`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, November 14, 2019

Bagaimana Melayu melayan wanita



Seorang pelajar UKM menyinggah di kamar, berhasrat memunggah rasa. Katanya dia menyampaikan salam seorang ustazah, tidak banyak yang diperikan; melainkan ustazah itu berpurdah, dan konon pencinta ahlul bait. Pelajar itu bilang ustazah sangat marah. Bahawa konon saya menfitnah. Dalam kolum lalu, perihal rasuah-merasuah, saya mengisahkan “pekerja-pekerja” Temenggung Hassan yang mengambil rasuah daripada para peniaga.
Tup tup ustazah melenting dan menuduh saya mendakwa Temenggung Hassan yang korup dan korap, padahal, saya mengarang dengan begitu jelas bahawa “pekerja-pekerja” atau “anak-anak muda” yang dikaitkan dengan beliau berangkara.
Pelajar itu, seperti anak-anak pengikut ustaz dan ustazah yang lain, tidak mahu percaya, dan ingin menegak benang basah. Konon saya memang menfitnah. Saya sebutkan lagi, ada perbezaan antara kefahaman dia yang lemah, dan melenting ala siamang basah.
Saya tidak faham bagaimana seorang ustazah – yang konon mencintai ahlul bait (keluarga Nabi Muhammad yang suci) – boleh mempertahankan kelakuan-kelakuan cabul di istana Melayu Melaka.
Saya memberitahu pelajar itu begini. Pada 1906, ada seorang orientalis dan juga pekerja Inggeris di Tanah Melayu, namanya R J Wilkinson, dia memerihalkan kesan kepercayaan Islam ke atas orang Melayu, yakni Melayu seperti ustazah tersebut barangkali.
Wilkinson yakin Islam mengkayakan kebudayaan dan pengetahuan orang Melayu. Malah banyak aspek buruk ketika Melayu beragama terdahulu ditinggalkan. Namun demikian, Wilkinson juga memerhatikan betapa banyak juga tafsiran Islam yang salah apabila sampai di tangan Melayu. Tafsiran “Islam kelam kabut”; saya namakan begitu. Sebab ustazah itu punya kelam-kabut, dia mengatakan saya mengatakan sesuatu yang saya tidak mengatakan.
Memang itu lah coraknya pengikut “Islam kelam kabut’. Tafsirannya kabut dalam kelam.
Kembali kepada Wilkinson, dia melihat orang Melayu melayan orang bukan Islam, antara lain orang natif dan orang asal dengan buruk sekali. Dalam kolum di sini saya pernah menceritakan bagaimana Munshi Abdullah melihat perhambaan sesama Melayu terjadi. Dan bagaimana perhambaan orang berhutang berlaku dengan restu istana Melayu lampau dahulu. Wilkinson juga melihat betapa undang-undang adat yang banyak mengangkat darjat wanita diperlekehkan setelah Melayu menerima Islam. Hanya kerangka fikir lelaki sahaja yang menjadi sendalan dalam setiap perkara. Wilkinson menulis begini, saya petik perenggan panjang itu:
“In certain respects, Muhammadanism has done a noble work in the Malay Archipelago. In Java it destroyed a great material civilisation, but it also put an end to widow-burning, abolished the degrading influence of caste, and gave the people a happier religion than the pessimistic faith of the Hindoos. It gave the Malays the literature that they possess and a certain amount of knowledge of the great world. Yet we cannot say that it has been an unmixed good to these peoples. In the first place it weakened the force of Malay customary law (adat), the great bulwark of the subject against the tyranny of his chief. Its doctrine of the “holy war” struck at the very roots of all morality and pity by practically denying human rights to non-Muhammadans, by justifying the kidnapping of Sakai and Semang aborigines, and by countenancing piracy and murder when the victims were only infidels whom its was legitimate to slay. Islam also prejudicially affected the status of Malay females. What we know about the position of women under the old Indonesian customary law goes to show that it was relatively a high one – perhaps even higher than that of men; Muhammadanism reduced that positon, in theory, to one of absolute dependence of the male sex. When all justice has been done to the personal teaching of Muhammad, the fact remains that the Malays are most prosperous, most intelligent and most industrious in those parts of the Peninsula (such as the Menangkabau States) where they have kept to their traditional customs in opposition to the doctrines of Muhammadan Law’ .
