`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, December 21, 2021

Rumah, harta musnah dihanyut arus, mangsa banjir tinggal sehelai sepinggang

 

Kereta dan rumah penduduk di Hulu Langat yang rosak akibat banjir pada Jumaat lalu. (Gambar Ihsan Penduduk)

HULU LANGAT: Mohd Shafik Jelani hanya mampu termenung melihat tapak kosong yang minggu lalu masih berdiri rumah dibinanya bersama isteri sejak 10 tahun lalu, tetapi musnah dihanyutkan arus deras dalam sekelip mata akibat banjir kilat.

“Saya hanya tinggal sehelai sepinggang selepas banjir, rumah habis hanyut, tinggal batu tangga sahaja, sebuah kereta, dua motor, barang-barang dalam rumah musnah dalam sekelip mata.

“Tipu kalau kata kami sekeluarga tak tertekan memikirkan harta yang hilang, nak kumpul balik bukan mudah, ia semua harta sepencarian saya dengan isteri sejak mula berkahwin pada 2011,” katanya yang tinggal di Kampung Batu 17 Paya Seberang, Hulu Langat ketika ditemui FMT.

Beliau yang menganggarkan mengalami kerugian lebih RM300,000 berkata, Kampung Batu 17 antara kawasan paling teruk terjejas, selain Taman Sri Nanding.

Beliau berkata, banjir kali ini paling teruk kerana air melepasi bumbung rumah berbanding 2012 yang setinggi paras pinggang dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan untuk membina rumah baharu atau membaiki kerosakan dialami kediaman masing-masing.

Mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Mohamad Firdaus Amri berkata, kebanyakan penduduk di kawasannya memerlukan bekalan air untuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur tebal.

“Kami balik dari pusat pemindahan sementara (PPS) kelmarin, tapi bila sampai rumah tak boleh nak buat apa, sebab nak cuci rumah bekalan air tak ada, elektrik tak ada.

“Jadi, keperluan kami sekarang ini ialah bekalan air bersih dan elektrik, selain itu pakaian dan ubat-ubatan serta makanan siap dimasak juga diperlukan. Kalau bagi makanan belum siap masak, susah juga kami nak masak dalam keadaan air dan elektrik tak ada.”

Beliau berharap lebih ramai sukarelawan akan turun ke Hulu Langat untuk membantu mangsa banjir membersihkan kawasan perumahan mereka.

“Laluan masuk dipenuhi batang pokok, serpihan rumah bertaburan dan lumpur tebal memerlukan jentolak untuk dibersihkan.”

Bagi Mohamad Azlan Zailani, bencana ini bukan sahaja memusnahkan hartanya, tetapi juga harapannya kerana banyak simpanannya dihabiskan untuk bertahan sepanjang perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Air naik mengejut dengan cepat, kami semua tidak sempat selamatkan barang-barang. Yang sempat ambil ialah kad pengenalan, barang peribadi, yang lain semua tak sempat, kami reda dengan ujian yang diberikan.

“Memang buntu nak cari wang untuk beli semula barang-barang rumah yang musnah untuk bina semula kehidupan baharu.

“Rumah saya ini sebelah bahagian habis dan pening juga memikirkan kos nak baik pulih, ditambah PKP sebelum ini dan sekarang baru nak pulihkan ekonomi keluarga dah diuji dengan banjir pula, nak keluarkan duit KWSP, tapi sebelum ini dah habis guna semasa pendapatan terjejas masa PKP.”

Penduduk di Batu 18 Kampung Jawa, Noor Syrikin Rasmat berkata, selain barangan rumah musnah, haiwan peliharaan juga tidak sempat diselamatkannya.

“Saya mempunyai 10 ekor kucing, semuanya dihanyutkan air. Bukan sahaja saya, binatang peliharaan jiran-jiran saya juga mati dihanyutkan air.”

Nur Atiqah Abdul Karim berkata, beliau bersama beberapa rakan secara sukarela mengumpul pakaian sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Kami buat ikhlas secara sukarela sebab sedih melihat penduduk di kawasan kami yang terjejas teruk dan kehilangan harta benda. Sebagai penduduk satu daerah, kami cuba usaha sedaya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.