`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 26, 2023

Bekerja dengan penentang Israel

 

Ada dua naratif dimainkan media massa sebaik sahaja dua orang tebusan Hamas yang diculik dari desa di sempadan Israel dibebaskan. Dua orang tebusan tersebut nampaknya dua wanita yang sudah amat berusia, Yocheved Lifshitz dan Nurit Cooper.

Tumpuan diberikan kepada Yocheved Lifshitz yang memberitahu pada mulanya dia dilayan dengan baik, dan dalam satu video perpisahan dengan anggota Hamas kelihatan berjabat tangan sambil mengucapkan “shalom” atau “damai”.

Manakala kemudian Yocheved dalam satu laporan lain oleh media Israel mengatakan dia dipukul serta “melalui satu pengalaman nurakawi” (I have been through hell), serta igauan ngeri. Meskipun dalam banyak perbualan atau temu ramah dengan media, Yocheved memberikan gambaran dia diladeni dengan mesra dan tidak keterlaluan.

Menurut Yocheved, apabila dia dilarikan masuk ke dalam perbatasan Gaza pada 7 Okt lalu dia telah diculik oleh beberapa penunggang motosikal. Dia dipaksa membonceng dan terdapat motosikal lain di hadapan dan belakang. Sekali dia dipukul dengan kayu dalam perjalanan yang cepat-cepat itu. Tambah beliau lagi, barang kemasnya dicuri, dan dia dibawa berjalan kaki di dalam terowong bawah tanah yang basah dan lecak beberapa jam sebelum tiba di sebuah dewan besar untuk diasing-asingkan. Yocheved mendakwa diberi makan keju dan timun, dirawat oleh doktor, dan tandas dibersihkan dengan rapi. Secara umumnya dia berpandangan anggota Hamas agak ramah.

Apa yang menarik diberi perhatian ialah bukan sangat pengalaman Yocheved dan naratif media yang tentu sahaja tidak kita tahu benar salahnya memandangkan suaminya masih ditahan Hamas. Akan tetapi ialah latar Yocheved yang sudah berusia lebih 80 tahun itu. Menurut cucunya, Yocheved adalah seorang penggiat hak asasi manusia, dan aktivis kedamaian. Sudah menjadi kebiasaannya untuk membawa warga Palestina yang sakit dari perbatasan di Erez ke hospital di Israel. Ada pesakit yang perlu mendapatkan rawatan akibat kanser. Yocheved digambarkan sebagai Yahudi baik.

Sudah tentu dakwaan cucu Yocheved, Daniel Lifshitz itu belum dapat ditentukan benar. Ia mungkin sahaja satu lagi bentuk naratif beragenda, akan tetapi jika ia benar, ia menunjukkan keperluan untuk dunia luar Palestina membangunkan kumpulan siruvniks dalam kalangan orang Israel.

Apakah atau siapakah siruvniks?

Saya ada menulis mengenai “gerakan” di Israel ini dalam novel terjemahan saya, The Koro Riots (2023) terbitan Penguin. Ia bermaksud “Orang Yang Ingkar”.

Dalam tahun 2001 dan 2002, ketika berlaku krisis atau pengeboman di Gaza, sekumpulan tentera Israel telah melakukan satu protes atau keingkaran iaitu dengan menulis sepucuk surat terbuka menyatakan mereka enggan bertugas masuk melangkaui sempadan Gaza kerana merasakan ia adalah satu pencerobohan. Mereka menyatakan tugas sebagai tentera adalah untuk mempertahankan sempadan Israel yang disepakati pada 1967. Mana-mana kawasan atau wilayah yang dimasuki atau diceroboh setelah itu maka ia merupakan satu kesalahan.

Petisyen itu ditandatangani 462 orang tentera Israel dan penandatangan dikenali sebagai seruv (atau enggan) dan kemudian disebut-sebut sebagai seruvniks. Hampir ke semua penandatangan adalah tentera darat dan pernah bertugas di wilayah yang diduduki. Sehingga hujung 2002, lebih 40 orang yang menandatangan telah dipenjarakan di penjara militari kerana melakukan keingkaran ini, sesuatu yang hampir mustahil dilakukan oleh anggota tentera mana pun.

