`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, August 21, 2019

Polis siasat kebocoran pekeliling Zakir Naik

PETALING JAYA: Sehari selepas arahan dalaman polis melarang penceramah kontroversi Dr Zakir Naik berceramah di seluruh negara dilaporkan media, polis hari ini mengumumkan siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti punca kebocoran pekeliling rahsia itu.
Ketua Komunikasi Korporat, Asmawati Ahmad berkata siasatan dijalankan bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara 1 tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan mendedahkan maklumat.
“Polis mengesan maklumat rasmi berklasifikasi ‘rahsia’ yang dikongsi dan disebarkan melalui rangkaian WhatsApp oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis meminta mana-mana pihak yang ada dalam miliknya, apa jua maklumat terkelas yang diterima dari mana-mana pihak melalui apa jua cara, hendaklah tidak berkongsi atau menyebarkannya.
“Mereka juga diminta untuk tampil membantu siasatan yang dijalankan bawah Seksyen 203A (1), bagi mengenal pasti punca kebocoran maklumat tersebut,” katanya.
Sebelum ini, FMT difahamkan beberapa acara melibatkan Naik di Lembah Klang dibatalkan atas nasihat polis.
Satu pekeliling dalaman polis yang dilihat FMT berkata kehadiran Naik boleh memberi ancaman kepada keamanan.
Penceramah dari India itu menjadi perhatian polis selepas lebih 100 laporan dibuat terhadapnya. Dia disoal siasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam rentetan ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.
Beliau dilaporkan mendakwa masyarakat India Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi dan menggambarkan masyarakat Cina Malaysia sebagai “tetamu lama” yang harus kembali ke tanah kelahiran mereka sebelum beliau meninggalkan negara ini.
Zakir bagaimanapun berkata ucapannya dipetik di luar konteks oleh media, dan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa ahli politik. Bahkan turut memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.