`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 31, 2020

Perniagaan kecil di Sabah ketengah cadangan balas terhadap pakej kerajaan

Pusat beli-belah Imago di Kota Kinabalu menyaksikan pelanggan berkurangan sejak kawalan pergerakan berkuatkuasa. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU: Pemilik perniagaan kecil di Sabah mengetengahkan beberapa cadangan tersendiri menyusuli pakej rangsangan ekonomi kerajaan, mengatakan rancangan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat tidak akan banyak membantu mereka bertahan.
Usahawan pelbagai sektor beritahu FMT kerajaan patut melonggarkan sekatan ke atas majikan semasa tempoh kawalan pergerakan, ketika bantuan kewangan disediakan untuk pekerja.
Beliau berkata kerajaan harus membenarkan majikan mengambil langkah-langkah pengurangan kos seperti pengurangan sementara waktu bekerja dan gaji, atau membenarkan majikan mengarahkan kakitangan bercuti tanpa gaji.
Langkah seperti itu lebih baik berbanding memberhentikan kakitangan, yang menurut usahawan akan berlaku akibat langkah semasa.
Kebimbangan Noreen Ann, 57, yang menceburi bidang makanan dan minuman dan pengilangan, adalah memastikan perniagaannya aktif supaya dia boleh mengekalkan pekerjanya.
Beliau berkata tabung pemulihan perusahaan dan sistem insurans pekerjaan menerusi Perkeso tidak benar-benar membantu suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri.
“Terutama sekali mereka yang hanya mengambil orang bekerja separuh masa.
“Kos mengekalkan pekerja ketika ketiadaan kegiatan perniagaan lebih tinggi kerana isu sebenar tidak ditangani dengan betul,” katanya.
Presiden Persatuan Majikan-majikan Sabah, Yap Cheen Boon minggu lepas mengkritik pakej rangsangan ekonomi sebagai tidak cukup untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana yang memerlukan.
Beliau berkata pakej itu tidak secukupnya menangani kebimbangan mengenai aliran tunai dan kos gaji, dan subsidi gaji RM600 hanya memberikan masa kepada beberapa PKS.
Sabah sahaja ada 50,000 PKS dalam sektor pelancongan, minyak sawit, pembalakan, pengilangan dan perkhidmatan.
Pakej rangsangan, dengan matlamat mengurangkan kesan krisis Covid-19, bernilai RM250 bilion. Daripada jumlah itu, RM100 bilion untuk perniagaan, termasuk PKS.
Rose Kolomin, 50, yang menceburi ternakan burung layang-layang, berkongsi sentimen mengenai mengekalkan kakitangan tetapi berkata ia sukar kerana majikan tidak dapat bantuan yang mereka mahukan.
Pemilik perniagaan kecil mesti dibantu jika mahu mereka pulih selepas menanggung kerugian, katanya.
Mary Jim
Mary Jim, yang menghasilkan barangan buatan tempatan mengikut citarasa tradisi, berkata kerjanya melibatkan ramai komuniti etnik di Sabah.
Kumpulan-kumpulan itu, termasuk ibu tunggal, suri rumah, dan orang muda, tidak dapat manfaat langsung daripada pakej rangsangan, katanya.
“Contohnya, apabila perintah kawalan dikuatkuasakan, kita terima banyak tempahan dalam talian, dengan 50% sudah membayar tempahan itu. Oleh kerana kita tidak dapat tepati tarikh akhirnya, pelanggan membatalkan tempahan dan minta bayaran balik.
“Saya rugi banyak wang tetapi komuniti saya menderita kreana mereka hilang punca pendapatan selain banyak jenis pinjaman peribadi yang perlu dilangsaikan,” katanya.
Mary, 44, berkata jika keadaan ini berterusan, ia akan menyebabkan kadar kemuflisan yang tinggi dan peningkatan kadar pengangguran.
“Kerajaan perlu segera melihat program kemahiran dan memperuntukkan sejumlah insentif untuk golongan tidak bekerja,” katanya.
Sebagai syarikat pemula dalam bidang teknologi maklumat, Fadzrul Dullie berkata tidak banyak bantuan ditawarkan dalam pakej kerajaan.
“Syarikat pemula pada sifatnya kurang biaya, kurang sumber, dan perlukan orang untuk berfungsi.
“Akses dana yang cepat dan mudah perlu dilaksanakan yang mungkin termasuk geran atau pinjaman atas dasar percaya mutlak supaya kita boleh terus mencipta dan mereka,” kata usahawan berusia 40 tahun itu.
Azizul Julrim
Azizul Julrim, 32, yang menceburi bidang pelancongan tani, tertanya berapa banyak syarikat pemula dan perusahaan mikro yang layak dapat pinjaman.
“Syarikat pemula akan runtuh. Oleh itu, insentif seperti geran sekali beri harus dipertimbangkan untuk lebih 4,800 syarikat pemula. Ini melibatkan orang berusia bawah usia 40 tahun yang hilang pendapatan,” katanya.
Pengilang kosmetik, Zaharinah Masair, 31, berkata walaupun perniagaan tertentu, kos operasi masih ditanggung.
Dia tiada kebolehan kewangan untuk mengenalkan perniagaannya untuk 2 bulan akan datang, dan menambah dia amat memerlukan modal kerja.
Salina Ali, yang menjalankan akademi kecantikan, mencadangkan kerajaan membenarkan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP sehingga maksimum RM50,000 sebagai modal niaga..
“Saya percaya ini boleh bantu kita mengekalkan perniagaan kita,” kata usahawan berusia 50 tahun itu.
Anne Antah
Anne Antah, 45, yang dalam bidang pengilangan, berkata majikan harus dikecualikan daripada membuat bayaran KWSP selama sekurang-kurangnya 6 bulan.
“Kami perlu masa untuk pulih dan kita jangka pendapatan kita akan jadi seperti biasa (selepas PKP ditarik balik). Kami tidak akan berhentikan pekerja atau arahkan cuti tanpa gaji, tapi sekurang-kurangnya kami harapkan pengurangan dalam sumbangan itu untuk terus beroperasi.
“Tetapi, kami masih tak pasti adakah kami akan pulih,” katanya.
Cadangan lain yang mereka percaya boleh membantu perniagaan kecil:
  • Semua bil elektrik komersial dikurangkan sebanyak separuh untuk 3 bulan akan datang.
  • Syarikat dibenarkan mengekalkan 10% daripada cukai jualan dan perkhidmatan perlu bayar untuk 12 bulan akan datang.
  • Moratorium bayaran faedah selama 6 bulan.
  • Sumbangan majikan kepada KWSP ditanggung kerajaan selama 6 bulan.
  • Sumbangan majikan kepada bayaran Perkeso ditanggung kerajaan selama 6 bulan.
  • Cukai hartanah dikurangkan separuh bagi tahun kewangan 2020-2021 bagi semua hartanah komersial.
  • Subsidi 50% ke atas sewa premis perniagaan di hartanah swasta.
  • Bayaran balik dan penepian cukai bagi 2020. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.