`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, October 22, 2023

MB nafi dakwaan Perak langgar larangan eksport REE

 

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai dangkal.

IPOH: Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menempelak dakwaan PAS bahawa kerajaan negeri melanggar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Beliau mendakwa Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan dangkal dan tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi bagi mewujudkan persepsi tidak baik terhadap kerajaan negeri.

“Beliau (Tuan Ibrahim) perlu tahu bahawa projek perintis NR-REE di tanah berkeluasan 87.4 hektar di Mukim Kenering, Hulu Perak ini bermula setelah memperoleh kelulusan dari segi perundangan daripada agensi teknikal, selain kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri, dan Perak negeri pertama yang mengusahakannya.

“Sebagai projek rintis kita kalau mahu tahu nilai pasaran NR-REE, terpaksa kena eksport kerana negara kita tidak mempunyai kilang untuk proses.

“Ia dilakukan sebelum larangan eksport dikeluarkan September lepas, kita sudah jual sejak Januari lagi,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Ulang Tahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta dan Pelancaran International Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon Day hari ini.

Menurut Saarani, kerajaan negeri ketika mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut meminta agar Perak diberikan moratorium dalam penjualan NR-REE.

“Kita minta diberikan pengecualian untuk mengeksport serta menjual NR-REE sehingga NRECC ada keputusan dan peraturan berkait NR-REE di seluruh negara.

“Walaupun negeri lain turut mempunyai NR-REE, Perak adalah pemulanya, jadi beliau (Tuan Ibrahim) tidak perlu runsing tentang perkara ini.

“Kita akan terus mencari gali sehingga ada peraturan yang tidak membenarkan kita menjual, malah kita telah membuat unjuran hingga penghujung tahun ini dengan Perak dijangka menjana hasil royalti sekitar RM21 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yang melawat Nanning, China turut melihat sendiri bagaimana NR-REE diproses untuk menghasilkan 15 elemen lain.

“Kita turut berkesempatan melihat sendiri bagaimana mereka (China) memulihkan kembali kawasan yang digali dengan menjadikan kawasan yang subur dengan tanaman buah-buahan dan lain-lain lagi,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim dilapor mempersoalkan tindakan kerajaan Perak yang mengeksport NR-REE sedangkan kerajaan melarang sebarang eksport berkaitan sumber bahan mentah yang bernilai tinggi itu.

Menurutnya, NR-REE mampu menjadi potensi pendapatan negara yang amat besar, justeru kerajaan perlu memastikan dasar larangan eksport NR-REE dipatuhi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.