Tatkala saya mula-mula membaca petikan tulisan Wilkinson (1906) ini dari “Papers on Malay Customs and Beliefs”, saya masih siswa pengajian syariah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Saya meruok. Saya marah. Saya mencaci Wilkinson; dasar orientalis. Betul, saya pun pernah menjadi penganut “Islam kelam kabut”, seperti ustazah dan seperti pelajarnya yang datang mengetuk pintu kamar kerja saya.
Akan tetapi apabila saya semakin matang, tenang dan tidak kelam kabut, saya menjadikan perenggan Wilkinson di atas satu hipotesis. Ok, katakanlah Islam memang merubah atau merevolusikan kebudayaan orang Melayu seperti yang diyakini kelompok Attasian. Akan tetapi apabila saya membaca karangan-karangan Munshi Abdullah, saya jadi kecewa. Kelihatannya seolah-olah Melayu menjadi bertambah buruk dengan Islam. Wah, masakan Khalif khilaf.
Jadi Islam apa yang dianuti orang Melayu ini? Ini bukan Islam Rasulullah tentunya. Ini bukan Islam ahlul bait tentunya. Ini bukan Islam anutan saidatina Fatimah tentunya. Ini bukan Islam yang diimani ustazah itu tentunya.
Maka saya pun ingin percaya Melaka misalnya, di zaman kesultanan, yang menjadi pusat penyebaran Islam, memang betul-betul mengamalkan Islam Muhammadi. Bukan Islam “second hand’ atau bukan ‘Islam kelam kabut’. Saya justeru harus mencari bukti Wilkinson salah.
Saya pun dengan lahap sekali membaca Sejarah Melayu (pelbagai edisi), kemudian Sulalat us-Salatin (aneka versi) dan akhirnya dengan objektif saya terpaksa mengatakan Islam yang diwarisi orang Melayu adalah Islam bukan yang dikemukakan Nabi Muhammad.
Saya beritahukan pelajar itu, bahawa ustazah tersebut, mestilah tahu yang Islam di Melaka zaman dahulu melayani wanita dengan aneh, jijik, dan buruk sekali. Sebagai ustazah yang konon mendambakan ahlul bait, tidak patut dia terhegeh-hegeh minatkan Islam Melaka yang kelam-kabut itu.
Saya datangkan satu bukti sedih bagaimana Melayu melayan perempuan. Insiden ini ialah apabila Sultan Mansur Syah menghantar rombongan ke Pasai untuk bertanyakan satu masalah hukum agama. Soalan baginda adalah, “Adakah isi syurga itu akan kekal berada di syurga manakala isi neraka itu akan kekal di dalam neraka”.
Rombongan ugamawan ke Pasai itu, terdiri daripada antara lain mufti berstatus Liverpool, Pencetus Ummah yang riz begitu; dan dhaei pilih-pilihan. Mereka membawa bermacam hadiah untuk dipersembahkan kepada Raja Pasai; dan ini termasuklah dua orang budak perempuan (mungkin bawah umur), sebagai persembahan; sebagai hadiah. Saya petik:
“Setelah itu, maka Sultan Mansur Syah pun menitahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah: ‘Segala isi syurga itu kekalkah ia dalam syurga? Dan bagi isi Naraka itu, kekalkah ia dalam Naraka?’ Dan membawa emas urai tujuh tahil, dan membawa perempuan dua orang, seorang Peranakan Menngkasar, Dang Bunga namanya, seorang anak biduanda Mula, Dang Biba namanya; bingkis Sultan Mansur Syah akan Sultan Pasai, kimka kuning dan kimka ungu berbunga.”
Rombongan Melaka yang ketika itu diketuai Tun Bija Wangsa pun menyatakan, “Tuanku, akan titah paduka kekanda, barang siapa mengatakan erti masalah yang seperti dalam surat ini, dengan perempuan ini dan emas urai tujuh tahil disuruh berikan kepadanya; dan kata itu pun disuruh tabalkan, bawa ke Melaka.”
