`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 23, 2023

Contohi Korea Selatan had filem asing, kerajaan diberitahu

 

Syerleena Abdul Rashid berkata pawagam biasanya memperuntukkan waktu tayangan tidak masuk akal untuk filem tempatan, seperti awal pagi atau lewat malam pada hari bekerja.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mengikut langkah Korea Selatan yang mengehadkan kemasukan filem asing dalam usaha memajukan industri perfileman tempatan.

Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata, lapan daripada 10 filem ditayangkan di pawagam republik itu adalah karya tempatan, dilihat mampu meningkatkan persaingan dan kualiti perfileman tanah air.

“Tindakan ini mungkin mendapat tentangan sesetengah pihak, tetapi ia merupakan langkah diperlukan untuk kita memajukan industri filem tempatan,” katanya di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat DAP itu berkata, skim wajib tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang sepatutnya memperuntukkan masa dua minggu tayangan filem tempatan di pawagam mempunyai kekurangan perlu diperbaiki.

Katanya, pawagam biasanya memperuntukkan waktu tayangan tidak masuk akal untuk filem tempatan, seperti awal pagi atau lewat malam pada hari bekerja.

“Lebih buruk lagi, sesetengah waktu tayangan untuk filem tempatan dijadualkan terlalu dekat dengan waktu sembahyang, seakan-akan mereka ingin menghalang penonton dari datang menyokong filem-filem ini,” katanya.

Beliau turut merujuk tayangan filem “Walid” dan “Pagari bulan” yang hanya ditayangkan selama seminggu, tanpa sebarang tayangan dijadualkan pada waktu malam, kecuali di satu pawagam sahaja.

“Sekiranya ada sekalipun, tayangan ini dijadualkan pada jam 7.30 malam, berdekatan dengan waktu sembahyang Maghrib,” katanya.

Syerleena menggesa kerajaan tidak membiarkan perkara itu berlanjutan kerana industri filem berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.

“Rakyat juga digesa menyokong industri perfileman tanah air. Sokongan ini patut ditunjukkan dengan menonton filem secara sah, bukan memuat turun secara haram.

“Buat masa ini, pasaran filem di Malaysia didominasi filem-filem Hollywood, Korea, dan filem asing lain. Untuk industri pawagam Malaysia berkembang di peringkat antarabangsa, mereka perlu ada sokongan kuat dalam pasaran domestik terlebih dahulu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.