KLANG: Beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri, para mekanik di Pusat Servis Tayar H20 di Batu Empat, Klang tidak menang tangan.
Pelbagai jenis kenderaan keluar masuk ke pusat servis mereka sebagai persediaan untuk memulakan perjalanan jauh.
Kerani di pusat servis berkenaan Siti Nor Eliyana Suhaimi, 42, memberitahu sejak pagi pelanggan berpusu-pusu sehinggakan semua slot letak kenderaan penuh dan ada yang terpaksa meletak kenderaan di luar premis.
“Ada pelanggan yang datang sebelum pusat servis kita dibuka. Mereka datang nak tukar tayar, buat betulkan ‘alligment’ kereta dan ada yang nak tukar ‘rim’ tayar.
“Kebanyakan mereka datang tanpa temujanji tapi kena ikut giliran lah,” katanya kepada FMT.
Siti memberitahu menjelang hari raya, pusat servisnya menerima jumlah pelanggan berlipat kali ganda, selepas melalui fasa getir ekonomi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kebanyakan pelanggan yang datang bercerita mereka menggunakan duit pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk servis kereta dan sambutan raya kali ini.
“Bila pelanggan ada duit boleh datang servis kereta, ia juga bantu perniagaan kami,” katanya.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk membenarkan pengeluaran ‘one-off’ KWSP sebanyak RM10,000. Keputusan itu disambut baik mereka yang benar-benar terkesan dengan pelaksanaan PKP sebelum ini.
Hadi terpaksa keluar rumah awal pagi untuk mendapatkan giliran di pusat servis kereta. Kesukaran mendapat cuti memaksa dia servis keretanya pada saat-saat akhir sebelum pulang beraya.
“Ini bengkel kereta yang ketiga saya datang. Dua sebelumnya sudah penuh dan saya terpaksa mencari bengkel lain. Nasib kat sini saya dapat nombor giliran.
“Tahun ini saya sekeluarga balik ke Terengganu di Kemaman. Pengalaman kereta pernah rosak di lebuh raya pada tahun 1990-an buat saya serik. Sejak itu, setiap kali mahu jalan jauh saya akan servis kereta, tukar tayar semuanya,” katanya.
Jefri Abdullah, 46, ayah kepada enam orang anak memberitahu keluarganya akan pulang ke kampung halaman dengan menaiki dua kereta. Demi keselamatan kedua-dua kereta itu akan diservis.
“Alhamdullilah mujur ada KWSP. Bolehlah kami pakai untuk servis dua kereta,” katanya.
Seorang lagi pelanggan yang temui ketika menunggu keretanya diservis, Khairul Azmi Nordin, 23, memberitahu dia akan membawa kedua ibu bapanya pulang beraya di Kedah.
“Tahun ini saya bawa ibu dan ayah saya pulang ke Kedah. Saya kena pastikan tayar kereta saya selamat.
“Sudah dua tahun tak pulang beraya. Raya kali ini mesti meriah,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.