`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 23, 2021

Diaibkan semasa ‘datang bulan’

 

Kita sedang dengar dan lihat kecaman pelbagai pihak mengenai amalan “pemeriksaan haid” ke atas pelajar sekolah berasrama penuh, juga sekolah agama persendirian, dan sekolah harian biasa.

Sememangnya amalan itu mesti dikecam. Ada suara yang menuntut Kementerian Pelajaran memastikan amalan itu dihentikan segera jika ia masih berlaku, dan pastikan ia tidak berlaku lagi buat selamanya. Saya setuju kerana kecaman tanpa tindakan susulan pihak berkuasa tidak membawa erti. MARA diberitakan sedang menyiasat.

Imbas sekilas lalu bagaimana amalan memalukan itu terbongkar. Semuanya bermula apabila seorang pengguna Twitter melemparkan pertanyaan adakah amalan “pemeriksaan haid” masih berlaku di sekolah.

Serta-merta tampil pelajar dan bekas pelajar yang pernah melalui pengalaman memalukan itu membuat pendedahan. Menurut apa yang diceritakan, amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka haid atau datang bulan sudah berlaku bertahun tahun lamanya. Ada yang mendakwa ia berlaku sejak 20 tahun lalu.

Adakah ini bermakna pihak berkuasa tidak tahu akan amalan ini untuk sekian lama? Atau pelajar yang diaibkan memilih untuk mendiamkan diri kerana malu mungkin?

Apa pun kita mesti berterima kasih kepada pengguna Twitter yang melemparkan pertanyaan beliau.

Apa yang didedahkan setakat ini ialah yang menguatkuasakan “perintah” ialah guru, ustazah, warden asrama, dan pengawas yang mendesak pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada kemaluan dengan kapas, tisu atau jari. Mengapa? Untuk membuktikan pelajar tidak boleh sembahyang berjemaah seperti yang didakwa pelajar.

Maksudnya pihak sekolah tidak percaya apabila ada pelajar memberitahu mereka tidak boleh solat kerana mengalami haid. Maksudnya mereka mensyaki pelajar berkenaan tidak mahu solat. Maksudnya mereka yakin pelajar mahu ponteng sembahyang. Lantas mereka mahu tahu sama ada benar-benar pelajar sedang datang bulan. Dalam erti kata lain, mereka mahu bukti bahawa pelajar mempunyai sebab sah untuk tidak sembahyang.

Maka terjadi lah apa yang yang terjadi seperti yang disebut tadi. Ada juga pelajar mendakwa diraba di bahagian sulit untuk mengesan sama ada mereka memakai tuala wanita. Bagi saya ini bukan sahaja menjijik dan memalukan pelajar tetapi juga sesuatu yang amat menyedihkan.

Saya yang bodoh dalam hal agama pun tahu ini bukan cara Islam meskipun berpaksi ketetapan solat mesti didirikan jika tidak ada alasan atau sebab sah. Kalau saya pun boleh tahu akan ini, apa tah lagi para agamawan.

Kata Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut walau atas alasan apa sekali pun.

Beliau dipetik sebagai berkata setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati dan “agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti menghalang seseorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat”.

Persoalan: Ada tidak pelajar yang boleh atau “cukup sifat” solat tetapi menggunakan haid sebagai alasan agar tidak solat? Ada tidak pelajar yang berpura-pura haid atau tipu dengan mendakwa mereka datang bulan semata-mata kerana mahu ponteng solat?

Jawapannya: Tentunya ada. Ramai atau sedikit waullahualam. Mungkin tidak ramai tetapi hakikatnya memang ada. Pun begitu ini bukan alasan “pemeriksaan haid” dilakukan.

Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan jika ditanya pihak yang menjalankan “pemeriksaan haid” mengapa mereka berbuat demikian pasti jawapannya ialah mereka juga tidak suka apa dilakukan kerana ia bukanlah sesuatu yang “menyenangkan”. Namun mereka lakukan juga kerana percaya apa yang mereka buat adalah betul dan “dilakukan demi agama dan kebaikan pelajar sendiri”.

Bagi saya, pelajar yang berpura-pura dan mendakwa mengalami haid kerana tidak mahu solat masih belum menghayati sepenuhnya apa yang diajar guru, ustaz atau ustazah mengenai keindahan dan pentingnya solat dan mengapa umat Islam wajib solat dan sebagainya.

Maksudnya mereka belum benar-benar faham dengan apa yang diajarkan kepada mereka.

Bukan mahu tunjuk pandai. Cuma ingin mencadangkan apabila pelajar datang mengakui mereka mengalami haid dan tidak boleh solat, adalah baik jika guru, ustaz dan ustazah anggap mereka sedang berkata benar. Jangan sangsi.

Percaya apa yang mereka katakan. Pun begitu sampaikan tazkirah singkat mengenai solat bukan sahaja kepada mereka tetapi semua pelajar yang sedang siap sedia menunggu masuknya waktu solat. Ini supaya mereka yang tidak mahu atau tidak boleh solat tidak terasa terasing.

Maksudnya, mereka mesti terus ditarbiah supaya satu hari nanti mereka akan mahu sembahyang dengan sendirinya, bukan dipaksa atau sembahyang kerana pihak sekolah mahu mereka sembahyang. Ertinya, mereka sembahyang kerana mereka benar-benar mahu sembahyang. Maaf mungkin tarbiah yang diberi setakat ini belum “mencukupi”.

Membuat orang Islam, sama ada pelajar, anak muda mahu pun golongan tua seperti saya sembahyang atas kemahuan dan keinginan sendiri seharusnya menjadi keutamaan atau agenda semua terutama golongan yang memanggil diri mereka pejuang dan pembela agama.

Bukan sekadar bikin bising mengapa kerja amal Ebit Lew dihebahkan atau menakut-nakut kononnya bantuan Steven Sim kepada yang memerlukan berlandaskan agenda Kristian.

Keutamaan mesti betul, beb. Keutamaan yang betul lah yang mesti diutamakan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.