`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, November 29, 2019

Mahkamah benarkan Adam Rosly tangguh hukuman penjara 6 bulan

Mahkamah membenarkan Adam Rosly diikat jamin RM300,000 dengan 2 penjamin warga tempatan, tetapi perlu menyerahkan pasport antarabangsanya dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 2 minggu.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Ampang, Adam Rosly Abdullah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 6 bulan atas kesalahan memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan perkara itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim yang mewakili pihak pendakwaan dan peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir yang mewakili Adam.
“Setelah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk penangguhan hukuman (penjara) sementara rayuan di Mahkamah Rayuan diputuskan.
“Pemohon juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan 2 penjamin warga tempatan dan tertakluk kepada syarat berikut, iaitu menyerahkan pasport antarabangsanya, melaporkan diri di balai polis berhampiran dengan kediaman sekali setiap 2 minggu, bermula hari ini.”
Pada 25 Nov lepas, Adam, 31, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 6 bulan serta denda RM30,000 yang diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke atasnya pada 26 April 2018, atas 6 kesalahan memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada SPRM semasa siasatan berhubung dakwaan berkaitan kekayaan luar biasanya.
Terdahulu, dalam hujahannya, Nizam Bashir berkata, pihaknya memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 25 Nov lalu.
“Lazimnya, mana-mana rayuan mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk didengar di Mahkamah Rayuan. Justeru, penangguhan hukuman wajar diberikan agar pemohon tidak menjalani tempoh pemenjaraan yang panjang.”
Bagaimanapun, Nik Haslinie membantah permohonan itu kerana Adam didapati bersalah terhadap semua pertuduhan.
Beliau berkata, sekiranya mahkamah berpendapat penangguhan pelaksanaan hukuman wajar diberikan, pihaknya memohon wang jaminan dinaikkan berserta syarat tambahan di mana pemohon perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga rayuan selesai.
Bagi 2 pertuduhan pertama, Adam didakwa memberi kenyataan palsu ketika percakapannya dirakamkan 2 pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kenyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman RM200,000 daripada ibu mertua dan neneknya serta pinjaman daripada Ah Long sebanyak RM500,000.
Bagi 4 pertuduhan lagi, dia didakwa menggunakan dokumen perjanjian palsu daripada 2 individu dan 2 baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat memperdaya pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 89 akta sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari 10 Feb 2017 serta 9 pagi hingga 2 petang 22 Feb tahun sama.
Pertuduhan itu membawa denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya bagi setiap sabitan kesalahan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.