`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, November 16, 2020

Teh kosong, roti jadi alas perut pencuci pinggan, anak demi teruskan hidup

 

K Selvarani dan anaknya Emmanuel Joseph John tinggal di sebuah bilik sewa di bahagian belakang sebuah kedai gunting rambut di Pulau Pinang. Mereka baru-baru ini menerima tilam dan selimut baru sumbangan seorang guru tuisyen.

GEORGE TOWN: Pengsan di tempat kerja dan disyaki positif Covid-19. Insiden malang menimpa K Selvarani, 57, kira-kira 2 minggu lalu menyebabkannya hilang pekerjaan sebagai pencuci pinggan di gerai makan popular di Sungai Pinang.

Kini, Selvarani dan anaknya hanya mampu bertahan dengan teh kosong dan roti.

Anak lelakinya, Emmanuel Joseph John, 28, separuh buta akibat kecederaan selepas terbabit kemalangan 8 tahun lalu. Dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah blok rumah pangsa tetapi meninggalkan kerja itu bulan lalu, kerana gaji bulanan RM1,000 dibayar lewat.

Ibu, anak lelaki, dan anjing mereka berusia 8 tahun, Robbie berbumbungkan bilik kecil di bahagian belakang sebuah kedai gunting rambut di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong. Bilik disewa dengan harga RM250 sebulan itu kadangkala didatangi lipas dan tikus.

Mereka tidur atas lantai sejak sebulan lalu selepas tilam basah kuyup kerana hujan. Baru-baru ini, seorang guru tuisyen yang mendengar keadaan mereka, Vimalan Chandrasegaran, tampil menyumbangkan tilam dan selimut serta makanan yang bertahan selama seminggu.

Selvarani dan Emmanuel selama ini bertahan hanya berbekalkan teh kosong dan roti. Bagi mereka, “kemewahan” datang dalam bentuk roti tawar dengan kopi hitam sekali-sekala, setiap kali rakan Selvarani atau orang yang lalu lalang menderma RM10.

K Selvarani menggantung pakaian di bahagian belakang rumah kedai.

“Dalam 2 minggu sekali, kami ada cukup (duit) buat beli nasi kandar dengan ikan goreng. Bila ada duit, sudah tentu,” kata Emmanuel, mengatakan mereka terlalu malu untuk meminta pertolongan, sehingga cerita mengenai kesusahan mereka disampaikan dari mulut ke mulut.

Emmanuel berkata, dia sanggup mengikuti kelas elektronik atau kerja membaiki telefon bimbit untuk meraih pendapatan. “Kalau tidak, saya okey saja jadi pengawal atau buat apa-apa saja, tetapi orang tak ambil pekerja sekarang, dan dengan masalah mata saya, di mana saya akan bekerja?” Lengan kirinya turut lemah, kesan akibat kemalangan.

Selvarani sebelum ini meraih RM25 sehari, bekerja syif bermula 7 malam hingga 1 pagi, di gerai makan selama 2 bulan sehingga dia pengsan di tempat kerja 2 minggu lalu. Menurut doktor ia mungkin disebabkan vertigo (hilang keseimbangan), tetapi majikannya memberitahu supaya tidak datang bekerja kerana disyaki dijangkiti Covid-19.

Sejak itu, Selvarani mencari pekerjaan rencam, tetapi sukar baginya, dengan masalah pertuturan dan sukar mendengar. Dia ada mencari pekerjaan di pasar basah berdekatan tetapi tiada yang mahu mengambilnya bekerja, walaupun dengan upah rendah, atas alasan masa sukar akibat wabak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.