`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, February 7, 2023

‘Kami wanita, bukan barang’, warganet bidas pemimpin PAS

 

Kebanyakan pengguna media sosial membidas ADUN Jabi Dr Azman Ibrahim dan mendakwa beliau seakan memandang rendah wanita. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli Jawatankuasa PAS Pusat menerima kecaman di media sosial kerana menyamakan wanita seperti “barang”, yang menurutnya harus “dibungkus comel dan kemas”.

Dr Azman Ibrahim membuat kenyataan itu menerusi ciapan di Twitter, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mengenai dakwaan seorang wanita tidak dibenarkan masuk membuat laporan di balai polis kerana berseluar pendek.

Beliau yang juga ADUN Jabi, berkata kaedah pembungkusan sesuatu “barang” itu memainkan peranan penting dalam aspek pemasaran.

“Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas,” katanya.

“(Kalau) main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah.”

Bagaimanapun, dalam ciapan seterusnya, Azman berkata, beliau tidak pasti sama ada seseorang itu masih dinilai berdasarkan penampilannya, selain berpendapat perkara itu tidak wajar.

Kebanyakan pengguna media sosial membidas Azman, mendakwa beliau seakan memandang rendah wanita.

Pengguna Twitter @LilyZali mempersoalkan bagaimana wakil rakyat itu, yang mempunyai ahli keluarga wanita, memandang golongan berkenaan begitu rendah.

“Berdasarkan pemakaian semata? (Kemudian) dilabel sebagai barang? Anda menjengkelkan,” balasnya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Twitter, @afiqazni berkata: “Pakaian dan pemakaian itu bukan kayu pengukur untuk menilai kemuliaan seseorang.”

Minggu lalu, seorang wanita mendakwa dilarang memasuki Balai Polis Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan dialaminya.

Dakwanya, beliau dilarang masuk walaupun memakai seluar pendek menutup bahagian lututnya dan hanya dibenarkan selepas kakaknya membawa seluar panjang untuknya.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, mereka yang pergi ke balai polis perlu menjaga prinsip kelima Rukun Negara dan berpakaian sopan serta menjaga akhlak.

“Kita boleh membuat kelonggaran berdasarkan jenis kecemasan dihadapi pengadu ketika membuat laporan di balai polis,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataannya itu tidak dipersetujui bekas ketua polis negara, Musa Hassan yang menegaskan, menjadi kewajipan polis menerima laporan dalam apa jua keadaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.