PETALING JAYA: MUDA menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka dasar supaya setiap pelajar golongan B40 atau kurang berkemampuan dapat memiliki kemudahan komputer riba.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Lim Wei Jiet berkata, kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap mahasiswa diberi peluang yang sama.
“Seorang siswa B40 tidak seharusnya diletakkan dalam keadaan terpaksa bergantung kepada jasa baik rakan kursus universiti untuk meminjam komputer riba dan seterusnya ketinggalan dalam pembelajaran.
“Video tular seorang pensyarah yang mengherdik seorang siswa B40 kerana tidak memiliki komputer riba biarpun sudah berada di Semester 5 sebenarnya mendedahkan isu kronik pendidikan tinggi negara – iaitu ketiadaan peranti berkualiti untuk mengakses pembelajaran oleh golongan siswa B40 dan tidak berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Video berdurasi 1 minit 45 saat yang tular sejak kelmarin itu memaparkan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengherdik seorang pelajar lelaki kerana masih tidak memiliki komputer riba walaupun sudah memasuki Semester 5 kursus.
Tindakan kurang sopan pensyarah itu kemudian mendapat kecaman warganet kerana mengaitkan masalah pelajar itu dengan kumpulan B40.
Lim berkata, kesan negatif akibat keciciran pelajaran dalam kalangan siswa lebih memberi impak dari aspek ekonomi dan sosial berbanding kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan.
“Ramai yang akan tanya – berbaloikah berbelanja wang kerajaan sebegini? Tetapi jika ramai siswa yang tercicir (seramai 17,613 siswa tercirir pada tahun 2021 mengikut statistik KPT) ataupun terpaksa mengulangi semester akibat ketiadaan peranti untuk pembelajaran.
“Sudah tentu kos dan impak negatif kepada negara dari aspek ekonomi dan sosial pada lima hingga 10 tahun akan datang jauh lebih tinggi daripada kos RM2,000 hingga RM3,000 untuk seunit komputer riba berkualiti hari ini,” katanya.
Dalam Bajet 2022, kerajaan memperkenalkan pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang akan memberi manfaat kepada 400,000 pelajar IPT daripada kumpulan B40.
Permohonan bagi pakej berkenaan dibuka pertengahan April ini dan peranti berkenaan dijangka dibekalkan kepada pelajar bermula Jun. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.