Mufti Pasai waktu itu Tuan Makhdum Mua, setaraf mufti Liverpool, di hadapan Raja Pasai menfatwakan apa yang ada di syurga dan neraka akan kekal abadi dengan dalil Al-Quran “khalidina fiha abada”. Muridnya, Tun Hassan berasa keanehan kerana jawapan itu tidak benar, maka beliau ke rumah gurunya dan mempertikaikan.
Gurunya, Tuan Makhdum Mua akur dan mengaku membuat salah. Kemudian secara senyap-senyap, di belakang Raja Pasai beliau memberi fatwa lain. Tun Bija Wangsa yang berpuas hati dengan fatwa baru itu pun menghadiahkan segala macam pemberian Melaka termasuklah perempuan dua orang tersebut; “Maka Tun Bija Wangsapun terlalu sukacita menengar kata Tuan Mua itu, maka emas urai tujuh tahil dan perempuan dua orang diberikannya kepada Tuan Mua. Maka oleh Makhdum, Dang Biba itu dinamainya Dang Aliah Bendahari”.
Itulah nasib perempuan di tangan “Islam kelam kabut” diberi-beri, dijadikan hadiah, ditukar ganti dengan fatwa lama dan baru. Padahal Nabi Muhammad datang memberikan keadilan dan kesetaraan buat wanita. Kalau tidak percaya rujuklah pidato puteri Nabi, Saidatina Fatimah di hadapan Saidina Abu Bakar, atau debat cucu nabi, Sayyidah Zainab di hadapan Yazid.
Tidaklah menghairankan hari ini, ada agamawan memilih untuk menjatuhkan hukum sesat terhadap sekumpulan wanita yang memperjuangkan hak wanita Islam yang lain, sebagai contoh Sisters in Islam. Tidaklah menghairankan hari ini, jika ada ibu muslimah yang mencari keadilan dan membela hak anaknya yang disodom oleh pelajar tahfiz akan diperkotak-diperkatik-digertak-digertuk dan tidaklah menghairankan hari ini juga, ada ustazah menegak benang basah membela Islam Melaka yang pernah memperlakukan jahat terhadap Tun Kudu, Tun Fatimah, dan Tun Tijah, dan sekalian wanita lain.
Saya beritahu pelajar ustazah itu, “Tell her, shame on her”.
Bukti-bukti dari Sejarah Melayu di atas baru satu, kalau saya jejerkan yang lain dari episod sejarah Melayu tentu lebih kecewa.
Saya beri amaran. Agamawan baik dari apa kelompok pun, mereka selalu mengatakan saya mengatakan sesuatu yang saya tidak mengatakan. Kemudian pengikutnya pun bersorak sorai bahawa ustaz dan ustazah telah melunaskan satu kewajipan. Busyit. Apakah kewajipan itu? Kewajipan membarua menyundal dan menjahat?
Sebab itu mesej saya jelas, kepada semua agamawan, termasuk ustazah, dan para mujtahid siber bahawa keselamatan dan kebenaran hanya ada pada Islam Muhammadi. Bukan pada Islam suku-suku tafsiran kalian. Bukan pada “Islam kelam kabut’ ala Makhdum Mua. Untuk membuktikan kita tidak mengambil Islam dari tangan kedua, kita haruslah kembali ke tangan pertama; yakni Nabi Muhammad dan ahlul baitnya.
Apa yang payah sangat? Kenapa berdolak-dalik sangat?
Pelajar sang ustazah tersebut jatuh terjelopok di hadapan saya, menangis dan memohon kemaafan. Katanya, “Ampun. Saya tidak mahu menjadi Tuan Makhdum Mua, biarlah ustazah Suhana saja menjawab dengan Tuhan.”
Saya melepaskannya dengan satu kali istighfar.
Mahkamah tuhan di hari akhirat bukan milik kalian agamawan. Ia milik tuhan. Jangan guna nama tuhan untuk hukum saya. Kamu juga manusia. Malah kamu manusia kelam kabut, yang tidak adil.
Saya juga makhluk tuhan. Saya juga berhak di mahkamah tuhan. Tulisan ini hujah saya. Dan saya akan hujahkan, dengan satu argumen; Ya Allah lihatlah, bangsaku mempertahan dan menjuarai Islam yang bukan miliknya utusan-Mu.
Allah lebih dan Maha Mengetahui. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.