`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, November 19, 2019

Draf pinda had umur minimum perkahwinan dibentang ke Kabinet akhir tahun

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kementeriannya dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur yang dijangka dibentangkan kepada Kabinet dalam bentuk memorandum pada hujung tahun ini.
Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, draf berkenaan membabitkan pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) bagi menaikkan had umur minimum wanita dibenarkan berkahwin kepada 18 tahun dan pelan terbabit mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi kerajaaan persekutuan serta negeri.
“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam usaha mengekang perkahwinan bawah umur, iaitu melalui perundangan dan mengenal pasti punca-punca berlakunya perkahwinan bawah umur.
“Undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri terletak di bawah bidang kuasa negeri dalam Jadual Kesembilan, Bahagian Dua – Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, Putrajaya masih memerlukan persetujuan kerajaan negeri sebelum melaksanakannya.
“Draf pindaan sedang dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Manakala Enakmen Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan hanya boleh dipinda sekiranya negeri-negeri bersetuju dengan cadangan pindaan tersebut,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) tentang usaha kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.
Beliau berkata, undang-undang keluarga Islam, termasuk hukum syarak, perkahwinan dan adat negeri terletak di bawah bidang kuasa negeri.
Katanya, sehingga kini hanya Selangor yang meminda enakmen itu, sementara Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.
“Lima negeri lain yang telah bersetuju untuk meminda adalah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak.
“Masih terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda perundangan berkaitan, iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.
“Manakala bagi bukan Islam pula, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan tiada keperluan meminda peruntukan berkaitan had umur pendaftaran perkahwinan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.”
Ini kerana, katanya, undang-undang sedia ada sudah jelas had umur minimum perkahwinan bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun.
“Pengecualian hanya diberikan kepada perempuan berumur 16 dan 17 tahun yang perlu mendapat kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar.”
Terdahulu, Syed Ibrahim bertanya kenapa kerajaan tidak boleh menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun sedangkan Indonesia sudah menetapkan had itu pada 19 tahun.
Wan Azizah berkata, Indonesia boleh meminda undang-undangnya melalui keputusan secara berpusat tanpa memerlukan persetujuan di peringkat kerajaan negeri.
“Bagaimanapun, ingin saya memperjelaskan pindaan perundangan Indonesia ini masih membenarkan perkahwinan di bawah umur 19 tahun dengan melalui proses mahkamah serta mengemukakan justifikasi yang kukuh.”
Banyak kes Orang Asli, bukan Islam kahwin bawah umur
Wan Azizah berkata, kerajaan masih mencari kaedah terbaik untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai perkahwinan bawah umur dan cara menyelesaikan isu itu yang turut membabitkan jumlah tinggi dalam kalangan Orang Asli serta orang bukan Islam.
“Kita memang nak meneliti statistik ramai mana sudah dipaksa kahwin, kahwin muda dan sebagainya dan berakhir dengan penceraian. Kita ada kekangan, tidak ada cara mana kita nak ambil data kahwin dan cerai (bawah umur), ini masalah kita hadapi.
“Kes cerai melibatkan umur 25 tahun kita tidak boleh kata ia disebabkan kesalahan kahwin bawah umur, ada sebab-sebab lain misalnya kemiskinan, pendidikan dan sebagainya.”
Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Yusoff (PAS-Rantau Panjang) mengenai statistik penceraian membabitkan perkahwinan bawah umur kerana media sosial mendakwa kadar penceraian di bawah umur 25 tahun meningkat dan apa pendekatan kerajaan bagi menyelesaikan isu itu.
Wan Azizah berkata, kes perkahwinan bawah umur membabitkan bukan Islam mencatatkan jumlah tinggi, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Kita mahu satu cara bagaimana kita dapat menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan kahwin bawah umur.
“Kalau kita boleh dapat data, kita boleh teruskan dengan penyelesai. Kita dalam perancangan nak teliti bagaimana nak tolong mereka.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.