(Harakah) – Kelantan menyatakan pendirian menyokong ceramah pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ketika pelbagai pihak termasuk beberapa negeri menolak kehadirannya.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, penganjuran ‘Dr Zakir Naik The Kelantan Tour’ baru-baru ini membuktikan keterbukaan kerajaan negeri.
“Baru-baru ini kita anjur ceramah beliau di Stadium Sultan Muhammad IV yang dihadiri ratusan ribu rakyat Kelantan, cukup dengan itu sahaja sokongan kita terhadap Dr Zakir Naik.
“Ia sudah cukup untuk memberi gambaran kepada masyarakat bahawa kita menyokong serta usaha dakwah yang dijalankannya,” katanya selepas merasmikan Masjid Umair al Jabri di Desa Taqwa Kampung Pangkal Manak di sini semalam.
Hadir sama Adun Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif Bank al Jazirah Muhamed Amir al Jabri dan wakil ketua jajahan Tanah Merah Dr Hasnan Ramli.
Masjid yang mengandungi dewan solat, dewan terbuka dan homestay itu bernilai RM350,000. Ia dibina dalam tempoh empat bulan 15 hari selepas dimulakan pada April lalu.
Ia merupakan bantuan kewangan dari keluarga Amir al Jabri dari Qatar melalui perantaraan Bank Rakyat Malaysia Berhad serta penduduk sekitar yang menjayakan pembinaan masjid itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.