
Beria-ia benar Umno mahu PRU15 diadakan segera. Kita sedang melihat desakan demi desakan dibuat pada Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung. Sudah dijangka pun, PAU mahu PRU dipanggil secepat mungkin.
Daripada Presiden, Timbalan Presiden, perwakilan. Semua (mungkin bukan semua. Ini kita cerita sebentar lagi) mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti memohon perkenan Agong untuk Parlimen dibubar bagi membolehkan PRU15 diadakan segera. Kata kuncinya “segera” sebelum pemilihan parti diadakan. Kita tahu pemilihan parti akan diadakan tahun ini kemungkinan besar Disember.
Kita sudah dengar pelbagai cerita dan kisah mengapa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan timnya mahu PRU segera (bekas Presiden Najib Razak juga dikira dalam tim Zahid yang digelar kluster mahkamah). Kita juga sudah dengar cerita serta kisah mengapa tim pro-Ismail Sabri mahu pemilihan parti diadakan sebelum PRU manakala Zahid & Co tentu tak setuju.
Oleh kerana ramai antara kita sudah dengar mengapa dan kenapa itu semua, yang perlu ditanya sekarang pada hemat saya ialah Umno dah betul-betul bersedia untuk menghadapi PRU? Yakin menang? Ini saya tanya kerana seperti dikatakan tadi Umno beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu PRU diadakan. Kalau boleh sekarang juga.
Pada ucapan dasarnya di PAU semalam, Zahid mendakwa “mood rakyat sedang condong ke arah Umno”, oleh itu PRU mesti diadakan segera. Jangan tunggu lama-lama bak nyanyian Sweet Charity, tetapi Zahid mengguna kata-kata timbalannya Mohamad Hasan (orang Negeri Sembilan), “buek apo tunggu lamo-lamo takut anak daro dicuri orang”.
Kata-kata lucu tetapi bukan jenaka yang disajikan, malah ucapan panjang lebar Zahid diisi sindiran dan pada saya “tuduhan” mengenai ketidakberanian. Tidak disebut siapa yang takut dan tidak berani. Namun ada peringatan “you are sleeping with your enemies” – merujuk MoU yang ditangani Ismail dengan Pakatan Harapan. Lalu berkata Zahid, “Apakah kita mahu menyambung MoU itu lagi?”.
Adakah itu menunjukkan kesediaan Umno menghadapi pilihan raya? Betul ke mood rakyat sudah condong ke arah Umno seperti yang dakwa Zahid? Jujur saya tidak ada jawapannya tetapi yang jelas Umno sedang ghairah berikutan kemenangan besar di PRN Melaka dan Johor.
“They are in cloud nine,” kata seorang pemerhati politik. Jadi adakah Umno sudah bersedia? “Jentera pilihan raya mereka licin dan licik,” jawab beliau. Bagi saya persoalan utama masih belum terjawab dengan jelas. Adakah jentera efisien bermaksud parti cukup bersedia?
“Mereka menang dalam beberapa siri PRK di kawasan majoriti Melayu, mereka menang beberapa PRK di kawasan bercampur, mereka menang PRN Melaka dan Johor di komposisi bercampur, mereka berjaya ‘deal’ dengan GPS dalam PRN Sarawak. ‘So’ situasi sekarang berpihak kepada mereka,” kata Yusri Ibrahim, Ketua Penyelidikan Ilham Centre.
Oleh itu Umno-BN yakin menang? “BN boleh menang dalam situasi sekarang sebab parti-parti lain berpecah. Situasi Melaka dan Johor mungkin berulang, BN menang majoriti kerusi dengan minoriti undi popular,” menurut Yusri.
Semua itu tentu enak didengar oleh orang Umno. Namun kata Yusri lagi, “kecuali ada ‘move’ meyakinkan daripada parti-parti pembangkang menjelang PRU nanti, ada potensi untuk mengubah situasi kerana ‘setting’ PRU berbeza dengan PRK dan PRN.”
Ini seolah-olah diakui Tok Mat, orang nombor dua Umno, yang ketika merasmikan persidangan Pemuda, Wanita, dan Puteri Rabu lalu menegaskan, “melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang”.