Harus dinyatakan di sini, penandatangan ini kebanyakannya adalah berusia antara 25 hingga 35 tahun. Dalam erti kata lain mereka tidak pernah mengalami “a non-occupying Israel”. Sebahagian besar memilih tindakan ini kerana sudah muak dan mual melakukan kejahatan terhadap populasi orang awam.

Beberapa tahun kemudian, terdapat pendedahan yang kebanyakan seruvniks ini memilih untuk enggan menggasak Gaza kerana mempunyai kepercayaan moral yang tinggi, dan ada yang menyatakan ia dilakukan kerana rasa sayang terhadap Israel yang bebas daripada kerangka jahat. Sudah tentu mereka membuat keputusan sedemikian kerana melihat sendiri apa yang menimpa orang Palestina ketika bertugas di wilayah yang diduduki.

Sebagai mereka yang mempunyai moral tinggi, dan ada yang agak beragama, mereka merasakan pendudukan Israel di wilayah Tebing Barat dan Gaza menghakis moral, etika, mencemarkan bahasa Hebrew dan budaya Yahudi (kerana campur aduk dengan orang Arab). Mereka berasa bersalah setiap hari mengacu senapang ke muka wanita dan anak-anak Palestina dan enggan terlibat dengan pembunuhan atau penembakan dengan alasan keselamatan atau pertahanan, juga sering hilang sabar dengan arahan memusnahkan kediaman rakyat Palestina. Mereka bosan dengan polisi penindasan dan diskriminasi dan percaya sudah masanya hidup damai bersama.

Mereka siruvniks ini bukan orang yang rasis; dan tidak percaya kepada ketuanan Yahudi atau Zionisme. Mereka sudah tidak lagi boleh menerima arahan untuk menahan secara rawak remaja berusia 14 hingga 18 tahun di Tebing Barat sebagai KPI membanteras teroris, atau menahan ambulans yang membawa pesakit jantung dan ibu yang akan bersalin dengan alasan menyembunyikan pengganas. Kebanyakan seruvniks percaya kepada konsep dan faham demokrasi dan yakin kedamaian boleh dicapai antara dua kaum yang dipertentangkan.

Kumpulan seruvniks ini kini dianggap sebagai kumpulan dengan nilai. Sudah tentu tidak banyak berita yang kita baca mengenai mereka kerana sudah tentu sahaja mesin propaganda Barat dan Zionis berusaha menutup kewujudan mereka ini. Akan tetapi kumpulan sivil ini wujud, dan terdapat keperluan untuk memastikan suara mereka terus didengari.

Yocheved Lifshitz bukan seruvniks, jika pun benar beliau adalah aktivis keamanan dan merupakan penggiat hak asasi manusia, Yocheved bukan seorang askar. Akan tetapi sebagai orang luar, kita paling tidak, tahu yang ada gerakan penentangan dalam kalangan orang Israel sendiri. Mereka yang benci kepada rasisme, yang benci kepada Zionisme dan sebenarnya seperti ramai yang lain mempunyai nilai dan faham manusiawi. Yahudi juga manusia, dan ramai nabi dalam kalangan mereka.

Sebetulnya tidak banyak usaha dilakukan untuk menghulurkan dialog kepada siruvniks ini, baik mereka dalam tentera atau di luar. Kita yang ingin membantu kemerdekaan Palestina mestilah bekerja dengan kumpulan Yahudi seperti ini. Ada banyak cara melawan dan menawan. Kita mesti menerokai seribu satu macam cara. Kita mesti waras menghulurkan tangan berdialog dengan penentang Israel dari dalam. Jika kita berjaya membangunkan lebih ramai siruvniks maka mereka yang jahat dan batil akan terkalahkan di masa hadapan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.