`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 29, 2022

Undi 18 dan politik: Anak muda tak ambil ‘pot’

 

Tajuk artikel ini hakikat yang rasanya ramai sudah tahu. Anak muda tak minat, tak kisah, tak peduli soal dan hal politik. Oleh itu Undi 18 tidak dimanfaatkan.

Undi 18 yang pertama kalinya dilaksanakan pada PRN Johor tempoh hari tidak memberi kesan meskipun ramai yang menjangka (mungkin mengharap) undi anak muda akan dirasai serta membawa impak, sekaligus merentak dan mencorak semua pilihan raya mendatang, bermula dengan PRU15.

Dalam dapatan kajian Ilham Centre di PRN Johor, Pengarah Eksekutif Hisomuddin Bakar menemubual segmen anak muda 18 hingga 20 tahun dan menurut beliau kebanyakan secara terbuka mengaku tidak mengikuti perkembangan politik kepartian secara aktif dan langsung kerana sibuk dengan urusan kerja.

Kebanyakan mereka yang di bandar bekerja sebagai penunggang motosikal menghantar makanan dan barangan. Yang tinggal di luar bandar pula membantu kerja kampung dan ramai juga berada bawah tanggungan ibu bapa.

“Apabila ditanya adakah mereka membuat semakan nama mereka di mana mereka akan mengundi, majoriti responden menyatakan mereka tidak menyemak langsung malah ada yang tidak menyedari mereka termasuk (golongan) layak mengundi”, kata Hisomuddin.

Mengenai kecenderungan mengundi, kata beliau, terdapat dua kelompok utama. Bagi anak muda di kampung dan separa bandar, mereka mungkin akan keluar mengundi tetapi akan ikut saranan keluarga pihak mana yang perlu diundi.

Bagi saya, anak muda yang kalau keluar mengundi pun akan undi parti atau calon pilihan ibu bapa. Parti politik tahu akan ini semua, lantas sasaran kempen mereka di Johor tetap golongan ibu bapa.

Bagi kelompok kedua pula (dan ini menurut Hisomuddin kelompok terbesar) ialah mereka tidak akan mengundi. Ini segmen anak muda di bandar .

“Kesimpulannya bagi pihak yang mengharapkan anak muda ini akan membuat perubahan dengan menolak kerajaan dan ‘anti-establishment’, ternyata, di PRN Johor keadaan ini tidak berlaku” menurut Hisomuddin.

Malah kata beliau, pemikiran “rebel” dalam kalangan anak muda tidak wujud dan pada pandangan Hisomuddin segmen ini sebenarnya larut dalam budaya politik dan budaya setempat yang kuat mempengaruhi.

Hisomuddin menegaskan mereka ini bukan “alien dari planet lain”, tetapi mempunyai pemikiran yang kuat dipengaruhi keadaan dan kecenderungan setempat

Bagaimana pula pelajar universiti? Mereka juga orang muda.

Hisomuddin jawab begini: “Pelajar universiti juga secara umumnya tidak mempunyai kesedaran politik kepartian yang kuat. Lihat sahaja politik kampus sekarang. Bagi saya keadaan kampus demokrasinya sudah mati .”

Yang ada menurut beliau hanya sebilangan kecil aktivis kampus yang mempunyai pengaruh politik parti di luar dan kumpulan ini sangat kecil jika hendak dinisbahkan dengan kumpulan yang “buta politik”.

“Pola pengundian bagi saya tidak jauh beza mahasiswa di kampus dengan belia dan kawan kawan mereka di luar kampus,” kata Hisomuddin.

Undi 18 lahir semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat. Pada Julai 2019 Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang PH di Parlimen untuk menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding kepada 18 tahun.

Ia diluluskan Parlimen dengan lebih 2/3 undi. Maknanya kerajaan dan pembangkang sebulat suara menyokongnya. Ketika itu Malaysia dilihat melakar sejarah. Rata-rata pelbagai pihak (termasuk saya) mengalu-alukan dan menyambut baik Undi 18.

Kata pemimpin PKR, Tian Chua, semasa PH mengilhamkan Undi 18 dan membawanya ke Parlimen, mereka melakukannya demi hak anak muda dan yakin ia sesuatu yang bagus untuk demokrasi pada jangka panjang .

Bagi Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof Madya Yusri Ibrahim, Undi 18 “bagus dan selari dengan negara maju”.

Namun kata beliau pelaksanaan Undi 18 perlu disertakan dengan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran dan kesediaan anak muda terlibat dengan demokrasi.

Kata beliau lagi, pendidikan rendah dan menengah sebelum ini tidak fokus secara serius untuk meningkatkan literasi politik, demokrasi, dan pilihan raya dalam kalangan pelajar. Lalu selepas pelaksanaan Undi 18, semua elemen yang disebut itu perlu diberi perhatian dalam struktur pendidikan.

Hisomuddin melihat semua pihak termasuk SPR dan kerajaan gagal memberi penerangan dan kempen untuk menarik minat kelompok muda keluar mengundi.

Justeru kata Yusri, agensi-agensi terlibat khususnya SPR perlu menggiatkan kempen untuk meningkat kesedaran dalam kalangan pengundi muda yang didaftarkan secara automatik itu.

Ringkasnya Undi 18 permata berharga yang mesti digilap untuk membolehkan ia menyinar. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.