`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, November 17, 2019

Perbicaraan kes Zahid seleweng dana Yayasan Akal Budi bermula esok

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi.
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini esok.
Kes Zahid yang juga presiden Umno akan didengar di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Hakim terlebih dahulu akan mendengar permohonan Zahid untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dari segi perlembagaan yang melibatkan tuduhan dihadapinya.
Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran memaklumkan mahkamah pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana itu membuat enam pembayaran kad kredit sendiri, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta sebatan dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.
Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan dalam halaman biodata “polycarbonate” Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank, Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 hingga 11 April 2018.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, iaitu boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.
Pada 26 Jun lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN, dua tahun lepas.
Keesokannya, Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.