diri dengan kayu ukur asing, iaitu “assessing ourselves in terms of foreign yardsticks”.
Fenomena perhambaan intelektual ini kadang kala Alatas merujuknya sebagai “minda tertawan”.
Menurut Alatas, universiti menjadi Menara Tiru, sarjana menjadi tidak kritis, tidak mampu melihat masalah masyarakat, apatah lagi menyelesaikannya.
Sarjana juga diperuk menjadi stereotaip. Ia kini terkotak dan tidak melihat gambaran besar. Intelektual pun terasing dari masyarakat kerana sibuk mengejar kenaikan pangkat, dan paling dahsyat, ia tidak menjadi seorang sarjana yang berilmu.
Oleh sebab itu ada banyak masalah dalam negara ini yang berlonggokan dan bertimpaan antara satu sama lain menjadi habuk dan sarap sampah yang menimbun.
Oleh sebab sarjana sedang sibuk mengejar keprofesoran dengan menerbitkan artikel-artikel tersangka ilmiah dalam jurnal-jurnal berbayar terdakwa akademis, banyak masalah sebenar dalam negara kita benar-benar terabai.
Kita ambil satu kes yang memerlukan perhatian: gejala budaya kebangsaan kita yang dirampas Islamis.
Pada 2017 misalnya, cara kita bermasyarakat atau cara kita hidup sebagai orang Islam mendapat tunjuk ajar Sheikh Mohammad Abdul Karim al-Issa. Sebelum kita membincangkan saranan beliau, kita harus beringat yang Arab, umat pertama memeluk Islam, adalah juga umat pertama yang menolak Islam.
Arab juga umat pertama yang merosakkan agama Islam yang diwariskan oleh Nabi Muhammad ini menjadi agama yang sama sekali berbeza.
Memang Al-Quran tidak berubah tetapi tafsiran terhadap Al-Quran untuk agenda sendiri menjadi-jadi.
Kalau tak percaya, cuba rujuk sejarah bagaimana Khawarij menjulang naskhah suci Al-Quran tatkala Saidina Ali hampir menewaskan mereka. Juga, Arab, dan bukan Melayu yang membunuh cucu Nabi Muhammad, iaitu Saidina Hussein di padang Karbala.
Kenapa Melayu harus mendengar kata Arab?
Mohammad Abdul Karim al-Issa ada hati menyekolahkan kita untuk bagaimana menjadi orang Islam yang baik di Malaysia.
Kata Sheikh: “Adapun Muslim itu cukuplah dirinya seorang Muslim, dengan pegangan Islam dan bersama golongan Muslimin. Sekiranya mereka tidak cukup dengan itu, maka Islam tidak cukup baik untuk mereka. Inilah yang dikatakan kesesatan yang nyata”.
Mohammad juga menggurui kita bahawa edisi Islam beliaulah yang paling baik untuk orang Islam di Malaysia kerana “golongan salaf ini merupakan mazhab yang paling tegas dalam mentaati pemerintah, dengar dan patuh kepada pemerintah, dan memberi amaran agar tidak berkonfrontasi dan berpaling daripada pemerintah”.
Tentu Mohammad dalam Syarahan Perdana Wasatiyyah 2017 anjuran Jabatan Perdana Menteri yang bertajuk “Ancaman Liberalisme, Radikalisme dan Terorisme Dalam Dunia Islam: Pendekatan Wasatiyyah Sebagai Penyelesaian” itu kurang tahu Rukun Negara kita sendiri mengiktiraf cara hidup yang liberal.
Juga, hari ini, mujur terjadi pilihan raya umum ke-14 yang mana ada segelintir kita terberani sedikit untuk tidak mentaati pemerintah membuta babi, dan sedia berpaling dari pemerintah.
Oleh sebab itu, kita akhirnya dapat tersedak membaca berita ada pemerintah yang tidak membayar cukai pendapatan billion-billion dan ada Jawa boleh menjual cereka lalilatul qadarnya.
Sumbangan intelektual dalam perubahan di atas sangat sedikit. Malah kalau mahu dijejerkan nama Intelektual Ayam yang mempertahankan pemerintah korup, kita akan malu segan, kerana habis lengang universiti lantaran ramainya pensyarah dan profesor cap sardin.
Untuk melakukan perubahan, seorang naib canselor akan terpaksa melantik juga jenama “sardin” dan “ayam” ini memandangkan mereka pandai menyorong pipi pada waktu berahi.
Alatas dalam artikelnya menuntut satu gerakan pembebasan, satu gerakan kemerdekaan dalam kalangan para intelektual.
Akan tetapi, itu bukan kerja mudah. Sistem dan struktur yang disediakan di universiti, dan kerangka yang diserkup dalam kalangan sarjana menjadikan intelektual kita Intelektual Ayam.
Mereka berketak “kurr…kurr…” dan mematuk bertih jagung.
Intelektual Ayam ini dikurung dalam serkup, dan serkup itu dikurup reban, dan reban ditawan sangkar. Mereka saling bercakar mengejar dedak.
Kita pun berbondong-bondong menghantar anak ke serkup, reban dan sangkar ini. Sebaik anak-anak ini lulus dengan jubah dan topi megahnya kita pun bertepuk tangan dan berfoto sama, saling mengucap tahniah.
Intelektual Ayam dan Sarjana Cap Sardin lanjutan dari Profesor Kangkung, juga buntut dari Ilmuan Terompah. Semua mereka hamba dan mangsa penaklukan Barat. Mereka ditawan mindanya.
Mereka tidak pun sedar, tenggelam dalam sorak-sorainya. Kurr…kurr…kurr. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.