Apa pun, walaupun Umno dalam keadaan selesa, bukan semua indah belaka. Kata pemerhati “kepimpinan Umno huru-hara”. Ini bagi saya menyatakan apa yang nyata.
Ketika Zahid dan tim mahu PRU diadakan segera, pemimpin pro-Ismail termasuk Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, dan Tajuddin Rahman mempunyai pandangan berbeza dengan alasan dan sebab tersendiri.
Ketika Tok Mat menyifatkan menteri Umno dalam kerajaan tidak “perform”, Hishamuddin Hussein tampil menyangkal sambil berkata, “jika menteri Umno tidak perform bagaimana Umno menang pilihan raya?”.
Kenyataan itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana Hishamuddin ialah menteri kanan dalam pentadbiran Ismail. Gesaan Tok Mat supaya diadakan PRU segera menyaksikan Nazri Aziz mendakwa Tok Mat mendesak kerana mahu jadi Perdana Menteri.
Pada ucapan dasarnya, Zahid pula menyindir pihak tertentu dalam Umno yang sedang buat perancangan bagi menghadapi pemilihan parti dengan “berpasang-pasangan dan buat ‘cai’. “’Cai’ ialah regu. Ini mendorong respon Tajuddin yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno: “‘Cai’ ini perkara biasa, setiap pemilihan ada ‘cai’. Kenapa rasa macam tak biasa?”
Bagaimanapun ada lagi yang Zahid dedahkan. Beliau mendakwa ada gerakan yang “bayar” akar umbi supaya desak pemilihan parti diadakan sebelum PRU15. Zahid tidak menamakan siapa yang menganggotai dan menjalankan gerakan itu.
Hakikatnya Umno sedang dilanda “perang saudara”.
Beberapa hari sebelum PAU, Umno tersentak dengan drama pelantikan Menteri Besar Johor. Tidak perlu dihurai kerana sudah dilapor media secara meluas.
Hakikatnya lain yang dijanjikan, lain yang dilantik MB. Tidak dinafikan Umno terkesan walaupun Zahid dan beberapa pemimpin memberi gambaran semuanya OK dan Umno sudah “move on”. Namun yang jelas Umno Johor bagaikan “merajuk”. Pemimpin veterannya Shahrir Samad tidak menyertai perbahasan PAU kerana “malu dengan apa yang terjadi”.
Umno bagi saya dalam keadaan serba salah. Berdiam, maruah tercabar. Membantah akan diibaratkan melawan titah Istana.
“Tidak dinafikan dalam krisis ini wujud pertembungan dalaman Umno. Juga dengan jelas wujud campur tangan Istana. Dalam proses demokrasi, parti yang mempunyai kerusi terbanyak layak menamakan seseorang yang diyakini atau dipercayai sebagai Menteri Besar dan menasihati pihak Istana untuk menyetujuinya,” kata Azlan Zainal, pengarah operasi Ilham Centre.
Namun bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, pelantikan Menteri Besar Johor adalah hak dan bidang kuasa Istana, “jadi Umno tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila calonnya tidak terpilih”.
Menurut Azlan persepsi rakyat “terpisah-pisah”. Ada yang setuju, ada yang rasa dipermainkan, dan yang tak ambil peduli. Yang penting kestabilan yang dijanjikan tercapai. Bagi pengundi, kata Azlan, ia hanya proses biasa.
Tetapi bagi pembangkang, menurut Azlan, “isu ini seperti bola tanggung”. BN atau Umno seumpama gagal mengotakan janji menaikkan Hasni Mohamad sebagaimana yang diuar-uarkan semasa kempen PRN.
“Selain itu, Menteri Besar baharu, Onn Hafiz Ghazi, merupakan antara saksi skandal 1MDB sedikit sebanyak menjejaskan momentum Umno,” kata beliau.
Di tengah-tengah semua isu yang dipaparkan, Ismail tertekan. Beberapa pemerhati dan penganalisis politik menjangka beliau akan terpaksa akur dengan desakan PRU diadakan segera. Akan tetapi kita bercakap mengenai politik. Dalam politik semua boleh terjadi, semua boleh berubah.
Bak kata seniman Ibrahim Pendek yang memegang watak “sarjan“ dalam filem komedi Ali Baba Bujang Lapok – “mari mari tengok siapa yang kena”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.