Anda pernah bermimpi?
Lazimnya, impian yang indah disebut mimpi, sedangkan impian ngeri ditakrif sebagai igauan.
Saya bukan pakar untuk memberi makna kepada mimpi atau igauan, tetapi saya agak rapat dengan ramai pemimpin politik, sama ada yang telah bermimpi atau yang sedang dibuai mimpi atau yang suka bermimpi, terutama di siang hari.
Ada yang bermimpi untuk menjadi Speaker Dewan Rakyat. Tak kurang juga yang bermimpi untuk menjadi menteri besar atau ketua menteri.
Ramai juga yang bermimpi untuk menjadi menteri, tetapi yang pelik juga, ada pula yang berkata, mereka tidak pernah bermimpi untuk menjadi menteri, setelah dilantik ke jawatan tersebut.
Apa lagi, ada yang berkata, saya tidak pernah termimpi untuk menjadi Perdana Menteri.
Mimpi adalah sesuatu yang luar biasa.
Kebetulan, beberapa hari yang lepas, Anwar Ibrahim mengakhiri impiannya untuk menjadi PM. “Que sera sera,” katanya sewaktu ditemubual oleh TV Australia.
Mungkin juga ada maksud yang tersirat. Disebabkan dalam Jemaah Menteri sekarang, agak ramai juga menteri atau Ahli Parlimen yang bermimpi untuk menjawat jawatan PM.
Mimpi dan igauan
Yang saya anggap aneh, ramai di antara ahli politik sekarang begitu asyik menceritakan tentang mimpi-mimpi mereka. Mereka tidak menceritakan tentang kepimpinan yang ingin mereka lakukan, terutamanya tentang perubahan yang boleh dilaksanakan, kerana sekarang, mereka sudah pun menjawat jawatan menteri.
Mereka berkuasa dan sememangnya boleh membawa perubahan kepada rakyat dan negara. Mereka boleh memimpin kalau mereka mahu. Tetapi kenapa bercerita tentang mimpi dan tidak mengenai kepimpinan?
Sekiranya mereka berkata, “aku tak pernah termimpi untuk menjadi menteri atau PM” dalam waktu mereka sudah menjadi menteri; apakah tidak ada kedangkalan dalam kenyataan tersebut?
Kenyataan sebegitu, memberi dua tafsiran yang berbeza.
Pertama, ianya memberi gambaran bahawa kumpulan yang kalah tidak harus jadi pemerintah. Dari situ datangnya mimpi.
Kedua, ia membawa maksud PM tidak akan kekal lama atau hanya sementara sahaja.
Ini mungkin berpunca dari pertelingkahan antara dua kumpulan parti yang memerintah.
Mereka bermusuhan dan berebut kuasa politik.
Kekeruhan antara dua kumpulan parti yang memerintah sekarang terlalu serius dan mungkin juga melibatkan wang ringgit yang begitu besar jumlahnya. Isu korupsi juga masih berpanjangan dan sangat mendalam untuk diselesaikan.
Apa yang nyata, mereka masih dalam Jemaah Menteri yang sama dengan pelbagai sandiwara dan drama.
Bagaimana pula dengan kepimpinan? Ini membawa kita kepada asas-asas kepimpinan yang agak tenggelam atau tidak jelas.
Negara kita sekarang nyata ketandusan kepimpinan, atau dalam Bahasa Inggeris “devoid of any leadership”. Yang ada cuma pemimpin berbentuk lebih sebagai pengasuh, atau “caretaker”.
Contoh yang paling ketara ialah dalam isu menangani Covid-19.
‘Pengasuh’ Malaysia atau PM yang memerintah sewaktu negara memuncak dengan pandemik tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan media, bertukar pendapat dan berdebat, menegakkan ide-ide beliau dalam menguruskan negara serta memberi ruang untuk media menyoal dan memberi pandangan yang berbeza.
Secara umum, minda dan buah fikiran pakar sains dan kesihatan serta cerdik pandai negara tidak digembeling untuk menggubal dasar dan pendekatan berkesan untuk menangkis krisis ekonomi dan kesihatan yang begitu menderitakan rakyat.
Berbilion ringgit dana awam dibelanjakan, namun wabak Covid-19 ketika itu diperburukkan dengan SOP tidak berkesan, pelbagai pusingan U, dan sistem rawatan yang tidak mampu menampung kenaikan jangkitan yang mendadak.
Jelas waktu itu, kita tidak mempunyai pemimpin, apalagi kepimpinan.
Ini bukannya ciri-ciri pemimpin yang bijak berfikir dan mendapatkan maklumat yang terbaik untuk rakyat dan negara. Kita tidak dipimpin ke jalan yang betul, lantas menjurus ke jalan yang sia-sia belaka.
Ketandusan pemimpin
Faktor ketandusan kepimpinan ialah isu utama yang mencengkam rakyat dan negara (baca artikel FMT Julai 20, 2021 bertajuk “Leadership is the No.1 issue”). “Pengasuh” tidak prihatin terhadap masalah rakyat, tidak memajukan negara, tidak melawan rasuah yang berleluasa, dan tidak menutupi segala masalah ketirisan perbelanjaan negara.
Faktor utama ini menjadikan negara telah lama tergelincir dari landasan asal.
Selepas 17 bulan, PM yang gagal itu pun bertukar, tetapi Jemaah Menteri dan modus operandi pentadbiran beliau terus kekal.
Ketandusan kepimpinan bukan perkara baharu. Sewaktu PH menang dalam PRU14 dulu, Malaysia sudah menghadapi ketandusan pemimpin.
Dr Mahathir Mohamad juga pernah berkata dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi PM pada usia 93 tahun.
Tetapi, PH masih bersetuju melantik beliau, walaupun parti Mahathir hanya mempunyai 13 kerusi Parlimen. Sampai saat ini, ia menjadi mimpi ngeri PH.
PH juga dikejutkan. Saat-saat mereka melonjak gembira, menang tanpa pengalaman, juga membayangi bahawa mereka tidak pernah bermimpi untuk menewaskan BN.
Ketua BN waktu itu, Najib Razak, juga tidak pernah bermimpi bahawa dia akan kalah kepada PH. Tetapi mimpi ngeri PH terjadi apabila Mahathir meletak jawatan dan PH tumbang selepas 22 bulan.
Melaka
Semuanya mengenai mimpi, dan tanpa disedari, mereka merungkaikan mimpi-mimpi yang mereka alami.
Apakah ini polemik ahli-ahli politik yang diselubungi dengan berbagai mimpi sebelum mereka cuba untuk memimpin?
Apa yang berlaku di Melaka, misalnya, satu lagi contoh pemimpin yang telah hilang ciri-ciri kepimpinan. Mereka sangat tidak layak dinamakan pemimpin.
Keutamaan mereka sekarang ialah untuk mengisi atau merealisasikan mimpi-mimpi mereka itu dahulu, sebelum memikirkan tentang keperluan rakyat dan kesejahteraan negara.
Ini memberi erti bahawa mereka ini tidak ada kaliber sebagai pemimpin, apa lagi kualiti kepimpinan yang sesuai.
Sebaliknya mereka penuh dengan ego yang amat besar serta perlakuan yang jelek dan rakus.
Sebenarnya, kita sudah lama berada dalam dekad ketandusan pemimpin dengan impian mereka. Yang nyata, impian untuk menjadi negara maju pada 2020 bukan sahaja tinggal mimpi tetapi kini bertukar menjadi igauan yang ngeri.
Rakyat masih dahagakan kepimpinan daripada pemimpin yang tidak dibuai mimpi dan cita-cita sendiri. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.