`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 21, 2022

Kemarahan kaum tani di Chemor

 

Terdapat satu berita besar yang hanya menerima liputan kecil baru-baru ini berkaitan kaum tani di Chemor, Perak. Khabarnya hampir 200 orang petani di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor sedang berjuang untuk mengekalkan tanah dan tanaman yang mereka usahakan ekoran arahan pengusiran oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PNKP).

Perjuangan tersebut membawa kepada penahanan sementara Pengerusi Persatuan Petani Moden Chemor, Tan Tean Chee, dan beberapa yang lain. Tan mengetuai beberapa petani lain dalam usaha menghalang penguji tanah daripada masuk ke ladang mereka. Penahanan aktivis tani ini dikatakan kerana mereka menghalang tugas penjawat awam mengikut Kanun Keseksaan. Beberapa laporan media menjelaskan yang pertikaian undang-undang ini berlaku kerana kehendak kerajaan Perak untuk memberi laluan kepada pembangunan besar di kawasan tersebut.

Untuk rekod pertikaian tersebut sedang menanti perbicaraan lanjut di Mahkamah Rayuan.

Beberapa laporan media lain, jika dibaca dari sudut pandang petani menyatakan mereka telah bercucuk tanam di atas tanah tersebut melebihi 50 tahun, dan bukanlah setinggan. Sebelum ini juga pihak kerajaan dikatakan mengetahui kewujudan mereka di situ dan membenarkan para petani ini untuk terus mengusahakan tanah tersebut. Bukan itu saja terdapat juga dakwaan yang jabatan kerajaan tertentu turut mengeluarkan sijil kepada mereka berkenaan dengan aktiviti pertanian.

Saya tidak akan mengulas mengenai pertikaian undang-undang ini. Akan tetapi paparan berita dari Chemor itu menarik untuk dibincangkan dari sudut sosiologi-antropologinya sebagai satu kajian kes.

Kebangkitan dan perlawanan kaum tani muncul tenggelam timbul di negara ini di celah projek-projek pembangunan. Antara novel terawal saya, Perempuan Politikus Melayu, membincangkan masalah-masalah kaum tani ini. Akan tetapi secara keseluruhan, kerusuhan atau keganasan kaum tani tidak berlaku di Malaysia berbanding negara-negara lain.

Di luar negara pemberontakan kaum tani mencorakkan perjalanan sejarah politik seperti Mexico (1910), Rusia (1917), China (1927-1949), Vietnam (1930), Algeria (1945-1954), Cuba (1959), Filipina (1938-1952), dan di Indonesia (1953-1963) yang mana kebangkitan tersebut dihujahkan oleh ER Wolf sebagai “Peasant Wars of the 20th Century”, sesuai dengan judul bukunya yang terbit pada 1973 itu.

Sayugia diingatkan, beberapa siri kebangkitan rakyat melawan penjajah Inggeris sebelum kemerdekaan adalah dilakukan oleh kaum tani seperti yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Dol Said di Naning, dan Dato Bahaman di Pahang. Dalam tahun-tahun 1970-an, kita generasi hari ini membaca perihal perlawanan kaum nelayan di Kuala Perlis pada 23 Jun 1977, demonstrasi besar siswa universiti pada 4 Disember 1974 ekoran tunjuk perasaan kaum tani dan kebuluran di Baling, Kedah pada 21 November 1974.

Insiden Baling dan Universiti Malaya ini menjadi latar sejarah sebuah novel saya yang lain iaitu Cinta Hari-hari Rusuhan. Juga terdapat perlawanan kaum tani di Teluk Gong pada 1967 dan Binjai Patah pada 1969, di Selangor.

Dalam 1970-an secara asasnya masyarakat desa di Malaysia berdepan dengan masalah-masalah seperti pengusahaan dan pemilikan tanah, pemasaran barangan hasil tani, isu tenaga kerja tani, dan teknologi atau cara pengeluaran. Dalam dekad tersebut sebahagian besar masyarakat tani adalah penyewa (tidak bertanah).

Menjelang 1980-an, kaum tani bergelut pula dengan eksploitasi golongan kapitalis yang tamak, tuan tanah dalam kalangan birokrat Melayu, dan pemodal asing. Mereka juga berdepan dengan penindasan orang tengah dan peminjam wang. Usaha penubuhan pelbagai agensi kerajaan berkaitan tani ketika itu tidak begitu membantu.

Kebangkitan kaum tani kurang diiktiraf dan tidak mendapat perhatian besar meskipun kewujudan masyarakat tani sangat penting kerana mereka menyediakan stok atau bekalan makanan. Terdapat beberapa sebab mengapa hal ini berlaku.

Pertamanya ialah pangkalan politik di negara ini telah menggabungkan kaum feudal (raja-raja dan pemilik tanah, kapitalis Melayu, pegawai tadbir, tengku banker, dan para pemodal) dengan kaum tani itu sendiri (peneroka Felda, petani kecil dan runcit-runcitan, dan nelayan pesisir pantai) bawah payung Umno. Hal ini diciptakan oleh Inggeris dari awal, dan diteruskan oleh Umno menerusi pelan-pelan dan strategi tersusun kaum elit politik Melayu sebelum Merdeka; demi mengelakkan risiko ‘agrarian unrest’.

Gabungan dan rangkuman ‘tuan tanah dan buruh’ secara kerangka moden ini sangat berhubung rapat dengan faktor kedua.

Kedua, di Malaysia terdapat bermacam-macam ‘kekangan’ yang menghalang kebangkitan kaum tani. Dalam sebuah kajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, oleh Mansor Man bertajuk Keganasan Kaum Tani (1978), kaum tani kita terikat dan ‘kurang menentang’ meskipun tertindas kerana beban psikologi melibatkan sosio-politik-budaya. Pendapat beliau itu saya kutip:

“Di Malaysia, memang tidak dapat dinafikan bahawa masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan tani adalah hampir serupa dengan masalah yang dihadapi oleh kaum tani di tempat-tempat lain. Persoalannya ialah mengapakah kaum tani di Malaysia bersikap pasif dan hanya menerima keadaan tersebut tanpa sebarang reaksi. Dari penulisan sejarah, kaum tani atau rakyat jelata di Malaysia terikat dan terkongkong dengan beberapa ‘sanction’ dan larangan. Misalnya konsepsi rakyat terhadap raja, konsep ‘daulat’, ‘durhaka’, ikatan ‘patron-client’ yang kukuh, halangan geografi, semangat kedaerahan yang menebal adalah merupakan angkubah-angkubah yang menghalang kemunculan satu pergerakan tani yang kuat.”

Ketiga, menurut pengkaji, sekatan, atau kekangan bentuk baharu muncul hari ini yang kian mencegat kaum tani untuk melawan dan memberontak, serta menerima saja penindasan yang berlaku ke atas mereka. Mansor seterusnya menghujahkan kekangan bentuk baharu selepas kemerdekaan itu antara lain ialah aneka undang-undang yang kurang memihak kepada masyarakat tani:

“…terdapat ‘sanctions’ bentuk baharu seperti undang-undang, akta, dan ideologi (Rukun Negara). Disebabkan oleh keadaan-keadaan demikian dan sikap golongan tani sendiri yang hanya berpegang kepada polisi ‘secukup hidup’ sahaja adalah memperlihatkan bahawa sekiranya kehidupan mereka tidak terancam mereka tidak akan bertindak. Selain dari itu keyakinan mereka terhadap usaha dan rancangan pembangunan yang dilancarkan oleh kerajaan untuk meninggikan taraf hidup sekaligus menyelesaikan masalah-masalah kemiskinan menyebabkan mereka menyokong kerajaan sepenuhnya.”

Dalam erti kata lain, Mansor Man dalam Keganasan Kaum Tani itu menyatakan yang ‘perlawanan’ hanya terjadi apabila keadaan terlalu menuntut;

“Kaum tani hanya akan melancarkan penentangan terhadap pemerintah sekiranya kehidupan mereka betul-betul terancam. Mereka menghadapi masalah seperti pendapatan yang rendah, harga pengeluaran pertanian yang tidak stabil, harga barang-barang keperluan yang tinggi, bencana alam, dan sebagainya, sekiranya tidak mendapat perhatian pemerintah untuk menyelesaikannya, ini adalah merupakan bibit-bibit kepada kemunculan keganasan dalam kalangan tani.”

Apa yang menarik diperhatikan ialah kebangkitan kaum tani (saya tidak mahu menggunakan ungkapan keganasan) ini berlaku di bawah ketikanya PAS berkuasa, memandangkan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, adalah Razman Zakaria. Bagaimana beliau menyelesaikan isu ini akan memberikan kita gambaran kecekapan atau kelewahan parti agama tersebut.

Jarang kita mendengar kaum tani di negara ini tekad melawan. Seperti yang pernah dihujahkan, kaum tani di Malaysia hanya akan bangkit bila keadaan benar-benar terdesak. Bibit yang terlihat di Chemor itu mungkin satu petunjuk bahawa mereka sedang kelemasan, dan memerlukan perhatian yang serius. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.